Select your language

THE SEWING BOOK

Penulis
ALISON SMITH 

Terbitan
MBE. 2021. DORLING KINDERSLEY. 400 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Mohamad Riad bin Salim, Pelajar praktikal Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu

Buku bertajuk "The Sewing Book" oleh Alison Smith ialah sebuah buku panduan yang terkenal dalam bidang jahitan dan sering dianggap sebagai panduan yang lengkap bagi seseorang yang baru ingin bermula untuk belajar menjahit dan mereka yang sudah berpengalaman dalam menjahit. Buku ini merangkumi pelbagai topik berkaitan dengan jahitan, termasuk teknik jahitan, pembuatan pakaian, pemilihan fabrik atau jenis kain, teknik mencorak, dan pengubahsuaian. Ia juga mengandungi petunjuk iaitu langkah demi langkah dan ilustrasi untuk membantu pembaca memahami dan mengaplikasikan konsep-konsep yang dibincangkan dalam buku ini. Buku ini sesuai dicadangkan kepada mereka yang ingin belajar atau meningkatkan kemahiran menjahit mereka.

Salah satu aspek yang istimewa mengenai buku ini adalah penyampaian ilmu yang sangat terperinci dan tersusun dengan baik. Pengarang memberikan penjelasan yang jelas dan mudah diikuti tentang pelbagai teknik menjahit, termasuk menjahit tangan dan menggunakan mesin jahit. Pengarang juga memberikan nasihat tentang bagaimana memilih fabrik yang sesuai untuk projek jahitan tertentu dan memberikan panduan yang berguna terutamanya dalam proses memotong dan menyusun atur corak.

Satu kelebihan utama "The Sewing Book" adalah bahawa buku ini mempunyai ilmu yang menyeluruh tentang pelbagai jenis jahitan dan teknik, dari yang paling asas hingga yang lebih kompleks. Ini menjadikannya sumber rujukan yang hebat bagi pengguna yang ingin meneroka pelbagai gaya jahitan dan memperluas kemahiran mereka dalam menjahit. Dengan buku ini, pembaca dapat belajar membuat pakaian, aksesori, dan projek-projek kreatif lain dengan keyakinan dan berkualiti tinggi.

Selain itu, buku ini juga dilengkapi dengan gambar dan ilustrasi berwarna yang menarik. Gambar yang berwarna-warni dan menarik membuatkan buku ini lebih istimewa dan mengundang anda untuk terus meneroka. Ini juga memudahkan pemahaman konsep dan teknik jahitan yang sukar. Pengarang juga memberikan tips yang berguna dan petua-petua praktikal yang dapat membantu pembaca menghadapi cabaran dan masalah khas semasa menjahit. Antara petua yang disebutkan adalah bahagian lengan harus sentiasa digantung dengan betul dari hujung bahu baju untuk mengelak daripada kedutan.

Tambahan pula, buku ini juga memberikan pengetahuan yang kaya tentang sejarah menjahit dan gaya jahitan yang berbeza. Selain itu, pengarang juga mengikuti pengaruh budaya dan tren semasa dalam dunia menjahit, memberikan paparan dan idea yang menarik tentang bagaimana dunia fesyen telah berkembang seiring waktu. Sekiranya anda ingin atau pun telah berkecimpung dalam bidang perniagaan, mengikuti tren membolehkan anda memenuhi permintaan pasaran dengan menyediakan pakaian atau jahitan yang sejajar dengan keinginan dan keperluan pelanggan. Ini dapat membantu anda menarik lebih banyak pelanggan dan memperluaskan pangkalan pelanggan anda.

Satu-satunya kelemahan buku ini mungkin terletak pada penjelasan yang agak terperinci dalam beberapa bahagian. Ini mungkin terdapat sedikit rumit bagi penjahit yang belum memiliki pengalaman asas dalam menjahit. Selain itu, akan menyebabkan mereka merasa bosan dan sukar untuk membaca buku dengan tulisan teks yang kecil dan berkemungkinan akan memudarkan semangat mereka untuk belajar menjahit. Namun, bagi mereka yang sudah mempunyai pengetahuan asas, buku ini akan menjadi sumber yang sangat berharga.

Secara keseluruhannya, "The Sewing Book" oleh Alison Smith adalah panduan jahitan yang luas dan terperinci. Buku ini sesuai untuk semua peringkat umur dan tidak mengira pengalaman, dari yang baru ingin bermula untuk belajar hinggalah kepada mereka yang sudah menjahit sekian lama. Jika anda ingin mengembangkan ilmu kemahiran menjahit anda dengan cara ingin meneroka pelbagai teknik jahitan, atau mencari inspirasi untuk projek jahitan yang kreatif, buku ini adalah pilihan yang sangat baik. Melalui buku ini, pengarang membantu membawa dunia jahitan ke dalam genggaman tangan anda, memberikan pengetahuan dan panduan yang penting bagi sesiapa sahaja yang ingin mengejar minat mereka atau menjadikan bidang jahitan sebagai kerjaya mereka.

Buku ini adalah buku rujukan yang terdapat di Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah. Buku ini menarik untuk dibaca dan bermanfaat untuk dipelajari pada masa lapang terutamanya kepada mereka yang selalu mempunyai masa terluang. Untuk mengetahui lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini dan isi kandungannya, anda boleh datang ke Perpustakaan Negeri Sabah bertempat di Beg Berkunci 2023, Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Luyang, Kota Kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Cuma perlu satu buku untuk jatuh cinta pada membaca. Cari buku itu."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.