BERITA KAKITANGAN
INTRANET DAN E-GOVERNMENT
MUAT TURUN BORANG
DASAR & PEKELILING
DASAR PERPUSTAKAAN NEGERI SABAH
DADAH DARI ZOMBI KE INSAN KAMIL
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rofli Bin Roslan, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Buku ini ditulis untuk berkongsi tentang kisah nyata perjalanan hidup dan pengalaman dari seorang hamba allah yang daif yang tidak pernah luput dari dosa, khilaf dan kesalahan. Hidup ini memang penuh warna-warni, penuh dengan suka dan duka, kesedihan dan kebahagiaan, penderitaan dan kesenangan serta kebaikan dan kejahatan yang sentiasa memberi erti dalam kehidupan manusia. Bukan hal yang mudah bagi seseorang untuk mengungkap kembali lembaran kelam masa lalunya. Apalagi untuk berkongsi kisah benar perjalanan hidup ke dalam sebuah buku yang kelak akan menjadi bacaan umum. Sesiapa saja berhak untuk membaca dan untuk mengetahui kisah seorang hamba allah yang daif ini.
kisah dan penceritaan yang telah dibukukan ini memerlukan sebuah jiwa yang besar dan kerelaan menanggung malu. Namun, demi teladan dan hikmah yang dipetik dari pengalaman kisah hidup seorang bekas penagih dan pengedar dadah ini akan dapat memberi kesedaran kepada para pembaca agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan. Jangan pernah berfikir untuk sekadar mencuba sekali atau dua kali kerana sukar untuk melepaskan diri setelah terjebak kepada najis dadah ini. Oleh itu, jauhi diri daripada terjebak kepada najis dadah demi kebaikan diri sendiri dan keluarga.
Justeru, keluarga adalah sumber kekuatan dan penyuntik semangat kepada bekas penagih dan pengedar dadah untuk memberi sokongan positif dan membantu mereka sehingga berjaya melepaskan diri dari kancah dadah ini. Buku ini sesuai untuk bacaan umum terutamanya remaja, ibu bapa dan pendidik. Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.
Buku ini adalah koleksi di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
THE SEWING BOOK
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Mohamad Riad bin Salim, Pelajar praktikal Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu
Buku bertajuk "The Sewing Book" oleh Alison Smith ialah sebuah buku panduan yang terkenal dalam bidang jahitan dan sering dianggap sebagai panduan yang lengkap bagi seseorang yang baru ingin bermula untuk belajar menjahit dan mereka yang sudah berpengalaman dalam menjahit. Buku ini merangkumi pelbagai topik berkaitan dengan jahitan, termasuk teknik jahitan, pembuatan pakaian, pemilihan fabrik atau jenis kain, teknik mencorak, dan pengubahsuaian. Ia juga mengandungi petunjuk iaitu langkah demi langkah dan ilustrasi untuk membantu pembaca memahami dan mengaplikasikan konsep-konsep yang dibincangkan dalam buku ini. Buku ini sesuai dicadangkan kepada mereka yang ingin belajar atau meningkatkan kemahiran menjahit mereka.
Salah satu aspek yang istimewa mengenai buku ini adalah penyampaian ilmu yang sangat terperinci dan tersusun dengan baik. Pengarang memberikan penjelasan yang jelas dan mudah diikuti tentang pelbagai teknik menjahit, termasuk menjahit tangan dan menggunakan mesin jahit. Pengarang juga memberikan nasihat tentang bagaimana memilih fabrik yang sesuai untuk projek jahitan tertentu dan memberikan panduan yang berguna terutamanya dalam proses memotong dan menyusun atur corak.
Satu kelebihan utama "The Sewing Book" adalah bahawa buku ini mempunyai ilmu yang menyeluruh tentang pelbagai jenis jahitan dan teknik, dari yang paling asas hingga yang lebih kompleks. Ini menjadikannya sumber rujukan yang hebat bagi pengguna yang ingin meneroka pelbagai gaya jahitan dan memperluas kemahiran mereka dalam menjahit. Dengan buku ini, pembaca dapat belajar membuat pakaian, aksesori, dan projek-projek kreatif lain dengan keyakinan dan berkualiti tinggi.
Selain itu, buku ini juga dilengkapi dengan gambar dan ilustrasi berwarna yang menarik. Gambar yang berwarna-warni dan menarik membuatkan buku ini lebih istimewa dan mengundang anda untuk terus meneroka. Ini juga memudahkan pemahaman konsep dan teknik jahitan yang sukar. Pengarang juga memberikan tips yang berguna dan petua-petua praktikal yang dapat membantu pembaca menghadapi cabaran dan masalah khas semasa menjahit. Antara petua yang disebutkan adalah bahagian lengan harus sentiasa digantung dengan betul dari hujung bahu baju untuk mengelak daripada kedutan.
Tambahan pula, buku ini juga memberikan pengetahuan yang kaya tentang sejarah menjahit dan gaya jahitan yang berbeza. Selain itu, pengarang juga mengikuti pengaruh budaya dan tren semasa dalam dunia menjahit, memberikan paparan dan idea yang menarik tentang bagaimana dunia fesyen telah berkembang seiring waktu. Sekiranya anda ingin atau pun telah berkecimpung dalam bidang perniagaan, mengikuti tren membolehkan anda memenuhi permintaan pasaran dengan menyediakan pakaian atau jahitan yang sejajar dengan keinginan dan keperluan pelanggan. Ini dapat membantu anda menarik lebih banyak pelanggan dan memperluaskan pangkalan pelanggan anda.
Satu-satunya kelemahan buku ini mungkin terletak pada penjelasan yang agak terperinci dalam beberapa bahagian. Ini mungkin terdapat sedikit rumit bagi penjahit yang belum memiliki pengalaman asas dalam menjahit. Selain itu, akan menyebabkan mereka merasa bosan dan sukar untuk membaca buku dengan tulisan teks yang kecil dan berkemungkinan akan memudarkan semangat mereka untuk belajar menjahit. Namun, bagi mereka yang sudah mempunyai pengetahuan asas, buku ini akan menjadi sumber yang sangat berharga.
Secara keseluruhannya, "The Sewing Book" oleh Alison Smith adalah panduan jahitan yang luas dan terperinci. Buku ini sesuai untuk semua peringkat umur dan tidak mengira pengalaman, dari yang baru ingin bermula untuk belajar hinggalah kepada mereka yang sudah menjahit sekian lama. Jika anda ingin mengembangkan ilmu kemahiran menjahit anda dengan cara ingin meneroka pelbagai teknik jahitan, atau mencari inspirasi untuk projek jahitan yang kreatif, buku ini adalah pilihan yang sangat baik. Melalui buku ini, pengarang membantu membawa dunia jahitan ke dalam genggaman tangan anda, memberikan pengetahuan dan panduan yang penting bagi sesiapa sahaja yang ingin mengejar minat mereka atau menjadikan bidang jahitan sebagai kerjaya mereka.
Buku ini adalah buku rujukan yang terdapat di Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah. Buku ini menarik untuk dibaca dan bermanfaat untuk dipelajari pada masa lapang terutamanya kepada mereka yang selalu mempunyai masa terluang. Untuk mengetahui lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini dan isi kandungannya, anda boleh datang ke Perpustakaan Negeri Sabah bertempat di Beg Berkunci 2023, Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Luyang, Kota Kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
UNIKNYA IKLIM EMPAT MUSIM
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Fatmawati Lapida, Perpustakaan Desa Kg.Pasir Putih Tawau
Fenomena alam ini selalu terjadi dengan cara yang menakjubkan. Kejadian empat musim merujuk kepada fenomena alam yang berlaku kesan daripada peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbitnya yang tersendiri. Empat musim yang menyebabkan beberapa perubahan fizikal di permukaan bumi, iaitu semasa berlakunya Ekuinoks musim bunga, Solstis musim panas, Ekuinoks musim luruh dan Solstis musim sejuk. Untuk menentukan jenis iklim, data-data cuaca telah dikumpul selama beberapa tahun.
Buku ini mengandungi empat bab yang menghuraikan topik iklim yang ada di bumi. Antaranya adalah sains dan iklim, bentuk muka bumi, haiwan artik dan tumbuh-tumbuhan semula jadi. Dalam setiap bab, penulis telah memberi huraian yang lengkap mengenai empat iklim yang boleh kita perolehi di dalam buku ini.
Bab satu menghuraikan jenis iklim empat musim. Terutamanya kawasan yang kedudukannya hampir dengan Kutub Utara dan Kutub Selatan. Musim bunga selalunya berlaku di zon sederhana, ia merupakan musim peralihan dari musim panas. Selain itu, musim luruh adalah musim dimana tumbuh-tumbuhan akan mula menggugurkan daun-daunnya. Musim luruh merupakan musim peralihan dari musim panas ke musim sejuk. Seterusnya, musim sejuk kebiasaannya tiba pada bulan Disember di hemisfera utara dan akan berterusan sehingga awal Mac kadangkala berlarutan sehingga bulan April. Pada musim sejuk, orang ramai akan ke kawasan tinggi untuk bercuti dan bermain ski. Akhir sekali, pada musim panas matahari memancar agak terik dengan suhu yang tinggi dan waktu siang lebih panjang berbanding waktu malam. Selalunya ramai orang akan menghabiskan masa bersiar-siar di pantai pada musim panas.
Bab kedua tentang bentuk muka bumi yang sentiasa berputar di paksinya yang bermula dari Kutub Utara ke arah Kutub Selatan secara condong ke arah matahari. Kecondongan paksinya menyebabkan berlakunya iklim empat musim dalam setahun dan setiap pusingan mengambil masa selama 24 jam. Garisan Khatulistiwa pula berada di tengah-tengah antara Kutub Utara dan Kutub Selatan. Iklim empat musim biasanya berlaku di pertengahan garisan lintang dan tidak berlaku di kawasan tropika kerana matahari sentiasa berada tinggi di atas langit. Seterusnya, bumi terdiri daripada lima garisan utama iaitu garisan Artik, garisan Antartik, garisan Sartan, garisan Jadi dan garisan Khatulistiwa. Selain itu, cuaca dan iklim terbahagi kepada tiga jenis iaitu zon sejuk, zon sederhana dan zon panas.
Bab ketiga mengenai haiwan Artik yang bertukar warna bulu badan bertujuan untuk menyamar apabila tibanya musim sejuk. Terutamanya haiwan yang menjadi mangsa dalam rantaian makanan bagi habitat di kawasan Artik. Penyamaran ini menyebabkan ia tidak dapat dilihat dengan jelas oleh pemangsa dan mangsanya. Lautan Artik pula meliputi hidupan seperti tumbuh-tumbuhan tundra Kutub Utara, rumput rumpai, herba-herba dan sebagainya.
Bab keempat pula menghuraikan tumbuh-tumbuhan semula jadi. Tumbuh-tumbuhan di Kutub Utara sebelum ini hanya boleh ditemukan di kawasan tundra. Ketika tibanya musim panas, air beku di permafros akan cair sehingga membentuk banyak danau dan tanah berlumpur di kawasan tundra. Kawasan di tundra adalah kawasan yang paling sejuk di dunia. Kawasan ini tidak mempunyai pohon yang ditemui di Artik dan di puncak gunung yang mana iklim sejuk berangin dan hujan adalah sedikit sahaja. Selain itu, Tundra ialah kawasan yang mana pertumbuhan pohon atau pokok terbantut kerana suhu rendah dan pertumbuhannya juga singkat.
Justeru, objektif utama buku ini diterbitkan bagi tujuan kita mengenal jenis-jenis iklim yang ada di luar negara dengan lebih mendalam. Buku ini boleh dijadikan rujukan golongan profesional, penyelidikan, pengajar mahupun pelajar. Ciri-ciri di dalam buku sangat berkesan untuk kita memahami uniknya iklim empat musim ini. Selain itu, gaya penulisan yang digunakan oleh penulis juga mudah difahami dan menarik berkaitan dengan subjek sains dan geografi sememangnya diminati ramai.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Pasir Putih, Tawau. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini sila hubungi kakitangan perpustakaan yang bertugas. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
HENTIKAN PEMBULI JALAN RAYA
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Mohammad Jamil Hj Alibasha, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Semua rakyat Malaysia termasuk pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya. Kewujudan pembuli jalan raya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Sedangkan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu terkenal dengan sikap berbudi bahasa. Namun begitu pada masa ini, kita sering melihat pengguna jalan raya yang bersikap biadap. Isu ini agak membimbangkan disebabkan terdapat pemandu yang tidak menghormati peraturan jalan raya malah membahayakan pemandu lain. Kemalangan jalan raya merupakan isu yang tidak akan pernah surut kerana tragedi ini boleh berlaku pada setiap hari di seluruh tempat malah jumlahnya semakin meningkat. Kadar kemalangan maut di jalan raya Malaysia dianggap sangat tinggi kerana ia hampir menyamai kadar purata negara berpendapatan rendah.
Kemalangan fatal berlaku kerana ia bukan melibatkan seorang pemandu sahaja tetapi melibatkan penumpang lain. Oleh itu, pelbagai kempen diperkenalkan dan dilancarkan di samping peraturan global, namun kemalangan masih tinggi. Fakta menunjukkan faktor kecuaian manusia sememangnya menjadi faktor utama. Selain itu, kenderaan terlalu banyak di negara ini juga menjadi trend yang perlu dikaji semula. Data menunjukkan 93 peratus isi rumah memiliki kereta, bermakna hanya tujuh peratus isi rumah yang tidak memiliki kereta. Kebanyakan kemalangan melibatkan pemandu dan pembonceng motosikal iaitu 62.7 peratus daripada keseluruhan kemalangan.
Seterusnya, masih ramai pengguna jalan raya yang tidak berfikir waras ketika memandu. Mereka lebih mementingkan keegoan daripada memikirkan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain. Antara kesalahan jalan raya termasuklah memecut laju pada saat-saat akhir lampu isyarat bertukar merah, memandu di lorong kecemasan yang mana lorong ini dibina khas untuk ambulans dan bomba tetapi sering diguna pakai pemandu kereta, bas dan juga lori ketika berlaku kesesakan jalan raya. Penggunaan telefon bimbit semasa memandu juga merupakan sikap buruk yang selalu kita lihat di jalan raya. Pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu sangat tidak bertanggungjawab.
Selain itu, terdapat pemandu yang suka memotong barisan kenderaan di hadapan sesuka hati. Kes sebegini kerap berlaku di plaza tol atau di lampu isyarat. Segelintir pemandu yang biadap memotong barisan tanpa mengambil kira perasaan pemandu yang lain. Gengsterisme di jalan raya boleh dirujuk sebagai aktiviti yang bersifat jenayah atau sosial yang dilakukan oleh individu atau sekumpulan individu. Mereka ini sanggup melakukan sesuatu tindakan yang salah di sisi undang-undang demi mencapai kepuasan dan matlamat diri. Kemunculan gengsterisme adalah kegiatan buli yang berlaku di jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya dan kemalangan.
Kes membuli di jalan raya semakin menjadi-jadi sehingga mengundang pergaduhan dan kematian. Golongan tidak bertanggungjawab ini sering menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain. Sudah banyak tular di media sosial mengenai video yang dipercayai berlaku angkara pembuli jalan raya. Kes membuli di jalan raya adalah masalah yang harus dipandang lebih serius.
Sikap gagal mengawal perasaan marah juga antara penyebab kepada kejadian membuli di jalan raya berlaku. Bagaimanapun, belum ada kajian secara terperinci punca masalah ini kerap dilaporkan di negara kita. Walau bagaimanapun, kadar kes membabitkan pembuli jalan raya sememangnya merisaukan biarpun pelbagai langkah penguatkuasaan dan kaedah telah digunakan oleh Polis Diraja Malaysia ( PDRM ). Oleh itu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ( MCPF ) mencadangkan sesi kaunseling dan khidmat masyarakat diwajibkan bagi individu yang ditahan kerana kesalahan memandu secara berbahaya dan membuli di jalan raya. Tindakan berkenaan wajar dipertimbangkan memandangkan ia telah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat. Selain menimbulkan keinsafan, program sebegini membolehkan mereka bertemu dengan pesalah jalan raya lain yang boleh membantu memberi kesedaran.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Semoga buku ini memberi manfaat kepada pembaca dan memberi kesedaran kepada kita semua sebagai pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang jalan raya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini sila hubungi kakitangan perpustakaan yang bertugas. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
JANGAN MARAH
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Aminah Arjani, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu
Anda sering marah-marah? Apakah penyebab kemarahan dan apa kesan marah terhadap diri dan kesihatan kita? Marah adalah emosi semulajadi yang biasanya bersifat negatif dan boleh bermula dari sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal. Perasaan marah adalah suatu emosi yang normal serta reaksi tindak balas semulajadi terhadap sebarang ancaman dan ketidakselesaan. Perasaan marah tercetus apabila berlaku gangguan yang berpunca daripada seseorang, sesuatu peristiwa atau keresahan dalam hidup. Saat marah yang tidak terkawal, jiwa akan bergelodak kerana hati mendidih dan nafsu amarah membara.
Marah boleh membahayakan diri sendiri jika salah dikendalikan. Marah akan mendorong seseorang bertindak secara ganas, menghamburkan perkataan yang kesat dan mengikut kehendak hati. Semakin kuat api amarah semakin sukarlah untuk dipadamkan kerana dendam kesumat. Kajian mendapati, seorang pemarah berisiko tinggi mendapat penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi, penyakit jantung, strok dan kematian mengejut. Malah lebih parah, perasaan marah yang tidak terkawal menjadi faktor pencetus pelbagai kejadian seperti pembunuhan dan penderaan mental dan fizikal kepada orang di persekitaran atau orang tersayang. Gangguan psikologikal boleh berlaku akibat perasaan marah yang terlalu kerap dan teruk. Para doktor sering menasihatkan pesakit mereka agar mengelakkan diri daripada mengalami stres dan marah.
Buku Jangan Marah menyediakan panduan dan teknik yang boleh digunakan untuk mengawal dan menangani marah kepada sesiapa sahaja yang seringkali berhadapan dengan konflik marah. Penulis menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami dan sesuai dibaca oleh semua peringkat usia. Panduan dan teknik yang dipaparkan dalam buku ini dapat membantu pembaca mempraktikkannya dalam kehidupan seharian dan sekaligus mampu mencipta kehidupan keluarga yang bahagia, sentiasa ceria, tenang dan harmoni.
Buku ini ada dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No. kelas : MAN 152.47 NOO. Lokasi : Sudut Ulasan Buku, Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berjumpa dengan kakitangan yang bertugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNS Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Sila lawati juga laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
BERJALAN UNTUK SIHAT DAN CERGAS
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Pailis Atin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Setiap dari kita menginginkan kesihatan yang baik agar dapat menjalankan rutin harian tanpa halangan dari segi kesihatan fizikal dan juga mental. Seseorang yang sihat sudah pasti dapat melakukan tugas harian dengan produktiviti kerja yang bertambah baik dan kesihatan yang baik merupakan satu nikmat besar yang dikurniakan kepada setiap manusia. Ia adalah sesuatu yang sangat berharga dan membahagiakan hidup seorang manusia. Kehilangan nikmat ini akan terasa apabila seseorang itu telah jatuh sakit atau terlantar sakit di katil hospital.
Mengimpikan kesihatan yang baik? Untuk mendapatkan kesihatan yang baik kita perlu menjaga pemakanan agar seimbang dan sentiasa melakukan senaman bagi menyihatkan badan. Sekiranya kita mempunyai kesihatan yang baik terdapat pelbagai faedah yang kita akan perolehi daripadanya. Pepatah ada mengatakan bahawa kesihatan itu lebih baik daripada harta benda. Jika kita mengalami masalah kesihatan, kita tidak dapat melakukan aktiviti harian dengan selesa malah kekayaan yang kita miliki juga tidak dapat kita nikmati sepenuhnya. Sebagai contoh, jika kita menghidap penyakit kencing manis, makanan yang sedap seperti kuih muih, kek, coklat, aiskrim dan makanan ringan tidak dapat kita nikmati lagi walaupun kita mampu membelinya. Orang yang sihat juga mempunyai badan yang lebih cergas dan bertenaga. Jika seseorang itu mempunyai tubuh badan sihat yang sedang bekerja, dia akandapat melakukan kerja yang diberi dengan baik dan berkualiti.
Di negara kita banyak kempen telah dijalankan bagi mendidik masyarakat untuk menjaga kesihatan diri seperti menjalankan “Kempen gaya hidup Sihat” supaya rakyat kekal sihat dan dapat bekerja dengan gigih. Keupayaan rakyat bekerja dengan gigih akan dapat menjadikan negara maju dalam pelbagai aspek.
Akhir-akhir ini, banyak rakyat Malaysia menghidapi pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, diabetes, sakit sendi dan sebagainya. Di samping pengambilan ubat, jalan terbaik untuk meningkatkan tahap kesihatan adalah melakukan aktiviti fizikal atau bersenam. Aktiviti berjalan merupakan satu aktiviti yang baik dan mampu untuk meningkatkan kecergasan kardiovaskular melalui pengaliran darah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh serta memastikan saluran darah sentiasa bebas daripada pembentukan plak ataupun kolesterol. Memiliki kesihatan yang baik membuahkan kecerdasan otak yang membolehkan kita berfikir dengan rasional apabila menghadapi sesuatu perkara, seterusnya kita akan menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Aktiviti berjalan adalah salah satu sukan pilihan orang ramai dan dapat memastikan tubuh sentiasa berada dalam keadaan sihat. Buku ini juga menerangkan konsep yang mudah difahami serta teknik dan cara berjalan yang betul. Aspek keselamatan dan pencegahan kecederaan turut disentuh. Selain itu, buku ini juga sesuai bagi mereka yang gemarkan sukan kerana banyak pengetahuan yang releven, terkini dan unggul untuk melahirkan generasi yang sihat, cergas dan cerdas.
Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
KE ARAH GRADUAN YANG BERJAYA
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Memiliki generasi cemerlang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah idaman semua negara untuk mentransformasikan ekonominya ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. Menyedari keperluan tersebut, pelbagai negara dan kerajaan berusaha untuk meningkatkan bilangan generasi cemerlang di institusi pengajian tinggi di semua bidang dan peringkat pengajian. Walau bagaimanapun, pertambahan bilangan graduan sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran semasa yang diperlukan oleh pihak industri dan para majikan. Oleh itu, dalam menghadapi cabaran masa ini, ia bukan sahaja memerlukan satu model pembangunan yang mampan tetapi ia juga turut mencabar asas sistem pendidikan yang ada sekarang bagi menghasilkan insan yang bermoral, beradab, berakhlak dan mempunyai nilai etika yang terpuji, serta mempunyai keterampilan diri yang unggul.
Memetik kata-kata nasihat Profesor Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dr. Nayan Ariffin mengingatkan graduan supaya bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek. Beliau berkata graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab amat penting ke arah melahirkan warga Malaysia yang berjiwa mulia. “ Saya percaya, jika universiti dapat melahirkan graduan yang memiliki ciri sedemikian, inilah sumbangan terbesar universiti kepada pembangunan dan peradaban bangsa,” katanya.
Para graduan juga perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan ciri keusahawanan serta berupaya mencipta pekerjaan, bukan lagi mencari pekerjaan kerana perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu mutakhir ini telah memberikan cabaran kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Beliau juga berkata proses pembelajaran tidak harus berhenti selepas memperoleh pekerjaan, sebaliknya pengetahuan dan kemahiran diri perlu terus ditingkatkan.
Dalam buku ini, penulis dengan jelas menawarkan beberapa pendekatan pengembangan diri mahasiswa semasa belajar agar dapat menyelesaikan pelajaran untuk menjadi seorang pemegang ijazah atau sarjana. Secara ringkasnya, penulis ingin memberi pendekatan untuk mencapai matlamat iaitu membantu mahasiswa berjaya menjadi pelajar yang memiliki tiga ciri kedewasaan iaitu kedewasaan fikiran atau intelektual, kedewasaan emosi ( psikologi ) dan kedewasaan dalam hal etika dan moral.
Penulis juga memperkenalkan pelbagai terminologi yang berkaitan dengan pusat pengajian tinggi, misalnya apa itu pengetahuan, ilmu pengetahuan, struktur ilmu pengetahuan dan metologi ilmiah. Selain itu, penulis turut memuatkan teori tentang bagaimana belajar secara efektif, efisen dan produktif serta konsep kedalaman penguasaan bahan pembelajaran. Menjadikan buku ini sebagai bahan rujukan boleh membantu seseorang pelajar atau mahasiswa itu merealisasikan impian mereka.
Justeru, graduan harus mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan agar mereka boleh bersaing di pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif. Mereka juga harus sedar bahawa pencapaian akademik semata-mata tidak lagi menjamin mereka untuk memperoleh jawatan yang setaraf dengan kelulusan mereka.
Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
BULI: APA ANDA PERLU TAHU
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Bettlieynna Wakilin, Perpustakaan Desa, Kampung Perancangan, Ranau
Buli boleh didefinisikan sebagai perbuatan tingkah laku agresif yang terjadi secara berulang-ulang yang bertujuan untuk menyakiti mangsa secara fizikal atau psikologi. Buli juga ditafsirkan sebagai perbuatan jenayah ataupun perbuatan jahat yang dilakukan oleh seorang atau secara berkumpulan. Selain itu, buli boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk tingkah laku yang berbeza seperti serangan fizikal, bahasa iaitu melaui penggilan nama dan ejekan, melakukan peras ugut dan sebagainya.
Budaya membuli wujud apabila manusia saling berinteraksi seperti di sekolah, keluarga, tempat kerja dan kawasan kejiranan. Dewasa ini, kes buli dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin mendapat liputan dengan banyak kes buli yang dilaporkan berlaku terutamanya yang membabitkan pelajar sekolah. Malah, kebanyakannya berlaku sekitar kawasan sekolah yang merupakan tempat untuk menimba ilmu.
Isu buli ini tidak boleh dianggap ringan tetapi haruslah dipandang serius. Semua pihak seperti ibubapa, pihak sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa haruslah berkerjasama untuk menangani masalah ini dari terus menular dan membelenggu masyarakat terutamanya para pelajar sekolah. Oleh yang demikian, buku yang bertajuk “Buli: Apa Yang Perlu Anda Tahu” hasil tulisan Mohd Shah A’shaari dan Azman Ibrahim ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan untuk semua lapisan masyarakat bagi mengetahui tentang buli.
Buku ini dibahagikan kepada sepuluh bahagian yang menerangkan tentang apa itu buli, jenis buli, siapa pembuli dan mangsa, faktor berlakunya buli, bila berlakunya buli, mengapa si pembuli membuli mangsanya, kesan-kesan buli serta bagaimana mengatasi buli. Di samping itu juga, penulis turut memaparkan beberapa kes buli yang berlaku di Malaysia untuk dijadikan contoh bahawa kes buli ini sememangnya membawa kesan yang negatif dan perlu diambil perhatian.
Suatu perkara itu akan menjadi besar dan serius apabila mengakibatkan kecederaan yang serius apatah lagi membawa kematian. Memandangkan generasi masa kini adalah tunggak masa depan negara, maka dengan itu masalah buli ini perlu ditangani dan dibanteras bermula di peringkat sekolah agar tidak berleluasa dan merosakkan keharmonian masyarakat kelak. Masyarakat yang sejahtera bermula dengan individu yang berakhlak mulia, bahagia serta berketrampilan agar dapat melahirkan modal insan yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Perancangan, Ranau. Jika anda berminat untuk mengetahui buku ini dengan lebih lanjut sila hubungi kakitangan yang bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
KERESAHAN: PENYAKIT & RAWATAN
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Pailis Atin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Keresahan atau perasaan bimbang adalah reaksi emosi yang lumrah dan normal bagi seseorang yang berada dalam keadaan tertekan. Perasaan bimbang dan gelisah ini adalah suatu fenomena yang dirasai ketika mengurus sesuatu perkara yang tidak diketahui akan berlaku ke atas dirinya. Perasaan ini dapat membantu seseorang itu melakukan beberapa tindakan yang perlu sebagai persediaan untuk mempertahankan diri daripada ancaman, serangan atau malapeteka. Keresahan merupakan mekansime asas individu menangani tekanan sama ada dengan pilihan melawan atau melarikan diri.
Kehidupan hari ini adalah kehidupan yang kompleks. Dari segi psikologi apabila sesorang itu berasa tertekan, maka peristiwa yang berlaku itu akan ditakrifkan sebagai satu ancaman yang menjurus kepada keresahan. Adakalanya, ia berpontensi menjadi penyakit dan justeru itu kefahaman mengenai penyakit dan rawatan keresahan amat penting untuk dihayati bersama agar kita boleh mengubati sebelum terlambat.
Buku bertajuk KERESAHAN: Penyakit & Rawatan diharapkan dapat membantu pembaca memahami kebimbangan dan keresahan. Di dalam buku ini, penyakit keresahan yang juga dikenali kecelaruan keresahan akan dibincangkan secara separa ilmiah supaya ia tidak terlalu rumit dan mudah difahami. Buku ini dipadatkan dengan teori asas, punca dan jenis penyakit serta perawatan kecelaruan keresahan. Semoga dengan menjadikan buku ini sebagai bahan bacaan, kita akan beroleh manfaat dan kefahaman tentang pelbagai jenis penyakit keresahan serta dapat membantu kita mencegah dan merawatnya dengan sempurna. Selain itu, beberapa teknik rawatan seperti psikoterapi dan terapi ubat-ubatan juga turut dibincangkan.
Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai buku ini sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
SEJARAH MIGRASI DUSUN DI SABAH
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Pailis Atin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Kaum Dusun merupakan kaum yang majoritinya mendiami kawasan pedalaman di Sabah seperti Kiulu, Tamparuli, Ranau, Telupid, Keningau, Tambunan, Kota Belud, Kudat dan Kota Merudu pada hari ini sebenarnya telah melakukan beberapa migrasi sebelum menetap di kawasan-kawasan yang disebutkan. Dipercayai penempatan terawal komuniti ini adalah di Gua Niah sebelum bermigrasi ke kawasan pesisir pantai di sekitar Miri, Baram, Belait dan Tutong, Borneo. Selepas itu komuniti ini kemudiannya bermigrasi di sepanjang pantai.
Sejarah migrasi Dusun di Pulau Borneo melalui beberapa fasa. Fasa pertama dipercayai bermula sebelum masihi ( s.m ). Pada masa itu, berlaku migrasi daripada penduduk ras mongolid di serata tempat dan membuat penempatan di Benua Sunda termasuk kawasan Borneo. Dipercayai salah satu kumpulan manusia yang bermigrasi ini adalah luluhur kominiti Dusun.
Selepas tahun masihi, komuniti ini berpindah daripada penempatan seperti di gua ke kawasan pesisir pantai di sepanjang pantai Borneo. Walaupun majoritinya bermigrasi ke kawasan pantai, tetapi dipercayai juga sebilangan kecil bermigrasi ke kawasan lain termasuk pedalaman Kalimantan, Sarawak dan Brunei.
Setelah mendirikan penempatan di pesisir pantai, sekali lagi komuniti ini bermigrasi ke utara Borneo. Sebilangan kecil bermigrasi sehingga ke kepulauan Filipina. Migrasi kedua ini disebabkan kekacauan dan ketidakharmonian di penempatan mereka di pesisir pantai. Migrasi kedua ini juga mewujudkan beberapa penempatan baharu di Borneo Utara, Sabah. Tetapi penempatan terbesar komuniti Dusun adalah di Nunuk Ragang, satu penempatan berhampiran sempadan Ranau dan Telupid pada hari ini. Bagaimanapun, penempatan ini tidak kekal lama dan runtuh pada pertengahan awal abad ke-18. Dipercayai faktor utama keruntuhan adalah kepadatan penduduk sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain.
Selain sejarah migrasi komuniti Dusun, perkara penting yang harus diambil kira untuk melihat perkembangan migrasi adalah pengaruh kuasa besar luar ke atas komuniti Dusun. Selain pengaruh empayar Brunei, kebudayaan China yang dibawah oleh pedagang - pedagang China juga banyak mempengaruhi komuniti Dusun. Ini khususnya peranan yang dimainkan oleh pedagang-pedagang yang menjelajah sehingga ke kawasan pedalaman Sabah untuk mencari sumber seperti hasil hutan untuk dibawa dan didagangkan di Tanah Besar China.
Sejarah migrasi Dusun di Sabah sedikit sebanyak menjelaskan bentuk budaya dan pemikiran komuniti Dusun di Sabah. Dalam erti kata yang lain, budaya yang dapat dilihat dalam komuniti ini adalah keinginan mereka untuk hidup harmoni tanpa peperangan. Punca utama migrasi fasa pertama, fasa kedua dan fasa ketiga adalah keluar daripada ketidakharmonian di penempatan yang diduduki dan mencari penempatan baharu yang lebih aman. Bagaimanapun, migrasi fasa ketiga telah menyebabkan komuniti Dusun hidup dalam budaya berpuak-puak. Kehidupan berpuak-puak telah memberi mereka gambaran yang tidak baik apabila amalan pemburuan kepala menjadi keutamaan dalam hubungan antara satu puak dengan yang lain.
Kedatangan British dan pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara ( SBBU ) telah menyatukan semula puak-puak Dusun dalam satu kaum dibawah nama “ Dusun ”. Bagaimanapun sifat berpuak-puak ini masih dibawa sehingga hari ini apabila beberapa komuniti dalam kumpulan ini tidak mahu dinamakan dalam rumpun Dusunik sehingga mewujudkan istilah baharu untuk menggantikan Dusun. Namun begitu, sentimen tersebut tidak menggambarkan keseluruhan komuniti itu pada hari ini. Sebahagian besarnya sudah mengambil pengajaran daripada sejarah lampau dan kembali menjadi komuniti yang cintakan keharmonian.
Buku ini adalah koleksi buku rujukan yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sejarah Migrasi Dusun Di Sabah, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi di talian 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
MARI BERUBAT DENGAN TUMBUHAN SEKELILING ANDA
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Rupiah Haji Yusof, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang
Anda ada masalah dengan kesihatan diri anda? Mungkin ada yang mengatakan 'Ya' dan mungkin ada yang mengatakan 'Tidak.' Kita sebagai manusia, tidak mungkin dapat lari dari masalah kesihatan diri bila ada sahaja yang mengganggu kita sama ada yang kita sedari mahupun tak kita sedari. Kita merasa sukar untuk melakukan aktiviti harian apabila adanya masalah kesihatan diri yang menghalang kita secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Memandangkan ramai yang jatuh sakit sama ada terhasil dari amalan pemakanan mahupun bukan, rawatan telah diambil bagi memulihkan semula fungsi organ fizikal dan mental manusia. Sejak beribu tahun dahulu manusia telah menggunakan tumbuhan bagi mengatasi masalah ini. Tumbuh-tumbuhan ini boleh dijadikan ubat makan mahupun ubat sapuan.
Perkara utama yang harus diperhatikan oleh seorang pengamal perubatan herba adalah umur si pesakit atau peringkat usia pesakit, adat kebiasaan si pesakit, pekerjaan pesakit, jenis penyakit yang dihadapi, penyebab timbulnya penyakit, keadaan penyakit dan kesan terhadap tubuh pesakit. Selain itu, suhu badan pesakit ketika normal, suhu badan pesakit akibat terjadinya penyakit, keadaan cuaca atau musim yang sedang berlangsung tahun itu, keadaan cuaca ketika datang penyakit, dan keadaan alam sekitar si pesakit juga perlu diambil kira. Seterusnya, ubat yang dapat menghilangkan penyakit pesakit, mutu ubat dan cara pengubatan yang akan diberikan, ubat yang paling sesuai bagi pesakit tanpa kesan sampingan, memberi ubat yang paling menyenangkan pesakit, melakukan cara pengubatan yang paling maksima dan keadaan penyakit sama ada mempunyai harapan untuk sembuh atau tidak.
Setiap tumbuhan yang ada di muka bumi ini mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri, cuma kajian menyeluruh tidak dapat dilakukan pada sesetengah tumbuh-tumbuhan tertentu akibat kekurangan kewangan, tenaga, masa dan ilmu tentangnya. Sebelum kajian saintifik dilakukan kepada tumbuhan yang masih belum diketahui kegunaannya ini, maka sebaiknya kita berpegang kepada tumbuh-tumbuhan yang telah dilakukan kajian ke atasnya untuk tujuan perubatan.
Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang dan anda boleh berhubung dengan kakitangan bertugas untuk pinjaman atau tempahan pinjaman. Sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi di talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang), 088-231623, 214828 atau 256192 (Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
PROJEK LAVENDER: 22 KISAH PEJUANG KANSER YANG CEKAL MELAWAN
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Maimin Binti Napi, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang
Kanser antara penyakit yang digeruni bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Pelbagai jenis kanser yang wujud pada masa ini dan ia menyerang tanpa mengira usia dan merupakan punca kepada kematian. Apabila disahkan menghidap kanser seperti dijatuhkan hukuman mati sedangkan hakikatnya kanser boleh dirawat jika dikesan lebih awal. Gentar untuk menerima rawatan seperti radioterapi atau kemoterapi dan kesan sampingan yang akan dialami adalah stigma terhadap penyakit ini menyebabkan pesakit kanser khuatir untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjutan.
Buku yang menghimpunkan kisah kanser yang dikeluarkan oleh dua penulis ini adalah sangat dialu-alukan untuk memberi pendedahan tentang kanser kepada masyarakat di luar sana. Tuhan tidak akan memberi dugaan yang hambanya tidak mampu tangani. Ya, lebih mudah berkata-kata namun hakikatnya mereka yang mengalami sahaja yang tahu. Pejuang kanser berjuang hidup dengan kanser, berjuang untuk hidup satu hari lagi dan berjuang untuk terus hidup.
Mengapa Projek Lavender? Lavender atau warna ungu cerah ialah warna reben kesedaran kanser secara umum. Buku ini menggabungkan kisah pesakit kanser yang pelbagai seperti kanser payudara, pankreas, hati, paru-paru, usus, limfoma dan leukemia. Di dalam buku ini, 16 kisah diceritakan oleh doktor dan insan yang rapat dengan pesakit kanser, lima kisah diceritakan oleh pesakit kanser dan satu kisah unik tentang kanser yang menyerang haiwan kesayangan. Projek ini adalah satu usaha penulis berkongsi pengalaman yang penting dan memberi pendedahan tentang penyakit kanser. Sememangnya kanser wujud di sekeliling kita. Apa yang cuba disampaikan oleh penulis adalah kisah pejuang kanser yang cekal melawan setiap hari, setiap langkah dan setiap detik. Semoga pembaca mendapat nilai yang bermanfaat daripada buku ini. Tiga perkara yang penulis ingin sampaikan juga adalah harapan, inspirasi dan perjuangan daripada pesakit kanser.
Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang dan anda boleh berhubung dengan kakitangan bertugas untuk pinjaman atau tempahan pinjaman. Sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi di talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang), 088-231623, 214828, atau 256192 (Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
KETAGIHAN TERHADAP MEDIA SOSIAL
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Media sosial merupakan medium komunikasi utama dalam kalangan masyarakat pada masa ini dan telah berkembang dengan pesat. Trend ini menjadikannya suatu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat. Namun kepantasan maklumat yang disampaikan tidak menjamin kesahihannya. Kewujudan gajet dan aplikasi yang canggih telah menjadi pencetus kepada penyampaian maklumat tersebut. Namun demikian, para pengguna haruslah bijak untuk menilai kesahihan maklumat yang disebarkan.
Media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara dalam talian. Media sosial membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi dan mencari kenalan. Antara aplikasi media sosial yang sangat popular pada masa ini adalah aplikasi Facebook dan merupakan media sosial yang terbesar di dunia. Seramai 2.41 bilion pengunjung Facebook aktif telah dicatatkan pada 30 Jun 2019 dan lebih daripada 65 juta perniagaan yang menggunakan Facebook page. Selain itu, aplikasi Youtube juga adalah platform perkongsian video di mana pengguna boleh menonton sehingga berbillion jam video sehari. Pengguna juga boleh membuat saluran Youtube sendiri untuk menjenamakan produk. Di samping itu, mereka juga boleh memuat naik video untuk tontonan pelanggan. Orang yang menonton video yang dimuat naik tersebut boleh memberikan like jika mereka menyukai video tersebut dan menekan dislike jika sebaliknya. Mereka juga boleh meninggalkan komen dan kongsi kepada kawan-kawan yang lain. Antara kelebihan pengguna Youtube yang aktif adalah boleh menghasilkan pendapatan melalui video-video yang dimuatnaik.
Penggunaan aplikasi whatsapp juga sangat popular. Whatsapp adalah aplikasi untuk chatting yang digunakan lebih daripada 180 negara. Pada mulanya, Whatsapp hanya digunakan oleh orang awam untuk berkomunikasi dengan keluarga dan teman-teman. Namun, secara berperingkat orang ramai mula berkomunikasi dengan ahli perniagaan melalui Whatsapp. Whatsapp sudah mula mewujudkan platform bisnes. Platform ini memberi peluang kepada ahli perniagaan untuk mendapatkan sokongan bisnes yang lebih baik. Terdapat juga penggunaan aplikasi Tiktok dan Instagram yang sangat popular yang mana fungsi dan kegunaanya sama seperti Facebook, Whatsapp dan Youtube.
Kekerapan penggunaan media sosial boleh menyebabkan ketagihan kepada pengguna. Menurut sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sejumlah 50.4 peratus kanak-kanak berusia umur 12 tahun di negara ini memiliki telefon pintar. Manakala, 78.8 peratus pengguna internet terutama kanak-kanak di Malaysia juga mengalami ketagihan internet dan keadaan ini amat membimbangkan walaupun negara bergerak menuju ke arah digital. Antara faktor ketagihan media sosial adalah kebergantungan kepada telefon pintar, tidak beretika dengan melanggar peraturan bagi pelajar dan penjawat awam serta tidak berminat melakukan aktiviti senaman ataupun bersukan. Selain itu, ia boleh memudaratkan kesihatan para pengguna media sosial.
Punca ketagihan terhadap laman sesawang sosial juga adalah disebabkan kurangnya didikan agama dan moral, pengaruh rakan sebaya dan faktor diri remaja itu sendiri. Mereka berpendapat bahawa kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan semata-mata yang menyebabkan mereka hanyut serta gagal dalam hidup. Seterusnya, sikap ibu bapa juga yang sering sibuk dengan pekerjaan boleh menyebabkan remaja terjerumus ke dalam gejala sosial sehingga terlepas pandang tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Ketagihan bermain dengan mesin perjudian melalui aplikasi telefon pintar juga sangat terkenal dan mudah mempengaruhi masyarakat.
Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memantau anak-anak mereka terutamanya golongan remaja agar mereka menggunakan media sosial sebagai platform untuk menimba ilmu dan mencari maklumat yang berfaedah demi kesejahteraan hidup mereka pada masa depan. Penggunaan media sosial pada masa ini mempunyai kebaikan dan kerburukan tersendiri. Justeru, semua golongan masyarakat wajib untuk berfikir secara bijak untuk menentukan penggunaan sosial media agar tidak berlebihan.
Buku ini adalah koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Ranau. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Ranau atau Kota kinabalu. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Tanaman Unik, Koleksi 3
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jessica Amran, Pelatih Industri, UiTM Puncak Perdana, Cawangan Selangor
Tumbuh-tumbuhan merupakan sebahagian daripada keseimbangan ekosistem bumi yang memainkan peranan sebagai sumber oksigen dan keseimbangan rantaian makanan bagi haiwan dan manusia. Tumbuhan flora yang unik telah mencetuskan idea penanaman sekaligus meransang minat dan hobi dalam bidang penanaman tumbuhan unik.
Trend baharu di kalangan pengemar tanaman yang kian popular iaitu penanaman tumbuhan unik menjadi pilihan untuk menjadi hiasan laman sebagai salah satu tanaman alternatif. Buku yang bertajuk “Tanaman Unik, Koleksi 3” yang di tulis oleh Wilson H.P. Chua merupakan buku yang menjelaskan keunikan 10 spesis tanaman unik dan juga memberi panduan kepada penggemar tumbuhan-tumbuhan unik dari segi penjagaan dan pembiakannya.
Menurut penulis, beliau mempercayai setiap tumbuhan-tumbuhan flora mempunyai keunikannya yang berbeza dan ia memerlukan cara penjagaannya yang tersendiri. Buku ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai satu panduan penjagaan dan pembiakan penanaman tanaman unik di Malaysia kerana sumber maklumat mengenai spesis tanaman unik ini mengambil kira iklim di negara kita sendiri iaitu panas dan lembab sepanjang tahun.
Secara keseluruhannya, penulis membahagikan buku ini kepada sepuluh bab di mana setiap bab mengulas mengenai habitat atau spesis tumbuhan yang berlainan. Sepuluh spesis tanaman unik mewakili sepuluh bab dalam buku ini. Antara spesis tanaman yang terdapat dalam buku ini adalah Castanospermum, Cephalotus, Dischidia, Dodder, Euforbia, Klover, Lingzhi, Orkid Hantu, Rudraksha dan Sanseviera. Setiap bab menjelaskan perincian mengenai asal usul tumbuhan, keunikan, kaedah pengendalian tumbuhan unik dan keperluan tanaman itu sendiri.
Sebagai kesimpulan, buku ini dapat menjadi panduan dan rujukan kepada pembaca yang mempunyai minat dalam bidang penanaman. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk di hantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.
BUKAN GENERASI REMOTE CONTROL
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Suraida Hj Mahansah, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Terkenang sebuah petikan pantun tradisi Melayu yang berbunyi ‘buai tinggi-tinggi, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab’. Pantun ini barangkali asalnya mahu membayangkan maksud lain, tetapi ia sesuai menjadi kritikan buat masyarakat zaman kini yang tak sabar-sabar mahukan anak serba pandai. Apakah yang terlalu kita kejarkan? Masyarakat kini semuanya hendak cepat dan segera. Sedangkan pendidikan adalah suatu proses yang mengambil masa. Menurut Howard Gardner, manusia mempunyai kecerdasan yang berbeza. Ada yang suka menaakul dan mengira, ada yang indah berkata-kata, melukis dengan lukisan yang cantik, mempunyai emosi yang sensitif, lantang bersuara dan ada yang lambat dan ada yang cepat. Begitulah sebahagian kecil daripada perbezaan anak-anak. Tetapi, setiap umur ada perkembangaan yang boleh dikenalpasti dan dikemudi serta tahap-tahapnya. Oleh itu, pentingnya bagi kita memahami pendidikan awal kanak-kanak.
Namun begitu di negara kita, bidang pendidikan awal kanak-kanak masih dilihat sebahagian besar sebagai satu kerjaya sampingan, sembilan, atau bukan suatu yang tinggi. Sedangkan sebagai suatu kemponen masyarakat, semua kerjaya ada fungsinya dan tidak boleh dinafikan sumbangannya. Malah, pendidikan awal yang perlu ditekankan lebih dahulu daripada pendidikan rendah atau menengah, kerana ia akan memberi impak kepada peringkat seterusnya.
Bayangkan kita sedang belajar perkara baharu yang kita langsung tidak tahu mengenainya. Seseorang tidak boleh menjadi pandai dalam suatu perkara dengan sekelip mata. Sebagai contoh, belajar memandu kereta memerlukan kita mengetahui komponen di dalam kereta dan bagaimana cara mengendalikannya, sambil mengikut nasihat jurulatih pemanduan. Semakin hari, kita mengetahui cara memegang stereng supaya tidak terlepas ketika membelok, bagaimana menekan brek, bila masa yang sesuai menekan klac, seterusnya mencuri pandang cermin sisi dan belakang. Apabila sudah tahu asasnya, barulah kita sedia melangkah ke jalan raya yang lebih mencabar. Di samping itu, perlu tahu peraturan jalan raya. Tidak boleh berhenti atau brek sesuka hati, perlu pandai mengekori pace kereta dihadapan, dan perlu pertimbangkan pengguna jalan raya lain seperti motosikal dan pejalan kaki. Kemudian, setiap kereta pula berbeza spesifikasi, cara mengendali, cara menyelenggara dan ketahanannya. Setelah memahami asas, kita boleh menyesuaikan pengendalian kenderaan lain. Jika salah asas awalnya, kesannya boleh dilihat pada pemanduan kita.
Demikian pula, pendidikan awal adalah perkara yang lebih asas perlu difahami sebelum ke peringkat yang seterusnya. Contohnya, sebelum menulis ABC, perlu difahami perkembangan fizikal pada otot lengan dan tangan untuk memastikan pensel dipegang dengan baik terlebih dahulu. Terdapat tiga bahagian utama, iaitu perkembangan kanak-kanak, keibubapaan, dan seputar institusi (guru, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa ). Walaupun buku ini memfokuskan bidang pendidikan awal, tetapi mereka yang berlatarbelakang bidang pendidikan yang lebih tinggi juga perlu membacanya.
Kanak-kanak bukanlah kereta mainan yang kita boleh kawal dengan remote control. Sebagai ibu bapa, kebolehan, keperluan dan kehendak kanak-kanak itu perlu disokong agar mereka lebih berdedikasi dan berkeyakinan untuk menempuh cabaran hidup. Pada masa depan, merekalah yang akan memandu 'kereta' mereka sendiri ke 'dunia trafik' yang penuh liku. Semoga buku ini menjadi pengenalan kepada dunia pendidikan awal yang lebih luas, serta menjadi panduan awal buat kita dalam membentuk generasi yang lebih baik.
Buku ini boleh diperolehi di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk pinjmanan dan mengetahui ketersediaan buku ini.
Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru