DADAH DARI ZOMBI KE INSAN KAMIL
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rofli Bin Roslan, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Buku ini ditulis untuk berkongsi tentang kisah nyata perjalanan hidup dan pengalaman dari seorang hamba allah yang daif yang tidak pernah luput dari dosa, khilaf dan kesalahan. Hidup ini memang penuh warna-warni, penuh dengan suka dan duka, kesedihan dan kebahagiaan, penderitaan dan kesenangan serta kebaikan dan kejahatan yang sentiasa memberi erti dalam kehidupan manusia. Bukan hal yang mudah bagi seseorang untuk mengungkap kembali lembaran kelam masa lalunya. Apalagi untuk berkongsi kisah benar perjalanan hidup ke dalam sebuah buku yang kelak akan menjadi bacaan umum. Sesiapa saja berhak untuk membaca dan untuk mengetahui kisah seorang hamba allah yang daif ini.
kisah dan penceritaan yang telah dibukukan ini memerlukan sebuah jiwa yang besar dan kerelaan menanggung malu. Namun, demi teladan dan hikmah yang dipetik dari pengalaman kisah hidup seorang bekas penagih dan pengedar dadah ini akan dapat memberi kesedaran kepada para pembaca agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan. Jangan pernah berfikir untuk sekadar mencuba sekali atau dua kali kerana sukar untuk melepaskan diri setelah terjebak kepada najis dadah ini. Oleh itu, jauhi diri daripada terjebak kepada najis dadah demi kebaikan diri sendiri dan keluarga.
Justeru, keluarga adalah sumber kekuatan dan penyuntik semangat kepada bekas penagih dan pengedar dadah untuk memberi sokongan positif dan membantu mereka sehingga berjaya melepaskan diri dari kancah dadah ini. Buku ini sesuai untuk bacaan umum terutamanya remaja, ibu bapa dan pendidik. Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.
Buku ini adalah koleksi di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.