DILEMA PEMBULI DAN KAKI BULI
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Rafiah binti Rahban, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan
Buli adalah suatu perbuatan atau tindakan yang disertakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang. Ia juga boleh dikatakan sebagai penderaan rakan sebaya. Buli melibatkan serangan fizikal dan ancaman. Selain itu, mencuri, memeras ugut, dan juga penderaan lisan juga ditakrifkan sebagai buli termasuklah mengejek isu perkauman dan juga gangguan seksual. Buli juga merupakan tingkah laku agresif yang berulang untuk menyakiti individu lain. Tujuan buli dibuat adalah untuk menunjukkan si pembuli lebih berkuasa dan memberi kesan mudarat kepada mangsa sama ada dari aspek fizikal ataupun psikologikal.
Terdapat beberapa jenis kategori buli dan antara yang sering diperkatakan adalah buli fizikal. Ianya melibatkan tindakan yang agresif yang mana individu yang lebih kuat dan besar cenderung membuli mangsa yang lemah dan tubuh fizikal yang lebih kecil. Ia melibatkan serangan seperti menendang, menampar dan menumbuk. Buli lisan adalah sebarang perlakuan seperti mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin atau fitnah, mengancam dan mengejek orang lain. Buli sering kali berlaku dan tidak mengira tempat seperti sekolah, kawasan awam, di rumah, tempat kerja dan lain-lain lagi. Buli siber pula adalah merupakan perbuatan buli berulang dengan tujuan menakutkan, mendatangkan kemarahan dan juga memalukan seseorang.
Buli siber dilakukan dengan menggunakan kemudahan komunikasi teknologi seperti teks chatting, emel, laman media sosial, telefon bimbit dan lain-lain lagi. Implikasi daripada perbuatan buli siber adalah lebih meluas dan cepat serta ianya berlaku selama 24 jam sehari selagi peranti yang digunakan mendapat capaian internet.
Terdapat pelbagai kesan buruk yang terjadi akibat daripada perbuatan buli antaranya adalah seperti timbul perasaan takut terhadap pembuli terutama sekali apabila perbuatan buli yang melibatkan sentuhan fizikal. Ini adalah kerana sekiranya mangsa buli tidak menuruti kehendak pembuli maka mangsa akan dipukul, didera dan dibelasah oleh pembuli sekiranya melawan. Selain itu, kesan lain juga adalah mangsa hilang tumpuan sama ada di sekolah ataupun ditempat kerja dan kesan yang paling teruk adalah sehingga mangsa bertindak untuk mencederakan diri.
Justeru itu, buli banyak membawa kepada keburukan dan juga masalah sosial sama ada di peringkat golongan kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Perkara ini perlu ditangani dengan telus dan lebih proaktif. Didikan dari rumah mengenai kesedaran buli adalah wajar diterapkan bagi melahirkan golongan yang bukan sahaja celik ilmu malahan tinggi sifat empati terhadap sesama manusia.
Buku ini adalah koleksi yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan. Sekiranya berminat dengan buku ini boleh menghubungi talian 089-210215. Selain itu, boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
English
Malay
