|
|
Alamat : Perpustakaan Cawangan Ranau, No.Tel : 088-875419 Ketua : Alwin Aslin |
| HARI | MASA PEMBUKAAN |
|---|---|
| Isnin | 9.00 PAGI Hingga 5.00 PETANG |
| Selasa Hingga Jumaat | 9.00 PAGI Hingga 5.00 PETANG |
| Sabtu | 9.00 PAGI Hingga 2.00 PETANG |
| Ahad & Cuti Umum | TUTUP |
|
|
Alamat : Perpustakaan Cawangan Ranau, No.Tel : 088-875419 Ketua : Alwin Aslin |
| HARI | MASA PEMBUKAAN |
|---|---|
| Isnin | 9.00 PAGI Hingga 5.00 PETANG |
| Selasa Hingga Jumaat | 9.00 PAGI Hingga 5.00 PETANG |
| Sabtu | 9.00 PAGI Hingga 2.00 PETANG |
| Ahad & Cuti Umum | TUTUP |
JEJAK-JEJAK PENDIDIK
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Bernard Ang Kok Vui, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Negeri Sabah
Buku berjudul Jejak-Jejak Pendidik ini merupakan sebuah buku yang merakamkan 50 orang guru pesara yang telah meninggalkan ilham dan legasi mereka sebelum bersara. Legasi dan sumbangan mereka terhadap pendidikan di tanah air kita, iaitu Sabah telah direkodkan di dalam buku ini untuk rujukan para pendidikan ataupun bakal guru yang ingin menjadi pendidik di tanah air kita ini.
Pencipta buku ini diberi peluang untuk menyusun dan menyelenggara buku ini oleh Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, (PBPPM), Cawangan Sabah. Pencipta buku ini menerima tanggungjawab untuk menyelenggara buku kerana dia bangga dengan kemajuan Sabah dalam jurusan pendidikan dan ingin memberi kehormatan kepada mereka yang telah menyumbangkan kepada kemajuan ini.
Buku ini juga turut disertakan biodata setiap pendidik yang telah bersara untuk memberitahu pembaca asal usul pendidik. Justeru itu, sejarah pendidik yang disenaraikan dalam buku ini memberi satu penjelasan dan juga satu pengajaran kepada para pembaca.
Menurut salah satu pendidik di dalam buku ini, iaitu Sinteh Bin Japil (HAJI) di muka surat 294-298 yang telah menarik perhatian saya untuk turut membaca buku ini. Pengalaman dan juga sumbangan beliau terhadap pendidikan di Kota Belud salah satu daerah di Sabah, telah memajukan taraf pendidikan sekolah di daerah tersebut. Justeru itu, beliau menunjukkan bahawa seorang pendidik tidak perlu daripada latar belakang yang bijak ataupun mewah. Seorang pendidik yang maju memerlukan hati dan jiwa yang baik dan jujur pada kepercayaannya untuk mendidik anak-anak muda di Sabah ini.
Secara ringkasnya, Sinteh Bin Japil dan pendidik-pendidik lain yang ternyata dalam buku ini mengalami banyak cabaran terutamanya pada awalnya kerana pada zaman tersebut, pendidikan untuk orang kampung sangat sukar untuk didapati. Atas sumbangan mereka yang terus berjuang, pendidikan yang kita dapat pada zaman sekarang dapat dicapai. Oleh itu, ribuan terima kasih perlu diucap kepada semua pendidik yang telah disenarai di buku ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh berkunjung ke Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah dan perpustakaan yang terdekat atau melayari laman sesawang https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
TABIAT BURUK YANG PERLU DIELAKKAN OLEH REMAJA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Sylmyra Sylvester, Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah
Buku berjudul Tabiat Buruk yang Perlu Dielakkan oleh Remaja merupakan sebuah buku berbentuk motivasi dan pendidikan yang diterbitkan oleh Bright Publications Sdn. Bhd. pada tahun 2024. Buku ini ditulis oleh Karlina Osman dan Melissa Goh yang memberi tumpuan kepada isu pembentukan sahsiah, gaya hidup dan tingkah laku remaja dalam kehidupan seharian. Penulisan buku ini disasarkan kepada golongan remaja sebagai pembaca utama, khususnya pelajar sekolah menengah yang berada dalam fasa perkembangan diri dan pembentukan identiti.
Buku ini mempunyai ketebalan sebanyak 24 muka surat dan disusun dengan penggunaan saiz tulisan yang jelas serta mudah dibaca. Susun atur teks yang kemas dan teratur memudahkan pembaca mengikuti isi kandungan tanpa gangguan. Walaupun buku ini tidak mengandungi indeks atau bibliografi, kandungannya masih sesuai dijadikan bahan bacaan asas yang bersifat informatif dan memberi pendedahan awal kepada remaja tentang kesan tabiat harian terhadap kehidupan mereka.
Tujuan utama penulisan buku ini adalah untuk memberi kesedaran kepada remaja tentang tabiat buruk yang sering dilakukan secara tidak sedar dan dianggap remeh. Penulis menekankan bahawa peringkat remaja merupakan satu fasa penting dalam pembentukan personaliti, nilai diri dan corak kehidupan. Oleh itu, tabiat yang dibentuk pada usia ini berpotensi mempengaruhi kesihatan fizikal, kestabilan emosi, pencapaian akademik serta hubungan sosial pada masa hadapan. Buku ini bertujuan membantu pembaca mengenal pasti tabiat negatif yang perlu dielakkan dan seterusnya menggalakkan pembentukan tabiat hidup yang lebih positif, sihat dan berdisiplin.
Tema utama buku ini ialah kepentingan membentuk tabiat hidup yang sihat dan seimbang dalam kalangan remaja. Kandungan buku memfokuskan kepada isu-isu yang dekat dengan kehidupan seharian golongan muda. Antara tabiat buruk yang dibincangkan termasuk pengambilan makanan segera secara berlebihan, kurang minum air kosong, berjaga sehingga lewat malam, melangkau waktu makan dan kurang menjaga rutin harian yang sihat. Tabiat-tabiat ini sering dianggap biasa dalam kalangan remaja, namun penulis menjelaskan bahawa kesannya boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan dan tahap kecergasan dalam jangka panjang.
Selain tabiat berkaitan kesihatan fizikal, buku ini turut membincangkan aspek pembentukan nilai moral dan etika dalam diri remaja. Penulis menyentuh amalan-amalan asas seperti bersikap jujur, mengucapkan terima kasih, menghormati orang lain dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri. Nilai-nilai ini dilihat sebagai asas penting dalam membentuk sahsiah remaja yang seimbang dan berakhlak. Penekanan terhadap nilai moral ini menjadikan buku ini bukan sahaja tertumpu kepada kesihatan fizikal, malah turut merangkumi aspek pembentukan keperibadian.
Buku ini juga tidak mengabaikan perbincangan tentang tabiat berisiko tinggi dalam kalangan remaja. Antara isu yang diketengahkan ialah merokok, penggunaan rokok elektronik atau vape serta penyalahgunaan alkohol dan dadah. Penulis menjelaskan kesan buruk tabiat-tabiat ini terhadap kesihatan, masa depan dan kesejahteraan hidup remaja. Penekanan diberikan bahawa pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba sering menjadi punca utama remaja terjebak dengan tabiat tersebut. Oleh itu, buku ini berperanan sebagai bahan kesedaran awal bagi membantu remaja membuat pilihan yang lebih bijak.
Dari segi penyampaian, penulis menggunakan bahasa yang ringkas, mudah difahami dan sesuai dengan tahap pemikiran remaja. Setiap topik dihuraikan secara padat dan disertakan dengan penerangan yang jelas mengenai kesan tabiat buruk tersebut. Penggunaan contoh situasi harian menjadikan isi kandungan lebih dekat dengan pengalaman sebenar pembaca. Walaupun buku ini tidak menyertakan rujukan saintifik atau kajian akademik yang mendalam, penyampaiannya tetap berkesan dalam menyampaikan mesej utama kepada pembaca sasaran.
Dari sudut fizikal, buku ini mempunyai ikatan yang kemas serta kualiti cetakan yang memuaskan. Tipografi yang digunakan jelas dan tidak meletihkan mata pembaca walaupun dibaca dalam tempoh yang lama. Namun begitu, ketiadaan ilustrasi, carta atau elemen grafik menjadikan persembahan buku ini agak sederhana. Sekiranya elemen visual ditambah, ia berpotensi meningkatkan daya tarikan buku ini, khususnya kepada remaja yang lebih cenderung kepada pembelajaran berbentuk visual. Walau bagaimanapun, saiz buku yang kecil dan ringan menjadikannya mudah dibawa serta sesuai dijadikan bahan bacaan ringkas.
Secara keseluruhannya, Tabiat Buruk yang Perlu Dielakkan oleh Remaja merupakan sebuah buku yang bermanfaat dan sesuai dijadikan bahan bacaan tambahan kepada pelajar sekolah menengah. Buku ini membantu pembaca mengenal pasti tabiat negatif yang perlu dihentikan serta mendorong mereka untuk melakukan perubahan ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan positif. Walaupun kandungannya bersifat ringkas dan tidak disokong dengan rujukan akademik, mesej yang disampaikan jelas dan mudah difahami. Buku ini sesuai digunakan dalam program pembangunan sahsiah, pendidikan kesihatan serta bimbingan dan kaunseling di sekolah.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh berkunjung ke Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah dan perpustakaan yang terdekat atau melayari laman sesawang https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
PENANAMAN CILI SECARA INTENSIF
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Atsi binti Alih, Perpustakaan Desa Kampung Meligan
Cili, yang juga dikenali sebagai lada atau cabai, merupakan sejenis sayuran yang mempunyai nilai produktiviti tinggi dan dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk produk makanan. Cili digunakan secara meluas sebagai penyedap rasa dan rempah ratus dalam masakan. Selain itu, cili juga menjadi bahan asas dalam industri pembuatan sos, pes dan serbuk rempah yang digunakan dalam makanan segera seperti mi segera, produk makanan segera di restoran francais seperti McDonald’s, Kentucky Fried Chicken serta pelbagai jenis makanan ringan. Pada masa kini, permintaan terhadap cili semakin meningkat dan keadaan ini menjanjikan peluang yang besar untuk diusahakan secara intensif.
Keupayaan cili untuk melazatkan makanan serta menjadi kegemaran masyarakat di seluruh dunia menjadikan hasil pengeluarannya sentiasa mendapat permintaan tinggi. Oleh itu, pengeluaran cili secara maksimum amat penting bagi memastikan hasilnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Analisis terhadap prospek perusahaan penanaman cili perlu dilakukan untuk memahami potensi keuntungan dan risiko kerugian yang mungkin dihadapi. Maklumat serta kaedah pengurusan penanaman cili perlu dikaji secara menyeluruh, meliputi penyediaan kawasan tanaman, pemilihan biji benih yang sihat, penjagaan tanaman secara intensif, pengendalian perosak dan penyakit, proses penuaian serta pengendalian hasil selepas tuaian.
Di Malaysia, prospek penanaman cili semakin berkembang dan semakin ramai yang mula menceburi bidang perusahaan ini. Perkembangan ini membuktikan bahawa sektor pertanian, khususnya dalam tanaman hortikultur, menunjukkan pertumbuhan yang positif dan berpotensi untuk diusahakan secara komersial. Tanaman cili masih menjadi pilihan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil di negara ini kerana kitaran pulangan modalnya lebih cepat berbanding sektor pertanian lain yang menggunakan benih tradisional. Salah satu usaha yang mendapat perhatian ramai pengusaha ialah perusahaan cili hibrid (kacukan), yang telah diusahakan secara meluas di seluruh dunia, termasuk di kawasan tropika, subtropika dan juga kawasan bersuhu rendah.
Menurut sejarah, tanaman cili berasal dari benua Amerika Selatan. Pada peringkat awal, tanaman ini ditanam secara semula jadi oleh petani. Seiring dengan perkembangan ilmu botani, para pakar telah menjalankan pelbagai usaha penambahbaikan melalui kaedah pemilihan negatif dan positif bagi membentuk ciri-ciri cili yang memenuhi kehendak pasaran, sama ada dari segi kualiti mahupun kuantiti. Hasilnya, cili kini menjadi salah satu tanaman makanan yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Penulis menghasilkan buku ini berdasarkan pengalaman peribadi serta pemerhatian yang mendalam, termasuk kaedah penanaman cili yang telah dipraktikkan oleh pengusaha dari dalam dan luar negara. Penulis yakin bahawa buku ini dapat menjadi panduan yang berguna serta membantu golongan yang berminat untuk menceburi bidang perusahaan penanaman cili secara serius dan terancang.
Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Desa Kampung Meligan, Sipitang. Orang ramai boleh berhubung secara langsung dengan Pengawas bertugas untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempahan dan pinjaman buku tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai ketersediaan buku, sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah di https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 088-231623, 088-214828 dan 088-256192 (Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah). Walau bagaimanapun, penghantaran buku ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu mungkin mengambil sedikit masa, justeru pengguna digalakkan menghubungi perpustakaan terdekat untuk urusan tempahan
KESIHATAN DI TEMPAT KERJA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Rupiah binti Yusof, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang
Kesihatan pekerjaan merupakan satu cabang penting dalam bidang kesihatan kerana ia memberi penekanan terhadap kesejahteraan kesihatan pekerja serta individu yang berada di tempat kerja. Setiap pekerja lazimnya menghabiskan sekurang-kurangnya lapan jam sehari di tempat kerja. Namun, tempoh bekerja sebenarnya melebihi lapan jam sekiranya diambil kira masa persiapan ke tempat kerja, perjalanan pergi dan balik, serta kerja lebih masa. Apabila masa tidur dan makan ditolak, jumlah masa bekerja dan masa berjaga dalam sehari boleh melebihi 70 peratus daripada keseluruhan masa harian.
Di Malaysia, bidang kesihatan pekerjaan disokong oleh perundangan khusus yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja. Perkembangan kesihatan pekerjaan bermula sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu, khususnya melalui pelaksanaan program kesihatan bagi pekerja dalam sektor perlombongan dan perladangan. Seiring dengan peredaran masa, usaha melindungi kesihatan pekerja terus diperkukuh melalui penggubalan pelbagai akta dan peraturan baharu yang diwartakan.
Pelbagai agensi terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan pekerjaan. Oleh itu, bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa terjamin, kerjasama yang erat antara pelbagai bidang kepakaran dan agensi berkaitan amat diperlukan. Pendekatan bersepadu ini penting bagi menjayakan serta memajukan bidang kesihatan pekerjaan secara menyeluruh.
Pengumpulan data secara terancang serta penganalisisan menggunakan kaedah statistik mampu memberikan maklumat yang amat berharga. Data tersebut boleh dimanfaatkan dalam aktiviti rawatan dan pencegahan penyakit. Maklumat berkaitan ketidakhadiran bekerja, jenis penyakit yang dialami pekerja, kemalangan serta kematian sangat berguna untuk mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Data yang dianalisis secara sistematik juga dapat mengenal pasti pelbagai faktor risiko di tempat kerja yang berpotensi menyebabkan penyakit pekerjaan.
Pengawasan kesihatan merupakan aktiviti pengumpulan data kesihatan pekerja, data pemantauan pendedahan kepada agen berbahaya serta maklumat berkaitan lain secara sistematik untuk dianalisis dan ditafsirkan. Tujuan utama pengawasan ini adalah untuk mengesan keabnormalan kesihatan pekerja pada peringkat awal. Pekerja yang dikenal pasti mengalami masalah kesihatan akan menerima rawatan segera bagi mengelakkan penyakit tersebut menjadi lebih serius, manakala langkah pencegahan turut dilaksanakan bagi melindungi pekerja lain daripada risiko yang sama.
Penggunaan bahan kimia adalah sangat meluas di pelbagai jenis tempat kerja, terutamanya dalam sektor industri. Bahan kimia digunakan sama ada sebagai bahan mentah, bahan perantaraan proses atau sebagai hasil akhir sesuatu pengeluaran. Walaupun terdapat tempat kerja yang tidak menggunakan bahan kimia sebagai bahan utama, kebanyakan premis tetap menggunakan bahan kimia sebagai agen pencuci atau disinfektan. Oleh itu, pekerja yang terdedah kepada bahan kimia perlu dipantau secara berkala melalui pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada kesan berbahaya bahan tersebut.
Stres pekerjaan pula ditakrifkan sebagai tindak balas fizikal dan emosi yang berlaku apabila tuntutan kerja tidak sepadan dengan keupayaan, kemahiran dan keperluan seseorang pekerja. Dari sudut kognitif, stres lebih tertumpu kepada persepsi individu, iaitu keadaan tekanan timbul apabila seseorang merasakan tuntutan yang dihadapi melebihi keupayaannya untuk mengatasi situasi tersebut. Tanggungjawab mencegah masalah stres di tempat kerja perlu dipikul bersama oleh semua pihak yang terlibat, termasuk pekerja, majikan, pakar kesihatan pekerjaan dan pakar psikologi.
Persekitaran tempat kerja yang sihat mampu melahirkan tenaga kerja yang sihat dan produktif. Sebaliknya, keadaan tempat kerja yang tidak selamat dan berbahaya boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan fizikal, mental dan sosial pekerja. Kemudaratan kesihatan yang berpunca daripada tempat kerja boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti bahaya fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial.
Secara keseluruhannya, buku ini memberikan gambaran yang menyeluruh dan jelas tentang kepentingan kesihatan pekerjaan dalam menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja. Buku ini merupakan sebahagian daripada Koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang. Orang ramai boleh berhubung dengan kakitangan bertugas bagi tujuan pinjaman atau tempahan. Untuk maklumat lanjut mengenai ketersediaan buku, sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah di https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang) serta 088-231623, 088-214828 dan 088-256192 (Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah). Walau bagaimanapun, penghantaran buku ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu mungkin mengambil sedikit masa, justeru pengguna digalakkan menghubungi perpustakaan terdekat untuk urusan tempahan
KOMUNIKASI BERKESAN APLIKASI UNTUK REMAJA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Rupiah binti Yusof, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang
Apabila memperkatakan tentang komunikasi, kita tidak dapat lari daripada membincangkan hubungan antara individu dengan individu atau antara individu dengan anggota masyarakat yang lain. Sebenarnya, istilah komunikasi atau communication berasal daripada perkataan Latin communis yang bermaksud sama. Ia juga dikenali sebagai communico, communication atau communicare yang membawa maksud membuat sama. Ringkasnya, komunikasi berlaku apabila wujud persamaan kefahaman antara penyampai dan penerima. Oleh itu, keberkesanan sesuatu komunikasi sangat bergantung pada keupayaan kedua-dua pihak untuk saling memahami antara satu sama lain.
Secara umumnya, proses komunikasi dapat digambarkan apabila seorang komunikator (penyampai) yang mempunyai hasrat untuk berkomunikasi menghantar mesej kepada penerima. Mesej yang disampaikan lazimnya berbentuk maklumat yang menggunakan bahasa atau simbol-simbol tertentu yang boleh difahami oleh kedua-dua pihak. Penyampaian mesej ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran media, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Contohnya, komunikasi boleh berlaku melalui perbualan bersemuka, telefon, surat, e-mel, Facebook serta media lain yang bersesuaian.
Tujuan utama komunikasi adalah untuk menyampaikan maklumat daripada penyampai kepada pendengar melalui medium bahasa. Dalam proses ini, terdapat tiga komponen utama yang terlibat, iaitu penyampai, mesej dan pendengar. Selain itu, komunikasi juga melibatkan aspek pendengaran dan komunikasi tanpa lisan. Pendengar akan memberi respons atau tindak balas terhadap mesej yang diterima. Aspek pendengaran meliputi ucapan, nyanyian serta penggunaan intonasi suara yang dapat didengari, manakala komunikasi tanpa lisan merangkumi bahasa badan (body language), bahasa isyarat (sign language), paralanguage, sentuhan (touch), kontak mata (eye contact) dan penulisan. Kesemua elemen ini membantu penerima memahami maksud sebenar sesuatu mesej yang disampaikan.
Sebarang faktor yang menghalang pemindahan maklumat antara penyampai dan penerima dianggap sebagai halangan komunikasi. Walau apa pun puncanya, halangan komunikasi boleh ditakrifkan sebagai perkara yang mengganggu atau menghalang proses penyampaian dan penerimaan maklumat. Bagi memastikan komunikasi dapat disampaikan dengan berkesan kepada audiens sasaran, seseorang komunikator, khususnya dalam kalangan remaja, perlu bijak mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan yang wujud. Terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti sebagai penghalang utama dalam komunikasi, sama ada dari aspek individu, persekitaran mahupun teknikal.
Untuk menjadi seorang komunikator yang baik dan berkesan, seseorang remaja sewajarnya memastikan ucapan, pidato, syarahan atau ceramah yang disampaikan mampu memberi kesan dan impak yang mendalam kepada audiens. Slogan seperti “aku mesti melakukan yang terbaik” perlu diterapkan dalam diri setiap komunikator, terutamanya penyampai muda, agar mereka sentiasa bersedia mempersembahkan komunikasi yang berkualiti. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, tidak semua komunikator mampu menyampaikan maklumat dengan baik di hadapan audiens. Situasi ini biasanya berpunca daripada faktor persekitaran atau kekangan dalaman yang membatasi keupayaan individu tersebut.
Buku ini turut mengetengahkan tiga kaedah utama untuk menilai keberkesanan sesuatu ucapan. Kaedah ini boleh diaplikasikan oleh komunikator remaja mahupun dewasa. Pertama, komunikator yang berwibawa akan sentiasa menilai keseluruhan ucapannya dengan memastikan persiapan dan perancangan dilaksanakan secara teratur dan rapi. Kedua, komunikator yang berkesan harus mampu menjangka kemungkinan yang akan berlaku serta bersedia menghadapi sebarang permasalahan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Ketiga, seorang komunikator yang bijak perlu fleksibel dalam mengubah suai isi ucapan berdasarkan maklumat baharu dan terkini yang diperoleh, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Bagi mengatasi situasi audiens yang kurang memberi tumpuan atau suasana persekitaran yang tidak kondusif, komunikator remaja perlu bijak menarik perhatian audiens dengan menyentuh isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka. Penglibatan audiens boleh dipertingkatkan dengan mengemukakan soalan atau membincangkan perkara yang relevan dengan pengalaman dan persekitaran seharian mereka. Pendekatan ini mampu merangsang minat audiens serta mendorong mereka untuk terlibat secara aktif dalam proses komunikasi.
Secara keseluruhannya, komunikasi berperanan penting dalam membuka minda dan pemikiran seseorang, sama ada ketika menerima maklumat mahupun menyampaikannya kepada orang lain. Komunikasi yang berkesan melalui perkongsian idea dan perasaan mampu membina hubungan yang harmoni serta memupuk sikap saling menghormati antara individu. Melalui komunikasi juga, seseorang dapat memindahkan maklumat dan memberi kefahaman yang jelas kepada orang lain tentang sesuatu isu atau perkara yang dibincangkan.
Buku ini merupakan sebahagian daripada Koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang. Orang ramai boleh berhubung dengan kakitangan bertugas untuk tujuan pinjaman atau tempahan. Untuk maklumat lanjut mengenai ketersediaan buku, sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah di https://library.sabah.gov.my atau hubungi talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang), serta 088-231623, 088-214828 dan 088-256192 (Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah). Walau bagaimanapun, penghantaran buku ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu mungkin mengambil sedikit masa, oleh itu pengguna digalakkan menghubungi perpustakaan terdekat bagi urusan tempahan pinjaman.
PENDIDIKAN KESIHATAN: KEBERSIHAN DIMANA-MANA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jaikul Bin Mataran, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan
Kebersihan merupakan asas utama dalam menjalani kehidupan seharian. Hidup dalam suasana yang bersih bukan sahaja membawa ketenangan, malah memberikan kebahagiaan. Amalan menjaga kebersihan juga bermula dari rumah; oleh itu, penjagaan kebersihan diri serta pelaksanaan tugas-tugas berkaitan kebersihan perlu diberi perhatian.
Namun begitu, masih ada segelintir individu yang mengabaikan kebersihan sehingga dianggap sebagai pengotor. Setiap orang seharusnya berusaha mencapai tahap kebersihan diri dan jiwa yang maksimum dalam menjalani kehidupan seharian. Selain kebersihan rumah, kebersihan persekitaran, kampung, negeri dan negara turut memainkan peranan penting. Antara kepentingan menjaga kebersihan termasuklah menghindari penyakit, mendisiplinkan diri, memupuk perpaduan, meningkatkan produktiviti kehidupan, serta memastikan suasana persekitaran yang ceria.
Amalan menjaga kebersihan di rumah merangkumi kebiasaan seperti mandi, mencuci pakaian dan memastikan keseluruhan ruang kediaman sentiasa bersih. Kebersihan dapur, bilik tidur, ruang tamu dan beranda perlu dipelihara kerana ruang-ruang ini digunakan setiap hari. Persekitaran rumah yang bersih juga dapat mengelakkan penularan wabak penyakit berbahaya. Selain itu, kawasan pelancongan turut memerlukan tahap kebersihan yang tinggi kerana isu kebersihan sering menjadi tumpuan dan perbincangan masyarakat. Industri pelancongan hanya akan berkembang apabila kebersihan kawasan tarikan pelancong dipelihara.
Usaha mewujudkan sebuah negara yang bersih bukanlah mudah kerana terdapat masyarakat yang masih memandang ringan soal kebersihan. Ada juga pihak yang tanpa rasa tanggungjawab mencemarkan sungai dan laut dengan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu menjaga kebersihan demi kepentingan bersama. Melalui kempen-kempen kebersihan, orang ramai dapat dididik untuk menjadikan kebersihan sebagai asas penting dalam menjalani kehidupan harian.
Buku Pendidikan Kesihatan: Kebersihan di Mana-mana ini mengupas peranan serta tanggungjawab setiap individu dan pihak dalam menjaga kebersihan. Buku ini turut menekankan asas kebersihan diri, kebersihan rumah serta persekitaran demi membentuk kehidupan yang sihat dan harmoni.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan dan Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang https://library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
OBESITI KANAK-KANAK DAN REMAJA MENINGKAT
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Elvena Lee, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang
Obesiti merupakan satu keadaan perubatan apabila seseorang mempunyai lebihan lemak badan yang terkumpul secara berlebihan hingga memberi kesan buruk kepada kesihatan. Di Malaysia, kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling tinggi mengalami masalah berat badan berlebihan. Fenomena ini berkait rapat dengan tabiat pemakanan, khususnya pengambilan makanan segera secara tidak terkawal. Kini, ibu bapa cenderung memilih makanan seperti KFC, mi segera, sardin dan roti canai sebagai hidangan mudah untuk keluarga, tanpa menyedari kesannya kepada kesihatan anak-anak.
Pengaruh media sosial turut mempercepatkan masalah ini. Makanan dan minuman yang menjadi “trending” seperti teh boba, aiskrim mochi, cheese tart dan ayam Korea pedas sering dipromosikan secara menarik, mendorong masyarakat untuk mencuba tanpa memikirkan kandungan gulanya yang tinggi. Selain faktor pemakanan dan media sosial, kajian juga menunjukkan genetik memainkan peranan penting dalam obesiti; ibu bapa yang mempunyai berat badan berlebihan lebih berisiko memiliki anak dengan masalah yang sama.
Obesiti memberi kesan jangka panjang terhadap tubuh badan. Antara risiko besar ialah penyakit kardiovaskular, seperti paras kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi serta kerosakan jantung dan fungsi hati. Selain risiko fizikal, obesiti turut memberi kesan kepada emosi. Individu yang mengalami berat badan berlebihan sering menghadapi ejekan dan stigma, sekali gus menyebabkan tekanan perasaan dan kemurungan.
Langkah mengatasi obesiti memerlukan usaha menyeluruh. Amalan pemakanan sihat perlu diberi keutamaan, termasuk mengurangkan minuman manis seperti cola, soya dan minuman segera yang lain. Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berbasikal atau berenang hendaklah dilakukan secara konsisten. Diet yang baik bukanlah bermaksud berlapar, tetapi memilih makanan yang seimbang dalam kuantiti yang sesuai. Secara keseluruhannya, obesiti merupakan isu kesihatan serius yang perlu ditangani dengan berterusan bagi menjamin kualiti hidup masyarakat dan pembangunan negara.
Buku ini merupakan sebahagian daripada koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang. Untuk tempahan dan pinjaman, hubungi talian 087-821003. Buku ini juga boleh didapati di Perpustakaan Negeri Sabah Kota Kinabalu, perpustakaan cawangan daerah lain, atau melalui laman sesawang https://library.sabah.gov.my/. Untuk mengetahui status ketersediaan buku, anda juga boleh menghubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192.
PENANAMAN ANGGERIK
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Atsi binti Alih, Perpustakaan Desa Kampung Meligan, Sipitang
Anggerik atau orkid merupakan salah satu spesies dalam keluarga Orchidaceae yang hidup dalam jumlah yang sangat banyak dan boleh ditemui hampir di seluruh dunia. Tumbuhan ini lebih ketara di kawasan tropika, sama ada di dataran rendah mahupun di kawasan tanah tinggi yang beriklim sejuk. Anggerik lazimnya bersifat epifit dan terestrial, serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan dipelbagaikan kerana variasi genetiknya yang luas.
Walaupun anggerik terkenal sebagai tanaman hiasan yang memukau, proses penanamannya bukanlah mudah. Menurut ahli sains, ramai penggemar tanaman hiasan sering mengalami kegagalan kerana anggerik sensitif terhadap perubahan iklim dan tidak boleh dijaga seperti tanaman hiasan biasa. Pertumbuhan anggerik, sama ada secara vegetatif (tunas, daun, batang, akar) mahupun generatif (tunas bunga, buah dan biji), dipengaruhi bukan sahaja oleh faktor genetik, tetapi juga oleh faktor iklim dan kaedah pemeliharaan. Faktor pemeliharaan yang penting termasuklah pembajaan, penyiraman, kawalan hama dan penyakit, pemilihan medium tanaman yang sesuai serta teknik pemisahan dan pemindahan (repotting).
Buku ini menghuraikan secara lengkap proses penanaman anggerik, bermula daripada pemilihan tanaman, pengenalan kepada medium yang sesuai, teknik penanaman yang betul hinggalah kepada kaedah penjagaan yang efektif. Selain memberi tunjuk ajar asas, buku ini turut membincangkan permasalahan dan cabaran dalam industri penanaman anggerik, sekali gus membantu pembaca memahami selok-belok dunia hortikultur ini dengan lebih mendalam.
Penulis berharap buku ini menjadi panduan berguna kepada pembaca yang berminat untuk mempelajari penanaman anggerik. Usaha penulis menyusun maklumat mengikut turutan daripada proses awal penanaman hingga menghasilkan bunga serta ilustrasi menjadikan isi kandungan lebih mudah difahami. Buku ini mengandungi sembilan bahagian utama: pendahuluan, nama-nama anggerik, ciri-ciri tanaman anggerik, media tumbuhan, pemilihan tanaman, kaedah penanaman, penjagaan, pengurusan hama dan penyakit, serta cara memperbanyakkan anggerik.
Secara keseluruhannya, buku ini sangat bermanfaat terutama bagi peminat anggerik, penggemar tanaman hiasan, serta mereka yang ingin menceburi industri tanaman anggerik secara lebih serius. Sekiranya berminat dengan buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Desa Kampung Meligan, Sipitang atau perpustakaan terdekat dengan anda. Selain itu, anda boleh melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 234828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
UNIVERSITI BUKAN HANYA UNTUK LULUS
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Mohmad @ Mohammad Ramlan Bin Wanik, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kunak
Buku bertajuk Universiti Bukan Hanya Untuk Lulus ini membawa pembaca menelusuri perjalanan kehidupan seorang pelajar universiti dari sudut pandang yang lebih luas. Penulis mengumpulkan pengalaman peribadi semasa menuntut di universiti serta pandangan hasil penglibatan dalam bidang pentadbiran dan bimbingan pelajar. Buku ini menekankan bahawa kejayaan di universiti bukan sekadar memperoleh gred yang baik, tetapi lebih kepada membentuk jati diri, kematangan berfikir, serta kebolehan memimpin diri dan orang lain. Melalui pelbagai refleksi dan analogi kehidupan, penulis menggambarkan perjalanan menuntut ilmu sebagai satu kayuhan basikal yang memerlukan keseimbangan, ketekunan, serta kebijaksanaan menyesuaikan diri dengan cabaran yang datang.
Tema utama buku ini ialah pembentukan sikap positif dan penyesuaian diri dalam kehidupan universiti. Penulis menekankan pentingnya perubahan cara berfikir daripada mentaliti “belajar untuk lulus” kepada “belajar untuk berkembang”. Buku ini turut mengetengahkan nilai-nilai seperti daya tahan, disiplin diri, dan kebijaksanaan mengurus masa, emosi serta hubungan sosial di kampus. Isi buku ini relevan bukan hanya untuk pelajar universiti, tetapi juga kepada pelajar sekolah menengah yang sedang bersedia melangkah ke alam pengajian tinggi, pendidik, dan ibu bapa yang ingin memahami cabaran sebenar kehidupan kampus masa kini.
Gaya penulisan penulis bersifat santai namun bermakna. Penggunaan perumpamaan seperti “mengayuh basikal” menjadikan mesej lebih mudah difahami dan dekat dengan pengalaman pembaca. Bahasa yang digunakan jelas dan motivasi, memberi semangat kepada pelajar untuk berfikir secara lebih matang terhadap tujuan mereka menuntut ilmu.
Buku ini memberikan perspektif segar tentang makna sebenar kejayaan akademik. Ia mengingatkan bahawa universiti bukan hanya tempat mencari segulung ijazah, tetapi ruang membentuk identiti dan potensi diri. Pembaca akan menyedari bahawa cabaran di universiti bukan penghalang, sebaliknya peluang untuk belajar menyesuaikan diri dan terus maju.
Secara keseluruhannya, buku Universiti Bukan Hanya Untuk Lulus ialah bacaan yang sangat bermanfaat, terutama bagi pelajar yang sedang meniti perjalanan akademik. Ia sesuai dijadikan panduan motivasi dan refleksi diri agar setiap langkah di universiti lebih bermakna dan berarah.
Buku ini terdapat di Perpustakaan Cawangan Kunak dan lokasi buku ini terdapat di aras bawah ruangan bacaan dewasa. Untuk makluman lanjut anda boleh terus berkunjung ke Perpustakaan Cawangan Kunak atau berkunjung ke perpustakaan yang terdekat. Selain itu, boleh melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
MEMELIHARA WALET
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rosalynda Binti Robert, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Negri Sabah
Buku “Memelihara Walet” merupakan sebuah panduan agro industri yang komprehensif, khususnya kepada mereka yang ingin memahami dan menguasai perniagaan ternakan burung walet (Aerodamus spp). Karya ini secara bijak memulakan perbincangan dengan memperkenalkan spesies walet yang menghasilkan sarang bernilai tinggi dan menerangkan peralihan kritikal daripada kaedah kutipan berisiko tinggi di gua abrasi kepada sistem pemeliharaan yang lebih moden dan terkawal di rumah buatan. Dengan ini, kejayaan industri ini terletak pada pemahaman mendalam tentang biologi walet serta kepentingan menjaga kesinambungan populasi, khususnya spesies walet putih.
Langkah seterusnya yang paling penting adalah penubuhan habitat buatan yang sempurna. Tambahan pula, dengan memberikan penekanan strategik pada pemilihan lokasi yang harus sunyi, terpencil dari pencemaran, tetapi kaya dengan sumber makanan walet seperti kawasan pertanian dan badan air. Faktor iklim mikro di dalam rumah walet haruslah mempunyai suhu 26 sehingga 30 darjah celsius dan kelembapan 70 peratus sehingga 90 peratus mesti dikawal ketat dengan bantuan kolam air di lantai bangunan. Selain itu, perincian konstruksi, reka bentuk bangunan bertingkat, pemasangan sirip sebagai tempat walet bersarang, serta reka bentuk lubang keluar masuk dan sistem pengudaraan yang efisien juga diperlukan untuk meniru persekitaran gua yang optimum.
Setelah struktur fizikal disiapkan, usaha menarik walet menjadi fokus utama. Buku ini menyarankan pendekatan dwimatra dengan menggunakan bau dan bunyi. Aroma seperti najis walet dan air cucian sarang disarankan untuk disebarkan kerana dapat menghasilkan ilusi koloni yang mapan dan menarik walet perintis. Kaedah paling berkesan ialah dengan menggunakan audio rakaman suara walet untuk memanggil burung masuk pada waktu-waktu tertentu. Selain itu, buku ini memperkenalkan teknik pengurusan populasi yang lebih maju seperti “Pancing Telur”, yang bertujuan untuk mempercepatkan pembiakan walet putih dengan menukar telur dengan spesies walet lain. Disamping itu, menggalakkan kaedah penetasan. Kaedah ini adalah pilihan yang paling mesra alam kerana ia memastikan induk walet tetap berada di rumah pemeliharaan walaupun sarang mereka diambil, dengan telur walet ditukar kepada telur penetasan buatan.
Justeru itu, buku ini membincangkan aspek komersial dan kualiti produk. Perniagaan sarang burung walet dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang berorientasi eksport, terutamanya ke pasaran besar seperti Hong Kong. Penekanan diletakkan pada pemahaman Piawaian Dagangan, di mana kualiti sarang diklasifikasikan berdasarkan warna dan bentuk daripada Sarang Putih dengan nilai tertinggi, Sarang Darah, sehinggalah Sarang Hitam dengan nilai terendah. Selain itu, buku ini mengupas khasiat nutrisi sarang burung walet yang kaya secara tradisional diyakini dapat meningkatkan imunisasi tubuh, walaupun ia mencadangkan pembacaan untuk mengambil maklumat khasiat perubatan dengan berhati-hati.
Secara keseluruhan, “Memelihara Walet” adalah sebuah karya rujukan yang cemerlang. Ia menggabungkan prinsip saintifik dan praktikal dengan lancar dan memberikan pengusaha satu manual yang lengkap dan bertanggungjawab. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini, boleh berkunjung di ibu pejabat Perpustakaan Negeri sabah atau perpustakaan yang terdekat. Selain itu, anda boleh melayari laman sesawang library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 234828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
MASALAH KEGANASAN RUMAH TANGGA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Lily Atiliya Robort binti Abdullah, Latihan Industri, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau
Masalah Keganasan Rumah Tangga, Sejauh Manakah Kepedulian Kita?, merupakan tajuk buku yang ditulis oleh Amir Zakaria. Buku yang ditulis ini adalah berkaitan dengan topik-topik keganasan rumah tangga yang mana masalah ini menjadi isu sosial yang semakin mendapat perhatian kerana masalah ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mangsa, malah turut memberikan kesan mendalam kepada institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Buku ini mengandungi beberapa bahagian utama yang dibincangkan oleh penulis. Bab utama yang diketengahkan ialah keganasan rumah tangga. Dalam bab pertama, penulis membincangkan mengenai jumlah aduan yang diterima oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita yang mencatatkan peningkatan hampir tiga kali ganda pada tahun 2020 berbanding pada tahun 2019. Selain itu, dalam bab ini juga, penulis menghuraikan bagaimana keganasan rumah tangga telah menjadi satu trend yang membimbangkan, khususnya apabila ia dilihat sebagai suatu usaha yang dilakukan bagi menguasai pasangan mereka.
Seterusnya, bab kedua. Dalam bab ini penulis ada membincangkan jenis-jenis keganasan rumah tangga. Perbincangan ini merangkumi pelbagai bentuk penderaan seperti penderaan secara fizikal, psikologi, seksual dan penyalahgunaan kewangan. Jenis penderaan secara fizikal merupakan jenis penderaan yang menduduki carta tertinggi.
Selain itu, bab yang ketiga turut membincangkan punca berlakunya keganasan rumah tangga. Penulis menghuraikan beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya keganasan rumah tangga seperti masalah kewangan, isu komunikasi, gaya hidup liar dan kurangnya penghayatan agama.
Di samping itu, keganasan terhadap wanita juga menjadi fokus dalam perbincangan penulis. Dalam bab ini, penulis ada menjelaskan bahawa golongan wanita merupakan pihak yang lebih terdedah kepada keganasan rumah tangga, terutamanya dari sudut sosio budaya dan ekonomi.
Bukan hanya pihak wanita, bab yang kelima ini turut menekankan isu keganasan terhadap lelaki. Statistik yang direkodkan oleh Kebajikan Jabatan Masyarakat (JKM) menunjukkan lebih dari 56 orang lelaki yang telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga antara bulan Jun 2017 hingga Jun 2018. Melalui kes ini, penulis turut membincangkan tentang tanggungjawab pihak berkuasa untuk melaksanakan kempen kesedaran.
Penulis juga turut membincangkan kesan keganasan rumah tangga terhadap mangsa. Dalam bab ini, antara kesan yang dihuraikan termasuklah kesan secara fizikal dan mental, trauma yang dialami, serta risiko yang dihadapi mangsa rogol seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV). Kesan keganasan rumah tangga juga turut memberikan impak yang negatif terhadap ahli keluarga mangsa.
Bab yang ketujuh ini, penulis membincangkan berkenaan usaha untuk menangani isu keganasan rumah tangga. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh pihak kerajaan, malah turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta yang perlu memainkan peranan penting melalui pelbagai program kesedaran. Penulis juga menekankan tentang Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, serta talian khas yang diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Mencipta kebahagiaan rumah tangga, merupakan bab kedua terakhir yang ditulis oleh penulis. Dalam bab ini, penulis menghuraikan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan berlakunya sesuatu keganasan rumah tangga. Sementara itu, bab yang terakhir pula menumpukan kepada peranan mangsa dan komuniti dalam menangani isu keganasan rumah tangga. Dalam pengisian bab ini, penulis membincangkan tentang keberanian mangsa untuk bersuara demi mengutamakan keselamatan diri sendiri dan nyawa anak-anak.
Rumusannya, isu keganasan rumah tangga perlu ditangani dengan lebih serius melalui kerjasama semua pihak agar kes sebegini ini tidak akan berleluasa. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh dapatkan buku ini di perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
DILEMA PEMBULI DAN KAKI BULI
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Rafiah binti Rahban, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan
Buli adalah suatu perbuatan atau tindakan yang disertakan dengan niat untuk menyakitkan hati dan memberi tekanan kepada seseorang. Ia juga boleh dikatakan sebagai penderaan rakan sebaya. Buli melibatkan serangan fizikal dan ancaman. Selain itu, mencuri, memeras ugut, dan juga penderaan lisan juga ditakrifkan sebagai buli termasuklah mengejek isu perkauman dan juga gangguan seksual. Buli juga merupakan tingkah laku agresif yang berulang untuk menyakiti individu lain. Tujuan buli dibuat adalah untuk menunjukkan si pembuli lebih berkuasa dan memberi kesan mudarat kepada mangsa sama ada dari aspek fizikal ataupun psikologikal.
Terdapat beberapa jenis kategori buli dan antara yang sering diperkatakan adalah buli fizikal. Ianya melibatkan tindakan yang agresif yang mana individu yang lebih kuat dan besar cenderung membuli mangsa yang lemah dan tubuh fizikal yang lebih kecil. Ia melibatkan serangan seperti menendang, menampar dan menumbuk. Buli lisan adalah sebarang perlakuan seperti mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin atau fitnah, mengancam dan mengejek orang lain. Buli sering kali berlaku dan tidak mengira tempat seperti sekolah, kawasan awam, di rumah, tempat kerja dan lain-lain lagi. Buli siber pula adalah merupakan perbuatan buli berulang dengan tujuan menakutkan, mendatangkan kemarahan dan juga memalukan seseorang.
Buli siber dilakukan dengan menggunakan kemudahan komunikasi teknologi seperti teks chatting, emel, laman media sosial, telefon bimbit dan lain-lain lagi. Implikasi daripada perbuatan buli siber adalah lebih meluas dan cepat serta ianya berlaku selama 24 jam sehari selagi peranti yang digunakan mendapat capaian internet.
Terdapat pelbagai kesan buruk yang terjadi akibat daripada perbuatan buli antaranya adalah seperti timbul perasaan takut terhadap pembuli terutama sekali apabila perbuatan buli yang melibatkan sentuhan fizikal. Ini adalah kerana sekiranya mangsa buli tidak menuruti kehendak pembuli maka mangsa akan dipukul, didera dan dibelasah oleh pembuli sekiranya melawan. Selain itu, kesan lain juga adalah mangsa hilang tumpuan sama ada di sekolah ataupun ditempat kerja dan kesan yang paling teruk adalah sehingga mangsa bertindak untuk mencederakan diri.
Justeru itu, buli banyak membawa kepada keburukan dan juga masalah sosial sama ada di peringkat golongan kanak-kanak, remaja mahupun dewasa. Perkara ini perlu ditangani dengan telus dan lebih proaktif. Didikan dari rumah mengenai kesedaran buli adalah wajar diterapkan bagi melahirkan golongan yang bukan sahaja celik ilmu malahan tinggi sifat empati terhadap sesama manusia.
Buku ini adalah koleksi yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan. Sekiranya berminat dengan buku ini boleh menghubungi talian 089-210215. Selain itu, boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
KHASIAT HERBA JILID 2
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Rafiah binti Rahban, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan
Perubatan menggunakan tumbuhan herba merupakan salah satu sistem perubatan tradisional yang telah lama diamalkan sejak sebelum wujudnya catatan sejarah. Dalam konteks perubatan tradisional, herba merujuk kepada semua bahan berasaskan biologi dan bukan biologi — termasuk garam dan tanah liat — yang digunakan untuk merawat, menyembuh, meredakan kesakitan, atau sebagai afrodisiak, sedatif, tonik dan pelbagai kegunaan lain.
Terdapat pelbagai kaedah penyediaan ubat herba bergantung kepada jenis tumbuhan, bahagian yang digunakan dan penyakit yang dirawat. Sesetengah tumbuhan seperti petai boleh dimakan secara segar, dan antara khasiatnya ialah membantu merawat penyakit kencing manis. Kaedah lain termasuk meramas atau menumbuk daun sehingga lumat lalu menampalnya pada bahagian yang bengkak, lebam atau terkena gigitan serangga.
Pelaga (Elettaria cardamomum), sejenis tumbuhan saka yang boleh mencecah ketinggian sehingga 4 meter, berasal dari Malabar dan Sri Lanka. Herba ini tumbuh liar tetapi sesuai ditanam di kawasan tropika. Antara khasiatnya ialah membuang angin, melancarkan haid dan pembuangan air kecil, membantu masalah rahim, meredakan sakit gigi dan telinga, serta merangsang penghadaman. Buah pelaga yang masih segar juga boleh dikunyah untuk menghilangkan bau mulut. Kajian saintifik turut menunjukkan kandungan kariofilen dalam pelaga bersifat antibakteria, antikulat, anti inflamasi dan anti tumor.
Bunga cengkih (Syzygium aromaticum) pula berasal dari Maluku, Indonesia, dan boleh membesar sehingga 20 meter. Ia terkenal sebagai ubat dalaman yang bersifat afrodisiak, mengetatkan vagina, meningkatkan selera, serta bertindak sebagai antimual, antiplasma, penurun panas, dan pembunuh cacing dalam usus. Kudup bunga cengkih kering juga digunakan dalam pembuatan rokok kretek.
Secara keseluruhannya, buku ini menghuraikan pelbagai jenis herba serta penggunaannya dalam kehidupan seharian, meliputi akar, daun, bunga, batang dan bahagian-bahagian lain tumbuhan. Walaupun herba memberikan banyak manfaat kesihatan dan kecantikan, penggunaannya tetap perlu berhati-hati kerana kaedah penyediaan yang salah boleh membawa mudarat.
Buku ini merupakan koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan. Untuk tempahan dan pertanyaan, sila hubungi talian 089-210215. Buku ini juga boleh didapati di Perpustakaan Negeri Sabah Kota Kinabalu dan Perpustakaan Cawangan lain. Untuk mengetahui ketersediaan bahan, hubungi talian 088-321623, 214828 atau 256192.
VARIASI SENI MENGAIT
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Reimny @ Regina binti Tatu, Perpustakaan Desa Kampung Bolotikon, Papar
Mengait merupakan salah satu seni kerja tangan yang lahir daripada bakat dan minat seseorang. Dengan hanya melihat sesuatu hasil kaitan, seseorang boleh mencuba membuatnya sendiri meskipun tanpa asas yang kukuh. Setelah berjaya menghasilkan kreativiti sendiri, pastinya semangat untuk terus memperdalam ilmu mengait akan semakin meningkat.
Bagi mereka yang ingin mempelajari teknik mengait tanpa menghadiri kelas formal, buku Variasi Seni Mengait adalah pilihan terbaik. Buku ini disusun khusus sebagai panduan yang ringkas, padat dan mudah difahami. Setiap contoh mengait disertakan dengan foto berwarna, arahan langkah demi langkah yang jelas, serta tip-tip berguna untuk membantu pemahaman pembaca.
Antara kandungan utama buku ini termasuk:
Knitting (kait jarum dua)
Krusye (kait jarum satu)
Kaitan pita
Sulaman tangan
Sulaman hiasan dinding
Sulaman tampal cantuman
Beberapa contoh hasil kaitan turut dipaparkan sebagai inspirasi, antaranya selendang, sarung tangan, stokin, topi kanak-kanak, serkup teko, selimut, langsir dan pelbagai projek seni kait lain.
Penulis turut berkongsi cabaran dalam proses menyiapkan buku ini, termasuk rasa rendah diri kerana usia dan kurang pengalaman berbanding penggiat seni yang lebih profesional. Namun, dengan semangat dan ketekunan, buku ini berjaya dihasilkan. Penulis juga menekankan bahawa seni mengait bukan sahaja hobi mengisi masa lapang, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan.
Secara keseluruhannya, Variasi Seni Mengait bukan hanya buku teknik mengait, tetapi juga karya yang memotivasikan pembaca untuk menghargai seni tradisional, kesabaran, ketekunan dan sokongan keluarga. Buku ini sangat sesuai sebagai rujukan bagi sesiapa yang ingin mempelajari atau memperkembangkan kemahiran mengait dan menyulam.
Untuk maklumat lanjut tentang buku ini, anda boleh berhubung terus dengan Pengawas Perpustakaan Desa Bolotikon untuk tempahan dan pinjaman. Selain itu, pembaca boleh mengunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau menghubungi talian 088-321623, 214828, 256192 bagi mengetahui status ketersediaan buku ini.
INTERVENSI DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Elvena Lee, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang
Buku Intervensi dalam Penyalahgunaan Dadah membincangkan pengenalan kepada dadah, kesan kemudaratannya, pendekatan rawatan serta strategi pencegahan relaps. Penulis menjelaskan bahawa dadah boleh diklasifikasikan kepada dadah terapeutik yang digunakan bagi tujuan rawatan penyakit dan bahan psikoaktif yang sering disalah guna untuk tujuan keseronokan, mengurangkan tekanan serta meningkatkan prestasi. Penggunaan dadah yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan sistem saraf, jangkitan HIV, kerosakan saluran pernafasan, keletihan melampau dan ketidakstabilan emosi.
Pendekatan rawatan yang diperkenalkan dalam buku ini menekankan gabungan model biopsikososial dan spiritual sebagai kaedah intervensi yang berkesan. Pendekatan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk profesional perubatan, ahli psikologi, kaunselor, komuniti dan pihak berkepentingan bagi memastikan kesinambungan rawatan serta pemulihan individu terlibat.
Tiga strategi pencegahan relaps turut diterangkan:
Daya tindak kendiri – melatih diri menolak pelawaan, berfikir positif dan aktif dalam kegiatan sihat.
Pengaruh persekitaran – memperbaiki hubungan keluarga dan menyertai aktiviti bermanfaat seperti rekreasi dan kerja kemasyarakatan.
Pendidikan pencegahan – memberi pendedahan mengenai punca relaps dan faktor yang mendorong kepada penagihan semula.
Secara keseluruhannya, buku ini menekankan bahawa penyalahgunaan dadah memberikan implikasi negatif terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan perlu dilakukan secara bersepadu agar masalah ini dapat ditangani secara berkesan.
Buku ini merupakan koleksi Perpustakaan Negeri Sabah. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, pembaca boleh berkunjung ke perpustakaan yang terdekat. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar jika berada di luar Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu. Sila layari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan dan proses pinjaman.
Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru
