![]() |
Kenali Raymond Majumah @ Azlan Shafie AbdullahTempat Lahir: Guomon Village, Matunggong Kudat |
Tentang Pengarang
RAYMOND Majumah atau nama sebenarnya Azlan Shafie Abdullah @ Raymond Bin Majumah dilahirkan pada 26 September 1968 di Kampung Guomon, Matunggong Kudat. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Matunggong Kudat, kemudian melanjutkan pendidikan menengah di SMK Abdul Rahim Kudat (1982-1986) dan Tingkatan Enam di SMK Mat Salleh, Ranau (1987-1988). Selepas itu, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran (1989-1991). Raymond kemudian meneruskan pelajaran di UKM sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Psikologi dan Komunikasi). Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Sastera dalam bidang Seni Kreatif di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pada tahun 2010, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran (PhD) di universiti yang sama. Dalam bidang kerjaya, Raymond mula bertugas sebagai guru di SK Sabur, Banggi Kudat pada tahun 1991. Kemudian beliau menjalankan tugas Guru Besar sekolah itu bermula 1992 hingga 1997. Setahun kemudian, beliau berpindah ke SMK Sikuati Kudat (1998-2004). Pada tahun 2006, beliau bertukar ke SMK Matunggong Kudat sebagai Penolong Kanan HEM 2005 dan Penolong Kanan Pentadbiran 2006. Selepas itu, beliau bertugas sebagai Pegawai SISC (School Improvement Specialist Coaches) DG48 di Jabatan Pendidikan Kudat sejak 3 Mei 2013. Dalam bidang penulisan pula, beliau menggunakan nama Raymond Majumah, Irwan Nur, Azlan S.A dan Putera Pena. Beliau banyak terlibat dalam pelbagai aktiviti dan kegiatan pendidikan di pelbagai peringkat. Raymond adalah jurulatih utama Bahasa Melayu negeri Sabah, dimana beliau sering dijemput mengadili pertandingan deklamasi puisi, pidato, pantun, syarahan, nyanyian, tarian,koir dan teater. Selain itu, beliau aktif dalam pelbagai kursus, bengkel, dan seminar di Sabah, Peringkat Nasional dan Antarabangsa sama ada sebagai peserta atau pembentang kertas kerja. Raymond juga pernah memenangi pelbagai hadiah, antaranya Hadiah Sastera Sabah dalam genre Puisi untuk tahun 1992/1993 dan 2002/2003, Cerpen 2004/2005, Esei Kritikan (2008/2009) dan 2012/2013, Esei Kritikan dan Cerpen (2012), Peraduan Menulis Puisi dan sebagainya. Beliau juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM Kebangsaan. Karya-karyanya dimuatkan dalam pelbagai antologi dan penerbitan sejak tahun 1991.