Select your language

KESIHATAN DI TEMPAT KERJA

Penulis
NOOR HASSIM ISMAIL DAN EMILIA ZAINAL ABIDIN

Terbitan
KUALA LUMPUR: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, 2014. 197 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Siti Rupiah binti Yusof, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang

Kesihatan pekerjaan merupakan satu cabang penting dalam bidang kesihatan kerana ia memberi penekanan terhadap kesejahteraan kesihatan pekerja serta individu yang berada di tempat kerja. Setiap pekerja lazimnya menghabiskan sekurang-kurangnya lapan jam sehari di tempat kerja. Namun, tempoh bekerja sebenarnya melebihi lapan jam sekiranya diambil kira masa persiapan ke tempat kerja, perjalanan pergi dan balik, serta kerja lebih masa. Apabila masa tidur dan makan ditolak, jumlah masa bekerja dan masa berjaga dalam sehari boleh melebihi 70 peratus daripada keseluruhan masa harian.

Di Malaysia, bidang kesihatan pekerjaan disokong oleh perundangan khusus yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja. Perkembangan kesihatan pekerjaan bermula sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu, khususnya melalui pelaksanaan program kesihatan bagi pekerja dalam sektor perlombongan dan perladangan. Seiring dengan peredaran masa, usaha melindungi kesihatan pekerja terus diperkukuh melalui penggubalan pelbagai akta dan peraturan baharu yang diwartakan.

Pelbagai agensi terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan pekerjaan. Oleh itu, bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa terjamin, kerjasama yang erat antara pelbagai bidang kepakaran dan agensi berkaitan amat diperlukan. Pendekatan bersepadu ini penting bagi menjayakan serta memajukan bidang kesihatan pekerjaan secara menyeluruh.

Pengumpulan data secara terancang serta penganalisisan menggunakan kaedah statistik mampu memberikan maklumat yang amat berharga. Data tersebut boleh dimanfaatkan dalam aktiviti rawatan dan pencegahan penyakit. Maklumat berkaitan ketidakhadiran bekerja, jenis penyakit yang dialami pekerja, kemalangan serta kematian sangat berguna untuk mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Data yang dianalisis secara sistematik juga dapat mengenal pasti pelbagai faktor risiko di tempat kerja yang berpotensi menyebabkan penyakit pekerjaan.

Pengawasan kesihatan merupakan aktiviti pengumpulan data kesihatan pekerja, data pemantauan pendedahan kepada agen berbahaya serta maklumat berkaitan lain secara sistematik untuk dianalisis dan ditafsirkan. Tujuan utama pengawasan ini adalah untuk mengesan keabnormalan kesihatan pekerja pada peringkat awal. Pekerja yang dikenal pasti mengalami masalah kesihatan akan menerima rawatan segera bagi mengelakkan penyakit tersebut menjadi lebih serius, manakala langkah pencegahan turut dilaksanakan bagi melindungi pekerja lain daripada risiko yang sama.

Penggunaan bahan kimia adalah sangat meluas di pelbagai jenis tempat kerja, terutamanya dalam sektor industri. Bahan kimia digunakan sama ada sebagai bahan mentah, bahan perantaraan proses atau sebagai hasil akhir sesuatu pengeluaran. Walaupun terdapat tempat kerja yang tidak menggunakan bahan kimia sebagai bahan utama, kebanyakan premis tetap menggunakan bahan kimia sebagai agen pencuci atau disinfektan. Oleh itu, pekerja yang terdedah kepada bahan kimia perlu dipantau secara berkala melalui pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada kesan berbahaya bahan tersebut.

Stres pekerjaan pula ditakrifkan sebagai tindak balas fizikal dan emosi yang berlaku apabila tuntutan kerja tidak sepadan dengan keupayaan, kemahiran dan keperluan seseorang pekerja. Dari sudut kognitif, stres lebih tertumpu kepada persepsi individu, iaitu keadaan tekanan timbul apabila seseorang merasakan tuntutan yang dihadapi melebihi keupayaannya untuk mengatasi situasi tersebut. Tanggungjawab mencegah masalah stres di tempat kerja perlu dipikul bersama oleh semua pihak yang terlibat, termasuk pekerja, majikan, pakar kesihatan pekerjaan dan pakar psikologi.

Persekitaran tempat kerja yang sihat mampu melahirkan tenaga kerja yang sihat dan produktif. Sebaliknya, keadaan tempat kerja yang tidak selamat dan berbahaya boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan fizikal, mental dan sosial pekerja. Kemudaratan kesihatan yang berpunca daripada tempat kerja boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti bahaya fizikal, kimia, biologi, ergonomik dan psikososial.

Secara keseluruhannya, buku ini memberikan gambaran yang menyeluruh dan jelas tentang kepentingan kesihatan pekerjaan dalam menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja. Buku ini merupakan sebahagian daripada Koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang. Orang ramai boleh berhubung dengan kakitangan bertugas bagi tujuan pinjaman atau tempahan. Untuk maklumat lanjut mengenai ketersediaan buku, sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah di https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang) serta 088-231623, 088-214828 dan 088-256192 (Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah). Walau bagaimanapun, penghantaran buku ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu mungkin mengambil sedikit masa, justeru pengguna digalakkan menghubungi perpustakaan terdekat untuk urusan tempahan

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Jangan membaca sampai koma, tetapi bacalah sampai titik."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.