![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Halaman Buku Dalam Talian |
Projek Gutenberg |
Perpustakaan Awam Dalam Talian |
Perpustakaan Digital Kanak-Kanak Antarabangsa |
Jurnal Akses Terbuka |
Akademi Akhbar Antarabangsa |
MENGELAK TERJERAT PERANGKAP MUFLIS
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Carrielyn Chong, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan
Kebebasan kewangan merupakan impian setiap individu. Oleh itu, pengurusan kewangan yang baik amat penting untuk membina kehidupan yang sejahtera. Literasi kewangan merujuk kepada pengetahuan dan pemahaman seseorang tentang pelbagai aspek kewangan, termasuk pengurusan wang, kewangan peribadi, hutang dan pelaburan. Apabila mendengar perkataan muflis atau bankrap, ramai yang berasa bimbang. Kebankrapan boleh berlaku atas pelbagai faktor, antaranya kegagalan membayar hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan. Ada kalanya, seseorang bukan sengaja mengabaikan pembayaran hutang, tetapi menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak mampu melunaskannya.
Kebankrapan merupakan keadaan yang dibimbangi oleh ramai penghutang. Namun begitu, tidak semua orang memahami proses yang terlibat apabila seseorang diisytiharkan muflis. Sekiranya menghadapi kesukaran untuk membayar hutang, seseorang boleh mempertimbangkan pilihan penyelesaian hutang yang bersesuaian. Status muflis bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan kebebasan seseorang dalam menguruskan kewangan. Aset tertentu juga mungkin dijual bagi menyelesaikan hutang, manakala individu yang diisytiharkan muflis tertakluk pada pentadbiran Ketua Pengarah Insolvensi serta sekatan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Pelepasan daripada status kebankrapan tertakluk pada peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa. Antaranya termasuk pelepasan melalui mahkamah atau sijil pelepasan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi. Tempoh dan syarat pelepasan bergantung pada kaedah yang digunakan serta keadaan kes individu berkenaan. Oleh itu, pemahaman tentang proses kebankrapan dan syarat pelepasan amat penting bagi membantu individu mengetahui hak serta tanggungjawab mereka.
Dalam kehidupan, setiap orang pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Pengalaman tersebut boleh menjadi pengajaran dalam menguruskan kehidupan dengan lebih baik. Disiplin merupakan asas penting dalam membina tabiat menyimpan wang. Amalan menyimpan secara konsisten dapat membantu seseorang mencapai matlamat kewangan. Selain itu, mengetahui kedudukan kewangan semasa amat penting bagi mengelakkan kegagalan membayar pinjaman dan menanggung hutang yang melebihi kemampuan.
Pengurusan kewangan yang bijak juga membantu seseorang membezakan antara keperluan dengan kehendak sebelum membuat perbelanjaan. Perancangan kewangan perlu merangkumi persediaan menghadapi kecemasan, simpanan persaraan, pendidikan, perlindungan kewangan dan pembelian hartanah. Dengan perancangan yang teratur serta disiplin dalam berbelanja, seseorang dapat mengurangkan risiko masalah kewangan dan berusaha mencapai kestabilan kewangan dalam jangka panjang.
Secara keseluruhannya, buku Mengelak Terjerat Perangkap Muflis memberikan pendedahan tentang kepentingan literasi kewangan, pengurusan hutang dan amalan menyimpan wang. Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan kepada masyarakat yang ingin meningkatkan pengetahuan tentang pengurusan kewangan serta mengambil langkah awal untuk mengelakkan masalah hutang yang serius.
Buku ini terdapat dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan. Sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, orang ramai boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau perpustakaan yang terdekat. Layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
AYAH SEBAGAI HERO, ANAK SEBAGAI SAHABAT: MELUKIS KELUARGA BAHAGIA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Azlan Bin Wol, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau
Buku Ayah Sebagai Hero, Anak Sebagai Sahabat: Melukis Keluarga Bahagia ini adalah hasil tulisan Ibnu Al-Adim dan merupakan sebuah karya yang menyentuh tentang peranan penting seorang ayah dalam membentuk keluarga yang harmoni dan penuh kasih sayang. Buku ini memberi perspektif yang menarik tentang bagaimana seorang ayah bukan sahaja berfungsi sebagai ketua keluarga, tetapi juga sebagai sumber inspirasi, pelindung dan sahabat kepada anak-anaknya. Melalui pendekatan yang lembut dan penuh hikmah, penulis mengajak para bapa untuk menilai semula cara mereka berinteraksi dan membina hubungan dengan anak-anak.
Penulis menekankan bahawa seorang ayah yang baik bukan hanya menyediakan keperluan fizikal seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi juga perlu memberi perhatian kepada perkembangan emosi dan rohani anak-anak. Konsep ‘ayah sebagai hero’ yang diketengahkan dalam buku ini merujuk kepada peranan ayah sebagai contoh teladan dalam kehidupan anak-anak. Sikap, kata-kata dan tindakan seorang ayah akan menjadi model yang ditiru oleh anak-anak sepanjang proses pembesaran mereka.
Selain itu, buku ini turut memperkenalkan konsep ‘anak sebagai sahabat’. Penulis menegaskan bahawa hubungan yang terlalu formal atau terlalu tegas antara ayah dan anak kadangkala menyebabkan anak-anak berasa jauh dan sukar untuk berkongsi masalah. Oleh itu, seorang ayah perlu membina komunikasi yang mesra, terbuka dan penuh empati supaya anak-anak merasa selesa untuk berkongsi perasaan, pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi.
Dari sudut motivasi, buku ini memberi dorongan kepada para ayah untuk lebih terlibat dalam kehidupan anak-anak. Penulis mengingatkan bahawa masa yang diluangkan bersama anak-anak adalah pelaburan yang sangat berharga. Anak-anak yang mendapat perhatian, kasih sayang dan bimbingan daripada ayah mereka cenderung untuk membesar dengan keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai hubungan keluarga yang lebih kuat. Buku ini juga memotivasikan pembaca bahawa menjadi ayah yang baik bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan kesedaran, kesabaran dan komitmen yang berterusan.
Selain memberi inspirasi kepada para ayah, buku ini juga sesuai dibaca oleh bakal bapa dan sesiapa sahaja yang ingin memahami kepentingan institusi keluarga. Ia memberikan gambaran bahawa keluarga bahagia tidak terbina secara kebetulan, tetapi dilukis dengan usaha, kasih sayang dan tanggungjawab setiap anggota keluarga.
Secara ringkasnya, buku Ayah Sebagai Hero, Anak Sebagai Sahabat: Melukis Keluarga Bahagia ini merupakan sebuah buku yang sarat dengan nilai kekeluargaan dan inspirasi. Ia mengingatkan bahawa kehadiran seorang ayah yang penyayang dan memahami mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak. Buku ini sangat sesuai dijadikan panduan kepada para ayah untuk membina hubungan yang lebih erat dengan anak-anak serta mewujudkan keluarga yang bahagia dan harmoni.
Sekiranya berminat mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, anda boleh berkunjung di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat serta melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
RAHSIA SIHAT MELALUI PUASA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti A'yeshah Binti Yahya, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kinabatangan
Buku ini mengupas naskhah sains yang sangat menarik tentang amalan berpuasa dan konsep pengehadan kalori (calorie restriction atau CR). Melalui sudut pandang kajian saintifik, penulis berjaya menghuraikan bagaimana pengurangan pengambilan kalori secara sistematik mampu memberi impak luar biasa kepada kesihatan fizikal manusia.
Walaupun amalan pengehadan kalori (CR) diakui meluas oleh penyelidik antarabangsa sebagai kaedah kesihatan yang berkesan, ia mempunyai kekangan tersendiri. CR didapati sukar untuk dijadikan rutin jangka panjang kerana ia bukan sebahagian daripada budaya harian masyarakat. Bagi mengatasi isu konsistensi ini, para penyelidik tempatan telah mengolah semula konsep CR ke dalam bentuk yang lebih praktikal iaitu dengan mengadaptasi kaedah puasa berkala dua kali seminggu.
Secara alternatifnya, puasa sememangnya sebahagian daripada warisan dan amalan masyarakat terdahulu demi kesejahteraan fizikal, mental, dan tradisi. Kaedah ini kini turut diterima baik oleh masyarakat Barat sebagai satu bentuk intervensi gaya hidup yang berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup.
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan puasa berkala, amalan ini boleh dimulakan dengan menetapkan hari-hari tertentu dalam seminggu. Buku ini turut berkongsi tip kritikal untuk menangani rasa lapar, iaitu dengan mengambil hidangan awal pagi sebelum bermulanya waktu berpuasa.
Sains membuktikan bahawa hidangan awal pagi bertindak sebagai pembekal glukosa segera untuk ditukar kepada tenaga harian. Tanpa hidangan ini paras glukosa badan akan merosot dengan cepat, isyarat lapar akan dihantar ke otak dan menyebabkan badan berasa tidak bermaya serta tubuh terpaksa menggunakan simpanan glikogen (stok gula kecemasan) terlalu awal. Oleh itu, mengambil hidangan awal pagi adalah kunci utama agar badan kekal bertenaga untuk menyempurnakan tempoh puasa.
Satu perkara penting yang ditegaskan oleh penulis ialah pengehadan kalori tidak sama dengan malnutrisi (kurang zat makanan). Pengehadan kalori terbahagi kepada dua iaitu yang pertama pengehadan seketika adalah penyekatan kalori jangka pendek yang berlaku sekali-sekala. Kedua ialah pengehadan kalori berpanjangan didapati memberi impak yang paling positif. Buku ini memetik kajian klinikal pada tahun 1989 ke atas subjek haiwan (tikus), di mana kumpulan yang dihadkan kuantiti makanannya (calorie restriction) didapati mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, proses penuaan yang lebih lambat, serta risiko kanser yang lebih rendah berbanding kumpulan yang makan tanpa sekatan (ad libitum). Ini membuktikan bahawa puasa yang terancang mampu melindungi tubuh daripada penyakit kronik sekali gus membantu mengekalkan keremajaan (awet muda).
Buku ini sangat disyorkan dan relevan untuk sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti untuk mengecilkan saiz pinggang secara sihat. Ia juga merupakan panduan yang sangat memberi inspirasi bagi para pembaca yang berhasrat untuk mengubah gaya hidup konvensional kepada rutin yang jauh lebih sihat dan sejahtera.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kinabatangan atau perpustakaan yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 218726 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
SUSHI: TASTE AND TECHNIQUE
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Hailie Mary, Pelajar Industri Perpustakaan Negeri Sabah
Buku Sushi: Taste and Technique hasil penulisan Kimiko Barber dan Hiroki Takemura merupakan sebuah buku berkaitan seni penyediaan masakan Jepun yang memfokuskan kepada sushi, iaitu hidangan tradisional yang terkenal di seluruh dunia. Buku ini memperkenalkan pembaca kepada pelbagai teknik, bahan dan tradisi yang berkaitan dengan penyediaan sushi, sekali gus memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang seni kulinari Jepun.
Keistimewaan buku ini terletak pada persembahan kandungannya yang menarik dan tersusun. Buku ini dilengkapi gambar berwarna yang jelas serta panduan langkah demi langkah bagi membantu pembaca memahami setiap proses penyediaan sushi. Penerangan merangkumi pemilihan bahan, penyediaan nasi sushi, penggunaan rumpai laut dan cuka beras, serta peralatan yang diperlukan. Aspek pemilihan bahan yang segar turut diberikan perhatian bagi membantu menghasilkan hidangan yang berkualiti.
Buku ini bertujuan memperkenalkan seni penyediaan sushi kepada pelbagai lapisan pembaca, sama ada mereka yang baru mempelajari masakan Jepun mahupun individu yang telah mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari. Melalui penerangan teknik penyediaan, penulis berkongsi pengetahuan tentang cara menghasilkan sushi dengan teliti, kemas dan menarik. Buku ini juga menonjolkan kepentingan kesabaran, ketelitian dan kreativiti dalam menghasilkan hidangan yang bukan sahaja enak, malah mempunyai nilai estetika.
Tema utama buku ini ialah seni dan teknik penyediaan sushi. Selain menghimpunkan panduan penyediaan makanan, buku ini turut memperkenalkan aspek budaya dan tradisi masakan Jepun. Penekanan terhadap keseimbangan rasa, tekstur, warna dan persembahan membantu pembaca memahami bahawa penyediaan sushi memerlukan perhatian terhadap setiap perincian.
Dari segi penyusunan kandungan, buku ini disusun secara sistematik, bermula dengan pengenalan kepada bahan asas dan peralatan sebelum menerangkan kaedah penyediaan nasi sushi serta pelbagai jenis hidangan. Antaranya termasuk nigiri, maki dan temaki. Panduan bergambar yang disediakan memudahkan pembaca mengikuti setiap langkah, khususnya ketika mempelajari teknik membentuk nasi dan menggulung sushi dengan kemas.
Dari aspek penilaian, penggunaan gambar yang jelas, susun atur yang teratur dan penerangan yang terperinci menjadikan buku ini sesuai sebagai bahan rujukan dalam pembelajaran masakan Jepun. Walau bagaimanapun, sesetengah teknik mungkin memerlukan latihan berulang untuk dikuasai, manakala bahan dan peralatan khusus mungkin sukar diperoleh di sesetengah tempat. Namun begitu, perkara tersebut tidak mengurangkan manfaat buku ini sebagai panduan untuk mempelajari seni penyediaan sushi.
Secara keseluruhannya, Sushi: Taste and Technique merupakan bahan bacaan yang bermanfaat kepada individu yang berminat mendalami seni penyediaan sushi dan masakan antarabangsa. Kandungannya bukan sahaja memberikan panduan praktikal, malah membantu pembaca mengenali teknik dan tradisi yang membentuk keunikan masakan Jepun. Buku ini sesuai dijadikan rujukan oleh pelajar, peminat masakan dan sesiapa sahaja yang ingin menambah pengetahuan dalam bidang kulinari.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, orang ramai boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Layari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 088-214828 dan 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku.
TERAPI TERHADAP REMAJA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Asimah Abdul Hag, Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Kunak
Buku Terapi Terhadap Remaja karya Rabiatul Adawiyah membincangkan pelbagai isu penting yang sering dihadapi oleh golongan remaja dalam kehidupan seharian. Zaman remaja merupakan satu fasa perkembangan yang penuh dengan pelbagai cabaran, termasuk perubahan emosi, tekanan sosial dan pencarian identiti diri. Melalui pendekatan yang santai dan mudah difahami, penulis mengupas beberapa konflik yang boleh dihadapi oleh remaja, termasuk kebimbangan, keyakinan diri serta masalah komunikasi dengan keluarga.
Buku ini turut mengetengahkan beberapa kaedah yang boleh membantu remaja mengurus emosi dan menghadapi tekanan dengan lebih baik. Antaranya termasuk kaunseling, penulisan jurnal dan aktiviti refleksi diri yang dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap emosi serta pemikiran sendiri. Penulis turut menggunakan contoh situasi yang dekat dengan kehidupan remaja, sekali gus menjadikan kandungan buku lebih mudah difahami dan relevan dengan pengalaman pembaca.
Pendekatan yang digunakan dalam buku ini memberikan panduan kepada pembaca tentang kepentingan mengenali emosi, berkomunikasi dengan baik dan mendapatkan sokongan yang sesuai apabila berhadapan dengan cabaran. Hal ini penting kerana sokongan daripada keluarga, pendidik dan individu yang dipercayai dapat membantu remaja menghadapi pelbagai perubahan dan cabaran dalam fasa kehidupan mereka.
Secara keseluruhannya, Terapi Terhadap Remaja merupakan bahan bacaan yang bermanfaat bukan sahaja kepada golongan remaja, malah kepada ibu bapa dan pendidik. Bahasa yang digunakan mudah difahami dan tidak terlalu teknikal, menjadikannya sesuai untuk pelbagai lapisan pembaca. Buku ini turut memberikan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesejahteraan emosi serta membantu remaja membina pemahaman diri dan menghadapi cabaran kehidupan secara lebih positif.
Buku ini merupakan salah satu koleksi di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kunak. Sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau membuat pinjaman, orang ramai boleh menghubungi talian 089-851248 atau 089-852995. Buku ini juga boleh didapati di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Layari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 088-214828 dan 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku.
PENGANGGURAN SISWAZAH: APA ANDA PERLU TAHU
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jasmeen Izzati binti Jius, Pelajar Latihan Industri, Perpustakaan Negeri Sabah
Siswazah menganggur boleh ditakrifkan sebagai seseorang pemegang ijazah atau diploma yang masih belum memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam atau luar negara. Pengangguran pula terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya pengangguran bermusim, geseran, kitaran, struktur, sukarela, tak ketara, teknologi, terbuka dan terpaksa. Buku ini dihasilkan oleh penulis untuk berkongsi pengalaman serta pemahaman mereka berkaitan isu pengangguran siswazah dengan para pembaca.
Menurut penulis, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya pengangguran dalam kalangan siswazah. Antaranya termasuklah sikap terlalu bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sehingga menyebabkan sesetengah siswazah cenderung memilih pekerjaan. Selain itu, terdapat juga siswazah yang kurang bersedia untuk bekerja di tempat yang jauh daripada keluarga atau kampung halaman.
Penulis turut menekankan bahawa masalah pengangguran siswazah bukan sahaja berpunca daripada faktor dalaman, malah berkait dengan kekurangan pengalaman dalam alam pekerjaan. Kelayakan akademik semata-mata tidak semestinya mencukupi kerana alam pekerjaan memerlukan pelbagai kemahiran, kebolehan dan pengalaman yang bersesuaian dengan keperluan sesuatu bidang.
Sebagai langkah menangani masalah tersebut, penulis menyarankan agar siswazah lebih berusaha membina kerjaya secara kendiri dan tidak terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan. Siswazah juga digalakkan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang, termasuk kemahiran komputer, kemahiran praktikal serta kemahiran lain yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.
Dari segi penyampaian, penulis menggunakan kosa kata yang mudah dan jelas, sekali gus memudahkan pembaca memahami isu yang dibincangkan. Buku ini bukan sahaja memberikan penerangan mengenai pengangguran siswazah, malah turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan persediaan diri, kemahiran dan pengalaman dalam menghadapi alam pekerjaan.
Secara keseluruhannya, PENGANGGURAN SISWAZAH: APA ANDA PERLU TAHU merupakan bahan bacaan yang sesuai dijadikan rujukan, khususnya kepada golongan siswazah dan mereka yang bakal melangkah ke alam pekerjaan. Buku ini menghimpunkan perbincangan mengenai punca, kesan serta langkah yang boleh diambil bagi menangani isu pengangguran siswazah. Kandungannya juga dapat membantu pembaca memahami bahawa kejayaan mendapatkan pekerjaan bukan sahaja bergantung pada kelayakan akademik, tetapi turut dipengaruhi oleh kemahiran, pengalaman, kesediaan dan sikap seseorang.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Layari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 088-214828 dan 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku.
APA YANG ANDA PERLU KETAHUI TENTANG TALASEMIA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Nurul Azirah binti Md Zain, Pelajar Latihan Industri, Perpustakaan Negeri Sabah
Talasemia merupakan penyakit keturunan yang diwarisi melalui gen daripada ibu atau bapa. Di Malaysia, penyakit ini memberi kesan kepada penghidap kerana menyebabkan anemia atau kekurangan hemoglobin yang berfungsi membawa oksigen dalam badan. Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan dan memerlukan pemantauan serta penjagaan yang berterusan.
Buku ini menekankan bahawa masih terdapat masyarakat yang kurang mengetahui dan memahami tentang Talasemia. Penulis membincangkan Talasemia berdasarkan tahap keterukan keadaan tersebut, iaitu Talasemia Minor, Talasemia Intermedia dan Talasemia Major. Talasemia Major berlaku apabila seseorang mewarisi gen globin yang tidak normal daripada kedua-dua ibu bapanya, manakala Talasemia Minor berlaku apabila seseorang mewarisi satu gen yang tidak normal.
Antara perkara penting yang diketengahkan dalam buku ini ialah aspek pencegahan dan kesedaran awal. Pembawa Talasemia lazimnya tidak menunjukkan gejala yang ketara, namun status pembawa boleh diketahui melalui pemeriksaan yang sesuai. Oleh itu, pengetahuan mengenai status pembawa dan kaunseling genetik merupakan antara aspek penting dalam usaha meningkatkan kesedaran serta mengurangkan risiko Talasemia yang lebih serius dalam keluarga.
Penulis berjaya menyampaikan maklumat berkaitan Talasemia menggunakan bahasa yang mudah difahami. Kandungannya bukan sahaja sesuai untuk golongan dalam bidang kesihatan seperti jururawat dan pembantu perubatan, malah bermanfaat kepada masyarakat umum yang ingin memahami penyakit keturunan ini. Buku ini turut membantu pembaca mengenali kepentingan pemeriksaan, pendidikan kesihatan dan kesedaran awal berkaitan Talasemia.
Secara keseluruhannya, APA YANG ANDA PERLU KETAHUI TENTANG TALASEMIA merupakan bahan bacaan yang bermanfaat dalam meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit ini. Buku ini bukan sahaja memberikan maklumat berkaitan Talasemia, malah mengetengahkan kepentingan kesedaran, pencegahan dan penjagaan kesihatan bagi membantu masyarakat membuat keputusan yang lebih baik berkaitan kesihatan diri dan keluarga.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Layari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 088-214828 dan 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku.
MENCEGAH PENYAKIT DENGAN TEH HIJAU
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Elvena Lee, Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Sipitang
Teh hijau merupakan minuman yang dihasilkan daripada daun Camellia sinensis yang tidak melalui proses fermentasi seperti teh hitam. Kaedah pemprosesan ini membantu mengekalkan kandungan nutrien semula jadinya, khususnya antioksidan yang tinggi dan bermanfaat kepada kesihatan tubuh.
Antara komponen utama dalam teh hijau ialah epigalokatekin galat (EGCG), iaitu sejenis antioksidan yang berperanan melawan radikal bebas dalam badan. Katekin dalam teh hijau juga dikatakan mempunyai keupayaan mengikat radikal bebas. Selain itu, kandungan L-theanine dikaitkan dengan peningkatan fokus serta kesan relaksasi, manakala kafein dalam kadar sederhana dapat memberikan tenaga.
Teh hijau turut mengandungi polifenol, alkaloid dan mineral seperti fluorida yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan gigi. Kandungan kafein pula boleh merangsang pengeluaran air kencing, manakala vitamin C memainkan peranan penting dalam menyokong fungsi tubuh.
Buku ini turut membincangkan potensi teh hijau dalam membantu mencegah dan mengurangkan risiko beberapa masalah kesihatan, antaranya kanser, strok, gangguan jantung, penyakit gastrointestinal, diabetes, artritis serta masalah berkaitan hati. Kandungan EGCG yang terdapat dalam teh hijau juga dibincangkan dari sudut potensinya terhadap beberapa jenis kanser, termasuk kanser perut, payudara, rahim, prostat dan mulut.
Walau bagaimanapun, teh hijau bukanlah penawar mutlak kepada semua penyakit. Pengambilannya secara sederhana dan konsisten, disertai amalan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat, lebih sesuai dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kesihatan tubuh.
Secara keseluruhannya, buku MENCEGAH PENYAKIT DENGAN TEH HIJAU memberikan pendedahan kepada pembaca mengenai kandungan, khasiat dan potensi teh hijau dalam penjagaan kesihatan. Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan tambahan kepada masyarakat yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang teh hijau serta manfaatnya sebagai salah satu pilihan minuman dalam kehidupan seharian.
Buku ini merupakan salah satu koleksi di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sipitang. Untuk tempahan dan pinjaman, sila hubungi talian 087-821003. Buku ini juga boleh didapati di Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu serta Perpustakaan Cawangan Daerah yang lain. Layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 088-214828 atau 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
KHASIAT DALAM BUAH-BUAHAN
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jaikul bin Mataran, Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Tambunan
Terdapat pelbagai spesies tumbuhan tropika yang wujud di seluruh negara seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tumbuhan herba dan rempah-ratus. Tumbuhan-tumbuhan ini mengandungi pelbagai khasiat semula jadi yang amat baik untuk kesihatan tubuh badan kerana kaya dengan nutrien penting. Sejak dahulu lagi, masyarakat memanfaatkan hasil tumbuhan tropika sebagai sumber makanan dan juga penawar tradisional bagi merawat pelbagai jenis penyakit.
Buah-buahan tropika terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu buah bermusim dan tidak bermusim. Buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan manggis hanya berbuah pada waktu tertentu dalam setahun. Manakala buah-buahan tidak bermusim seperti pisang, betik dan jambu boleh diperoleh sepanjang tahun. Kebanyakan buah-buahan ini ditanam untuk memenuhi pasaran domestik dan eksport, selain diproses menjadi pelbagai produk seperti jus, jem, puri dan makanan kesihatan.
Buah betik misalnya, kaya dengan vitamin A, C dan E serta mineral yang penting untuk tubuh. Kandungan enzim papain dalam betik membantu melancarkan sistem penghadaman dan mencegah masalah sembelit. Selain itu, betik juga dipercayai mempunyai sifat anthelmintik yang membantu menyingkirkan cacing dalam usus serta meningkatkan kesihatan sistem pencernaan.
Durian pula merupakan antara tanaman yang sinonim dengan iklim tropika, khususnya di kawasan Kepulauan Borneo. Buah ini mempunyai aroma yang kuat dan kulit berduri tajam, sekali gus menjadikannya unik dan mudah dikenali. Gelarannya sebagai “raja buah” jelas menggambarkan keenakan rasanya yang digemari ramai. Dari sudut kesihatan, durian membantu tubuh menyerap vitamin larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K. Kandungan zat besinya juga berperanan dalam pembentukan sel darah merah, sekali gus membantu mencegah masalah anemia.
Rambutan pula kaya dengan karbohidrat sebagai sumber tenaga segera. Buah ini mengandungi mineral penting seperti kalsium, zat besi, zink, magnesium, fosforus dan kalium yang diserap daripada tanah. Selain itu, vitamin A dan C dalam rambutan bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Pisang pula terkenal dengan kandungan kaliumnya yang tinggi. Kalium membantu mengawal tekanan darah dengan memastikan saluran darah berada dalam keadaan baik dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Pisang juga mengandungi fitosterol, iaitu sejenis sterol tumbuhan yang terbukti membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Secara keseluruhannya, buku ini menghuraikan khasiat buah-buahan tropika berdasarkan fakta saintifik yang jelas dan mudah difahami. Penulis berjaya menggabungkan pengetahuan botani dan sains pemakanan dalam penerangan yang ringkas tetapi padat. Buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan oleh pelajar, guru serta masyarakat umum yang ingin memahami manfaat tumbuhan tropika dalam menjaga kesihatan. Kandungannya bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah menyedarkan pembaca tentang kepentingan mengamalkan pemakanan berasaskan sumber semula jadi demi kesejahteraan hidup.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
KHASIAT DALAM BUAH-BUAHAN
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jaikul bin Mataran, Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Tambunan
Terdapat pelbagai spesies tumbuhan tropika yang wujud di seluruh negara seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tumbuhan herba dan rempah-ratus. Tumbuhan-tumbuhan ini mengandungi pelbagai khasiat semula jadi yang amat baik untuk kesihatan tubuh badan kerana kaya dengan nutrien penting. Sejak dahulu lagi, masyarakat memanfaatkan hasil tumbuhan tropika sebagai sumber makanan dan juga penawar tradisional bagi merawat pelbagai jenis penyakit.
Buah-buahan tropika terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu buah bermusim dan tidak bermusim. Buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan manggis hanya berbuah pada waktu tertentu dalam setahun. Manakala buah-buahan tidak bermusim seperti pisang, betik dan jambu boleh diperoleh sepanjang tahun. Kebanyakan buah-buahan ini ditanam untuk memenuhi pasaran domestik dan eksport, selain diproses menjadi pelbagai produk seperti jus, jem, puri dan makanan kesihatan.
Buah betik misalnya, kaya dengan vitamin A, C dan E serta mineral yang penting untuk tubuh. Kandungan enzim papain dalam betik membantu melancarkan sistem penghadaman dan mencegah masalah sembelit. Selain itu, betik juga dipercayai mempunyai sifat anthelmintik yang membantu menyingkirkan cacing dalam usus serta meningkatkan kesihatan sistem pencernaan.
Durian pula merupakan antara tanaman yang sinonim dengan iklim tropika, khususnya di kawasan Kepulauan Borneo. Buah ini mempunyai aroma yang kuat dan kulit berduri tajam, sekali gus menjadikannya unik dan mudah dikenali. Gelarannya sebagai “raja buah” jelas menggambarkan keenakan rasanya yang digemari ramai. Dari sudut kesihatan, durian membantu tubuh menyerap vitamin larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K. Kandungan zat besinya juga berperanan dalam pembentukan sel darah merah, sekali gus membantu mencegah masalah anemia.
Rambutan pula kaya dengan karbohidrat sebagai sumber tenaga segera. Buah ini mengandungi mineral penting seperti kalsium, zat besi, zink, magnesium, fosforus dan kalium yang diserap daripada tanah. Selain itu, vitamin A dan C dalam rambutan bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Pisang pula terkenal dengan kandungan kaliumnya yang tinggi. Kalium membantu mengawal tekanan darah dengan memastikan saluran darah berada dalam keadaan baik dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Pisang juga mengandungi fitosterol, iaitu sejenis sterol tumbuhan yang terbukti membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Secara keseluruhannya, buku ini menghuraikan khasiat buah-buahan tropika berdasarkan fakta saintifik yang jelas dan mudah difahami. Penulis berjaya menggabungkan pengetahuan botani dan sains pemakanan dalam penerangan yang ringkas tetapi padat. Buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan oleh pelajar, guru serta masyarakat umum yang ingin memahami manfaat tumbuhan tropika dalam menjaga kesihatan. Kandungannya bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah menyedarkan pembaca tentang kepentingan mengamalkan pemakanan berasaskan sumber semula jadi demi kesejahteraan hidup.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
BERDAMAI DENGAN KETIDAKPASTIAN
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Azlan Bin Wol, Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Keningau
Buku bertajuk Berdamai Dengan Ketidakpastian merupakan sebuah karya reflektif yang sangat dekat dengan realiti kehidupan manusia moden. Dalam dunia yang sentiasa berubah dan penuh dengan persoalan tentang masa depan, buku ini hadir sebagai teman yang mengajak pembaca untuk menerima hakikat bahawa ketidakpastian adalah sebahagian daripada kehidupan, bukan sesuatu yang perlu ditakuti secara berlebihan.
Imran Zaki mengolah topik ketidakpastian dengan gaya penulisan yang sederhana tetapi mendalam. Beliau menyentuh persoalan hidup seperti kegagalan, penantian, kehilangan arah, tekanan emosi dan rasa takut terhadap perkara yang belum berlaku. Melalui bahasa yang lembut dan mudah difahami, penulis mengajak pembaca untuk memperlahankan langkah dan merenung semula sikap kita terhadap hidup. Buku ini menekankan bahawa manusia sering tertekan bukan kerana masalah itu sendiri, tetapi kerana keinginan untuk mengawal segala-galanya.
Antara motivasi utama yang terdapat dalam buku ini ialah mesej bahawa ‘kita tidak perlu memiliki semua jawapan untuk terus melangkah ke hadapan’. Penulis mengingatkan bahawa hidup tidak sentiasa memerlukan kepastian mutlak; sebaliknya, keberanian untuk percaya, bersabar dan bertawakal adalah kunci ketenangan jiwa. Imran Zaki turut menegaskan bahawa setiap fasa hidup mempunyai waktunya sendiri, dan memaksa sesuatu terjadi lebih awal hanya akan membawa kekecewaan.
Buku ini juga memberi motivasi kepada pembaca agar belajar menerima diri sendiri dalam keadaan tidak sempurna. Penulis menekankan bahawa kegagalan dan kesilapan bukan tanda kelemahan, tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran dan pendewasaan. Dengan berdamai dengan ketidakpastian, seseorang dapat hidup dengan lebih ringan, tidak terlalu dibebani oleh jangkaan orang lain atau tekanan masa depan.
Selain itu, buku ini sesuai dijadikan bahan renungan harian kerana setiap babnya ditulis secara ringkas tetapi penuh makna. Ia membantu pembaca membina sikap sabar, reda dan percaya bahawa apa yang berlaku hari ini, sama ada baik atau buruk, mempunyai hikmah tersendiri.
Secara ringkas, buku bertajuk Berdamai Dengan Ketidakpastian ini adalah sebuah buku yang mengajar pembaca untuk menerima hidup dengan hati yang terbuka dan tenang. Ia mengingatkan bahawa ketidakpastian bukan musuh, tetapi ruang untuk belajar mempercayai takdir dan diri sendiri. Sebuah bacaan yang sesuai untuk sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan kebimbangan tentang masa depan dan mencari ketenangan dalam perjalanan hidup mereka. Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
RISIKO GLUKOSA PADA KESIHATAN
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Nur May Uzma binti Mohd Solehuddin, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Negeri Sabah
Buku bertajuk "Risiko Glukosa Pada Kesihatan" hasil nukilan Md. Zairul Kusnan merupakan sebuah naskhah pendidikan kesihatan yang sangat relevan. Diterbitkan oleh Lebar Akar Resources, buku ini ditulis dengan tujuan utama untuk memberikan kesedaran kepada pembaca mengenai peranan kritikal nutrisi dalam memulihkan sistem tubuh. Penulis menegaskan bahawa sistem tubuh memerlukan jumlah nutrisi yang mencukupi untuk membersihkan sistem penghadaman seperti usus, menyerap zat nutrien, membaiki sel yang rosak, serta menggalakkan pertumbuhan sel-sel yang baharu. Mesej utama yang ingin disampaikan oleh penulis adalah bahawa nutrisi bukan sahaja sebagai sumber tenaga, malah ia mampu membantu tubuh ‘sembuh dengan sendirinya’ jika kita mengamalkan pola pemakanan yang betul.
Tema utama buku ini berkisar tentang pengurusan glukosa dan risikonya terhadap kesihatan jangka panjang. Penulis menyusun teks bukunya dengan sangat teratur, bermula daripada sejarah penemuan glukosa oleh tokoh-tokoh seperti Andreas Marggraf dan Emil Fischer sehinggalah kepada kesan teknikal glukosa dalam darah. Gula ringkas digambarkan secara kreatif sebagai ‘petrol’ bagi badan manusia, manakala karbohidrat pula diibaratkan sebagai ‘minyak mentah’ yang perlu diproses oleh sistem pencernaan perut dan usus sebelum menjadi ‘petrol’. Kupasan ini memudahkan pembaca memahami bagaimana gula ringkas atau monosakarida bertindak dalam menggerakkan sel-sel badan.
Dalam mengembangkan penceritaannya, Md. Zairul Kusnan berjaya membangkitkan minat pembaca melalui penggunaan analogi yang mudah dan visual yang menarik. Keupayaan penulis menerangkan konsep Indeks Glisemik (IG) menggunakan skala 0 hingga 100 menjadikan maklumat yang sukar terlihat lebih ringkas. Ketetapan fakta dalam buku ini juga sangat baik kerana penulis membahagikan kategori makanan dengan jelas kepada kumpulan IG rendah, sederhana dan tinggi. Malah, unsur objektif penulis terserlah apabila beliau menerangkan bahawa pelepasan glukosa yang lebih rendah daripada makanan ber-IG rendah sangat membantu, terutamanya bagi pesakit diabetes untuk mengawal paras gula mereka secara konsisten.
Selain itu, ketelitian penulis dalam mendedahkan risiko kesihatan seperti rintangan insulin, penyakit buah pinggang dan kerosakan saraf mata memberikan impak kesedaran yang besar kepada pembaca sasaran. Manfaat ulasan ini tidak terhenti pada teori sahaja, malah ia merangkumi aspek praktikal menerusi cadangan amalan gaya hidup sihat dan pemilihan makanan yang bijak. Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu karya yang sangat berinformatif dan teliti. Md. Zairul Kusnan berjaya menyatukan fakta sains perubatan dengan bahasa yang mudah dan menjadikannya satu panduan yang sangat bermanfaat bagi sesiapa yang ingin menjaga kesihatan melalui kawalan glukosa yang bijak.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
PENGENALAN GAYA HIDUP SIHAT: PEMAKANAN DAN KEHIDUPAN SIHAT
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jennellee Aiyana Jameri, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Negeri Sabah
Buku ini bertajuk “Pengenalan Gaya Hidup Sihat: Pemakanan dan Kehidupan Sihat” dan ditulis oleh dua orang penulis iaitu Siti Aishah Suleiman dan Elisyah Ong, diterbitkan di Selangor oleh Penerbitan Timba Ilmu pada 2024. Buku ini mempunyai sebanyak 27 muka surat, nombor ISBN 9789672935469 dan tergolong dalam kategori buku bukan fiksyen. Kandungan dalam buku ini amatlah ringkas dan mudah difahami, penerangan yang jelas juga membantu pembaca untuk memahami konsep yang hendak disampaikan iaitu asas gaya hidup sihat.
Jelas seperti tajuknya, buku ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat tentang cara mengekalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan yang seimbang dan kehidupan yang sihat. Penulisan yang jelas dan langsung membuatkan buku ini terbuka kepada pembaca umum, iaitu golongan pelajar dan masyarakat umum. Selain itu, penulis juga telah menyertakan beberapa ilustrasi-ilustrasi yang berwarna-warni untuk menarik minat pembaca untuk membaca buku dan setiap ilustrasi yang disertakan juga penjelasan untuk membantu pemahaman pembaca.
Walaupun buku ini banyak berfokus kepada gaya hidup sihat merupakan kunci bagi kesejahteraan hidup, penulis juga telah menyelitkan beberapa aspek lain yang mempengaruhi kesejahteraan hidup. Penulis percaya bahawa cara hidup memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan gaya hidup sihat dan penulis juga menekankan kepentingan tentang pengetahuan pemakanan yang betul.
Kandungan buku ini ditulis secara berperingkat, hal ini dikatakan demikian kerana penulis memulakan penerangan dengan pengenalan konsep asas pemakanan sihat, diikuti kesan dan kepentingan pemilihan makanan, amalan pemakanan berkhasiat, serta sokongan gaya hidup sihat untuk jangka masa yang panjang. Buku ini amatlah menarik kerana ianya berkait rapat dengan kehidupan seharian semua masyarakat. Oleh itu, pembaca boleh menggunakan buku ini sebagai panduan dalam mengekalkan gaya hidup sihat.
Kesimpulannya, buku “Pengenalan Gaya Hidup Sihat: Pemakanan dan Kehidupan Sihat” ini amatlah berguna dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan diri. Segala isi kandungan yang terdapat dalam buku ini juga saling berkaitan dengan tajuk utama. Oleh itu, buku ini sesuai untuk dijadikan panduan kepada sesiapa yang ingin memulakan gaya hidup sihat.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
UNTUK JIWA YANG TENANG
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rita Asing, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau
Buku bertajuk Untuk Jiwa Yang Tenang ditulis oleh Koh Dennis Lim merupakan sebuah naskhah reflektif yang memberi ruang kepada pembaca untuk berhenti sejenak daripada kesibukan dunia, dan kembali menelusuri kedamaian dalam diri sendiri. Dengan gaya penulisan yang lembut, menyentuh dan jujur, buku ini membawa mesej penting tentang erti ketenangan jiwa dalam dunia yang serba pantas, penuh tekanan dan kekeliruan.
Buku ini mengandungi pelbagai catatan kehidupan dan renungan yang ditulis berdasarkan pengalaman peribadi penulis serta pemerhatiannya terhadap masyarakat. Koh Dennis Lim bijak membina naratif yang ringkas tetapi mendalam, menyentuh topik seperti penerimaan diri, melepaskan beban emosi, ketulusan dalam berhubung dengan orang lain, dan nilai-nilai kecil yang sering kita abaikan dalam kehidupan seharian. Antara motivasi utama yang ditekankan oleh penulis ialah bahawa ketenangan jiwa tidak datang daripada luar, tetapi lahir daripada penerimaan dan kesedaran dalaman.
Penulis mengajak pembaca untuk belajar melepaskan perkara yang tidak dapat dikawal, menerima keadaan yang sudah berlaku, dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat dan sembuh. Ini adalah mesej yang sangat berharga, terutama dalam masyarakat hari ini yang sering terperangkap dalam perlumbaan pencapaian dan tekanan sosial. Penulis turut memberikan peringatan bahawa tidak mengapa untuk merasa lelah, kecewa atau sedih, kerana itu semua adalah sebahagian daripada pengalaman dan fitrah makhluk bernama manusia. Namun, dengan kesedaran, kejujuran dan rasa syukur yang dipupuk dalam diri, seseorang boleh kembali bangkit dengan lebih tenang dan matang. penulis mengajar kita bahawa ketenangan bukan bererti tiada masalah, tetapi kemampuan untuk berdepan dengan masalah tanpa kehilangan arah dan nilai diri.
Ringkasnya, buku Untuk Jiwa Yang Tenang ini adalah sebuah buku yang sederhana tetapi mempunyai kesan yang besar kepada pembaca. Ia bukan sekadar tulisan, tetapi buku ini mengajak kita untuk tidak hanya hidup dalam kesibukan dunia semata-mata tetapi juga menyuburkan kedamaian dalam diri. Ia sangat sesuai dijadikan bahan bacaan santai, renungan malam, atau peneman saat hati gelisah. Dengan membaca buku ini, kita akan belajar bahawa dalam dunia yang kacau, jiwa yang tenang adalah anugerah yang sangat berharga dan kita semua mampu mencapainya, sedikit demi sedikit.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
JEJAK-JEJAK PENDIDIK
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Bernard Ang Kok Vui, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Negeri Sabah
Buku berjudul Jejak-Jejak Pendidik ini merupakan sebuah buku yang merakamkan 50 orang guru pesara yang telah meninggalkan ilham dan legasi mereka sebelum bersara. Legasi dan sumbangan mereka terhadap pendidikan di tanah air kita, iaitu Sabah telah direkodkan di dalam buku ini untuk rujukan para pendidikan ataupun bakal guru yang ingin menjadi pendidik di tanah air kita ini.
Pencipta buku ini diberi peluang untuk menyusun dan menyelenggara buku ini oleh Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, (PBPPM), Cawangan Sabah. Pencipta buku ini menerima tanggungjawab untuk menyelenggara buku kerana dia bangga dengan kemajuan Sabah dalam jurusan pendidikan dan ingin memberi kehormatan kepada mereka yang telah menyumbangkan kepada kemajuan ini.
Buku ini juga turut disertakan biodata setiap pendidik yang telah bersara untuk memberitahu pembaca asal usul pendidik. Justeru itu, sejarah pendidik yang disenaraikan dalam buku ini memberi satu penjelasan dan juga satu pengajaran kepada para pembaca.
Menurut salah satu pendidik di dalam buku ini, iaitu Sinteh Bin Japil (HAJI) di muka surat 294-298 yang telah menarik perhatian saya untuk turut membaca buku ini. Pengalaman dan juga sumbangan beliau terhadap pendidikan di Kota Belud salah satu daerah di Sabah, telah memajukan taraf pendidikan sekolah di daerah tersebut. Justeru itu, beliau menunjukkan bahawa seorang pendidik tidak perlu daripada latar belakang yang bijak ataupun mewah. Seorang pendidik yang maju memerlukan hati dan jiwa yang baik dan jujur pada kepercayaannya untuk mendidik anak-anak muda di Sabah ini.
Secara ringkasnya, Sinteh Bin Japil dan pendidik-pendidik lain yang ternyata dalam buku ini mengalami banyak cabaran terutamanya pada awalnya kerana pada zaman tersebut, pendidikan untuk orang kampung sangat sukar untuk didapati. Atas sumbangan mereka yang terus berjuang, pendidikan yang kita dapat pada zaman sekarang dapat dicapai. Oleh itu, ribuan terima kasih perlu diucap kepada semua pendidik yang telah disenarai di buku ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh berkunjung ke Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah dan perpustakaan yang terdekat atau melayari laman sesawang https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru





