Select your language

PENANAMAN ANGGERIK

Penulis
DYAH WIDIASTOETY

Terbitan
KUALA LUMPUR: SYNERGY MEDIA BOOKS. 83 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Atsi binti Alih, Perpustakaan Desa Kampung Meligan, Sipitang

Anggerik atau orkid merupakan salah satu spesies dalam keluarga Orchidaceae yang hidup dalam jumlah yang sangat banyak dan boleh ditemui hampir di seluruh dunia. Tumbuhan ini lebih ketara di kawasan tropika, sama ada di dataran rendah mahupun di kawasan tanah tinggi yang beriklim sejuk. Anggerik lazimnya bersifat epifit dan terestrial, serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dan dipelbagaikan kerana variasi genetiknya yang luas.

Walaupun anggerik terkenal sebagai tanaman hiasan yang memukau, proses penanamannya bukanlah mudah. Menurut ahli sains, ramai penggemar tanaman hiasan sering mengalami kegagalan kerana anggerik sensitif terhadap perubahan iklim dan tidak boleh dijaga seperti tanaman hiasan biasa. Pertumbuhan anggerik, sama ada secara vegetatif (tunas, daun, batang, akar) mahupun generatif (tunas bunga, buah dan biji), dipengaruhi bukan sahaja oleh faktor genetik, tetapi juga oleh faktor iklim dan kaedah pemeliharaan. Faktor pemeliharaan yang penting termasuklah pembajaan, penyiraman, kawalan hama dan penyakit, pemilihan medium tanaman yang sesuai serta teknik pemisahan dan pemindahan (repotting).

Buku ini menghuraikan secara lengkap proses penanaman anggerik, bermula daripada pemilihan tanaman, pengenalan kepada medium yang sesuai, teknik penanaman yang betul hinggalah kepada kaedah penjagaan yang efektif. Selain memberi tunjuk ajar asas, buku ini turut membincangkan permasalahan dan cabaran dalam industri penanaman anggerik, sekali gus membantu pembaca memahami selok-belok dunia hortikultur ini dengan lebih mendalam.

Penulis berharap buku ini menjadi panduan berguna kepada pembaca yang berminat untuk mempelajari penanaman anggerik. Usaha penulis menyusun maklumat mengikut turutan daripada proses awal penanaman hingga menghasilkan bunga serta ilustrasi menjadikan isi kandungan lebih mudah difahami. Buku ini mengandungi sembilan bahagian utama: pendahuluan, nama-nama anggerik, ciri-ciri tanaman anggerik, media tumbuhan, pemilihan tanaman, kaedah penanaman, penjagaan, pengurusan hama dan penyakit, serta cara memperbanyakkan anggerik.

Secara keseluruhannya, buku ini sangat bermanfaat terutama bagi peminat anggerik, penggemar tanaman hiasan, serta mereka yang ingin menceburi industri tanaman anggerik secara lebih serius. Sekiranya berminat dengan buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Desa Kampung Meligan, Sipitang atau perpustakaan terdekat dengan anda. Selain itu, anda boleh melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 234828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu ingin menjadi penulis, ada dua hal yang harus kau lakukan, banyak membaca dan menulis. Setahuku, tidak ada jalan lain selain dua hal ini. Dan tidak ada jalan pintas." - Stephen King

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.