Select your language

RISIKO GLUKOSA PADA KESIHATAN

Penulis
MD. ZAIRUL KUSNAN

Terbitan
SELANGOR: LEBAR AKAR RESOURCES, 2022. 40 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Nur May Uzma binti Mohd Solehuddin, Pelajar Latihan Industri Perpustakaan Negeri Sabah

Buku bertajuk "Risiko Glukosa Pada Kesihatan" hasil nukilan Md. Zairul Kusnan merupakan sebuah naskhah pendidikan kesihatan yang sangat relevan. Diterbitkan oleh Lebar Akar Resources, buku ini ditulis dengan tujuan utama untuk memberikan kesedaran kepada pembaca mengenai peranan kritikal nutrisi dalam memulihkan sistem tubuh. Penulis menegaskan bahawa sistem tubuh memerlukan jumlah nutrisi yang mencukupi untuk membersihkan sistem penghadaman seperti usus, menyerap zat nutrien, membaiki sel yang rosak, serta menggalakkan pertumbuhan sel-sel yang baharu. Mesej utama yang ingin disampaikan oleh penulis adalah bahawa nutrisi bukan sahaja sebagai sumber tenaga, malah ia mampu membantu tubuh ‘sembuh dengan sendirinya’ jika kita mengamalkan pola pemakanan yang betul.

Tema utama buku ini berkisar tentang pengurusan glukosa dan risikonya terhadap kesihatan jangka panjang. Penulis menyusun teks bukunya dengan sangat teratur, bermula daripada sejarah penemuan glukosa oleh tokoh-tokoh seperti Andreas Marggraf dan Emil Fischer sehinggalah kepada kesan teknikal glukosa dalam darah. Gula ringkas digambarkan secara kreatif sebagai ‘petrol’ bagi badan manusia, manakala karbohidrat pula diibaratkan sebagai ‘minyak mentah’ yang perlu diproses oleh sistem pencernaan perut dan usus sebelum menjadi ‘petrol’. Kupasan ini memudahkan pembaca memahami bagaimana gula ringkas atau monosakarida bertindak dalam menggerakkan sel-sel badan.

Dalam mengembangkan penceritaannya, Md. Zairul Kusnan berjaya membangkitkan minat pembaca melalui penggunaan analogi yang mudah dan visual yang menarik. Keupayaan penulis menerangkan konsep Indeks Glisemik (IG) menggunakan skala 0 hingga 100 menjadikan maklumat yang sukar terlihat lebih ringkas. Ketetapan fakta dalam buku ini juga sangat baik kerana penulis membahagikan kategori makanan dengan jelas kepada kumpulan IG rendah, sederhana dan tinggi. Malah, unsur objektif penulis terserlah apabila beliau menerangkan bahawa pelepasan glukosa yang lebih rendah daripada makanan ber-IG rendah sangat membantu, terutamanya bagi pesakit diabetes untuk mengawal paras gula mereka secara konsisten.

Selain itu, ketelitian penulis dalam mendedahkan risiko kesihatan seperti rintangan insulin, penyakit buah pinggang dan kerosakan saraf mata memberikan impak kesedaran yang besar kepada pembaca sasaran. Manfaat ulasan ini tidak terhenti pada teori sahaja, malah ia merangkumi aspek praktikal menerusi cadangan amalan gaya hidup sihat dan pemilihan makanan yang bijak. Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu karya yang sangat berinformatif dan teliti. Md. Zairul Kusnan berjaya menyatukan fakta sains perubatan dengan bahasa yang mudah dan menjadikannya satu panduan yang sangat bermanfaat bagi sesiapa yang ingin menjaga kesihatan melalui kawalan glukosa yang bijak.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah benda ajaib unik yang mudah dibawa."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.