Select your language

 

Kenali Binson A. Sabiah


Tentang Binson A. Sabiah

Binson A. Sabiah dilahirkan pada 24 Jun 1948. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pekan Keningau pada tahun 1957 dan telah berpindah ke Sekolah Rendah Pekan Bingkor sehingga tamat darjah 6 pada tahun 1962. Beliau kemudiannya menyambung persekolahan ke Sekolah Menengah St. Francis Xaviers Keningau selama 2 tahun dan disebabkan kemiskinan, beliau telah meninggalkan alam persekolahan. Pada tahun 1965, beliau telah ditawarkan untuk mengajar di Sekolah Rendah Kampung Baru dan telah dipindahkan ke Sk. Luagan (Toboh Baru) sebulan kemudian. Pada tahun 1967, beliau dipindahkan ke Sekolah Rendah Kota Ayangan.

Beliau meninggalkan lapangan pendidikan untuk menyertai Pasukan Polis di penghujung tahun 1968 dan menjalani latihan asas kepolisian di Pusat Latihan Polis (POLAPUL) Selangor selama 9 bulan sehinga September 1969. Beliau kembali ke Sabah pada bulan Oktober 1969. Pada pertengahan bulan Oktober, beliau menjalani latihan taktik perang ala tentera di Ibu Pejabat Polis Kepayan selama 9 minggu sebelum diserap ke dalam unit Police Field Force.

Pada tahun 1972, Binson A. Sabiah meninggalkan lapangan kepolisian untuk kembali ke kampung halaman dan menjadi penulis bebas (wartawan bebas) yang banyak tersiar di akhbar Sabah Times dan sisindiron (poems) dalam bahasa Kadazan yang banyak tersiar di akhbar Daily Express serta bulletin Kadazandusun Languange Foundation (KLF). Selain daripada itu, sajaknya juga tersiar dalam WADAH terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, dan di akhbar Berita Sabah. Kebanyakkan sajaknya termuat dalam Antologi “Kembang Kembang Rindu” terbitan BAHASA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Beliau menjadi Pengerusi Badan Bahasa Sabah Daerah Tenom pada tahun 1987-1999 dan telah menjadi Juara dalam Pertandingan menulis cerpen dalam bahasa Kadazandusun di seluruh Sabah, anjuran bersama KDCA, KLF, JPS, RTM serta beberapa agensi Kerajaan pada tahun 1969. Beliau juga telah dilantik menjadi Pengerusi BIRO Penulisan KDCA Cawangan Keningau dan AJK Perunding Bahasa Kadazandusun Sabah Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 1996.

Pada tahun 1997, KDI Publication Sdn. Bhd. Kota Kinabalu telah menerbitkan buku pertamanya berjudul “KOROM” dan seterusnya menyusul buku Antologi Sajak “SALAROM SININDAB TAPUI” dalam bahasa Kadazandusun yang diterbitkan oleh KLF pada tahun 1998. Buku tersebut merupakan Antologi Sajak yang pertama dalam dunia ditulis dalam Bahasa Kadazan bersamasama dengan “I’ Umpok Om Oninipot”.

Binson A. Sabiah telah menerbitkan buku “The North Borneo Police Hero” secara peribadi pada tahun 2004 dan bukunya yang berjudul “Mengenali Gana” telah diterbitkan pada tahun berikutnya. Buku tersebut telah digunakan oleh 3 pelajar Universiti Malaysia Sabah sebagai rujukan untuk menyiapkan tugasan mereka.

 


 

Buku oleh Binson A. Sabiah

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca semua buku yang bagus layaknya sebuah percakapan dengan pemikiran terbaik di abad-abad sebelumnya." - Rene Descartes

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.