PENANAMAN CILI SECARA INTENSIF
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Atsi binti Alih, Perpustakaan Desa Kampung Meligan
Cili, yang juga dikenali sebagai lada atau cabai, merupakan sejenis sayuran yang mempunyai nilai produktiviti tinggi dan dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk produk makanan. Cili digunakan secara meluas sebagai penyedap rasa dan rempah ratus dalam masakan. Selain itu, cili juga menjadi bahan asas dalam industri pembuatan sos, pes dan serbuk rempah yang digunakan dalam makanan segera seperti mi segera, produk makanan segera di restoran francais seperti McDonald’s, Kentucky Fried Chicken serta pelbagai jenis makanan ringan. Pada masa kini, permintaan terhadap cili semakin meningkat dan keadaan ini menjanjikan peluang yang besar untuk diusahakan secara intensif.
Keupayaan cili untuk melazatkan makanan serta menjadi kegemaran masyarakat di seluruh dunia menjadikan hasil pengeluarannya sentiasa mendapat permintaan tinggi. Oleh itu, pengeluaran cili secara maksimum amat penting bagi memastikan hasilnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Analisis terhadap prospek perusahaan penanaman cili perlu dilakukan untuk memahami potensi keuntungan dan risiko kerugian yang mungkin dihadapi. Maklumat serta kaedah pengurusan penanaman cili perlu dikaji secara menyeluruh, meliputi penyediaan kawasan tanaman, pemilihan biji benih yang sihat, penjagaan tanaman secara intensif, pengendalian perosak dan penyakit, proses penuaian serta pengendalian hasil selepas tuaian.
Di Malaysia, prospek penanaman cili semakin berkembang dan semakin ramai yang mula menceburi bidang perusahaan ini. Perkembangan ini membuktikan bahawa sektor pertanian, khususnya dalam tanaman hortikultur, menunjukkan pertumbuhan yang positif dan berpotensi untuk diusahakan secara komersial. Tanaman cili masih menjadi pilihan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil di negara ini kerana kitaran pulangan modalnya lebih cepat berbanding sektor pertanian lain yang menggunakan benih tradisional. Salah satu usaha yang mendapat perhatian ramai pengusaha ialah perusahaan cili hibrid (kacukan), yang telah diusahakan secara meluas di seluruh dunia, termasuk di kawasan tropika, subtropika dan juga kawasan bersuhu rendah.
Menurut sejarah, tanaman cili berasal dari benua Amerika Selatan. Pada peringkat awal, tanaman ini ditanam secara semula jadi oleh petani. Seiring dengan perkembangan ilmu botani, para pakar telah menjalankan pelbagai usaha penambahbaikan melalui kaedah pemilihan negatif dan positif bagi membentuk ciri-ciri cili yang memenuhi kehendak pasaran, sama ada dari segi kualiti mahupun kuantiti. Hasilnya, cili kini menjadi salah satu tanaman makanan yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Penulis menghasilkan buku ini berdasarkan pengalaman peribadi serta pemerhatian yang mendalam, termasuk kaedah penanaman cili yang telah dipraktikkan oleh pengusaha dari dalam dan luar negara. Penulis yakin bahawa buku ini dapat menjadi panduan yang berguna serta membantu golongan yang berminat untuk menceburi bidang perusahaan penanaman cili secara serius dan terancang.
Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Desa Kampung Meligan, Sipitang. Orang ramai boleh berhubung secara langsung dengan Pengawas bertugas untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempahan dan pinjaman buku tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai ketersediaan buku, sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah di https://library.sabah.gov.my/ atau hubungi talian 088-231623, 088-214828 dan 088-256192 (Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah). Walau bagaimanapun, penghantaran buku ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu mungkin mengambil sedikit masa, justeru pengguna digalakkan menghubungi perpustakaan terdekat untuk urusan tempahan
English
Malay
