Hari Buku Kanak-Kanak Seduia (ICBD) disambut setiap tahun pada 2 April sejak tahun 1967 sempena memperingati hari ulang tahun seorang pengarang buku kanak-kanak klasik, Hans Christian Andersen yang memberi inspirasi kepada semua untuk membaca, serta menarik perhatian mereka terutamanya kepada buku kanak-kanak. Hari ini diasaskan oleh International Board on Books for Young People (IBBY). Setiap tahun, Bahagian Kebangsaan IBBY yang berbeza berpeluang menjadi penaja bagi Hari Buku Kanak-kanak di mana penaja boleh memilih tema dan menjemput pengarang terkemuka dari negara tuan rumah untuk menulis mesej kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Selain itu, seorang ilustrator terkenal juga akan dipilih untuk mereka bentuk poster bagi tujuan mempromosi hari Sedunia tersebut. Tahun ini, penaja bagi Hari Buku Kanak-Kanak Sedunia 2022 ialah IBBY Canada dengan tema yang dipilih, "Stories are wings that help you soar every day" oleh Richard Van Camp.
Bagi meraikan Hari Buku Kanak-Kanak Sedunia, anda tidak perlu mempunyai kaitan dengan IBBY. Hanya dengan membaca buku kepada anak-anak anda merupakan cara yang terbaik untuk melibatkan diri pada hari Sedunia ini! Membaca membuka minda kanak-kanak kepada dunia baharu yang memupuk imaginasi dan empati. Jangan lupa untuk memberikan tepukan dan memeluk anak-anak anda setelah mereka habis membaca kerana ini akan meningkatkan keyakinan mereka untuk penambahbaikan pada masa hadapan.