Select your language

PENGANGGURAN SISWAZAH: APA ANDA PERLU TAHU

Penulis
MOHD SHAH A’SHAARI DAN ABU BAKAR SULEIMAN

Terbitan
JOHOR BAHRU: ABS TINTA, 2026. 49 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Jasmeen Izzati binti Jius, Pelajar Latihan Industri, Perpustakaan Negeri Sabah

Siswazah menganggur boleh ditakrifkan sebagai seseorang pemegang ijazah atau diploma yang masih belum memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam atau luar negara. Pengangguran pula terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya pengangguran bermusim, geseran, kitaran, struktur, sukarela, tak ketara, teknologi, terbuka dan terpaksa. Buku ini dihasilkan oleh penulis untuk berkongsi pengalaman serta pemahaman mereka berkaitan isu pengangguran siswazah dengan para pembaca.

Menurut penulis, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya pengangguran dalam kalangan siswazah. Antaranya termasuklah sikap terlalu bergantung kepada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sehingga menyebabkan sesetengah siswazah cenderung memilih pekerjaan. Selain itu, terdapat juga siswazah yang kurang bersedia untuk bekerja di tempat yang jauh daripada keluarga atau kampung halaman.

Penulis turut menekankan bahawa masalah pengangguran siswazah bukan sahaja berpunca daripada faktor dalaman, malah berkait dengan kekurangan pengalaman dalam alam pekerjaan. Kelayakan akademik semata-mata tidak semestinya mencukupi kerana alam pekerjaan memerlukan pelbagai kemahiran, kebolehan dan pengalaman yang bersesuaian dengan keperluan sesuatu bidang.

Sebagai langkah menangani masalah tersebut, penulis menyarankan agar siswazah lebih berusaha membina kerjaya secara kendiri dan tidak terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan. Siswazah juga digalakkan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang, termasuk kemahiran komputer, kemahiran praktikal serta kemahiran lain yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.

Dari segi penyampaian, penulis menggunakan kosa kata yang mudah dan jelas, sekali gus memudahkan pembaca memahami isu yang dibincangkan. Buku ini bukan sahaja memberikan penerangan mengenai pengangguran siswazah, malah turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan persediaan diri, kemahiran dan pengalaman dalam menghadapi alam pekerjaan.

Secara keseluruhannya, PENGANGGURAN SISWAZAH: APA ANDA PERLU TAHU merupakan bahan bacaan yang sesuai dijadikan rujukan, khususnya kepada golongan siswazah dan mereka yang bakal melangkah ke alam pekerjaan. Buku ini menghimpunkan perbincangan mengenai punca, kesan serta langkah yang boleh diambil bagi menangani isu pengangguran siswazah. Kandungannya juga dapat membantu pembaca memahami bahawa kejayaan mendapatkan pekerjaan bukan sahaja bergantung pada kelayakan akademik, tetapi turut dipengaruhi oleh kemahiran, pengalaman, kesediaan dan sikap seseorang.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Layari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 088-214828 dan 088-256192 untuk mengetahui ketersediaan buku.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tak pernah membaca buku sama buruknya dengan orang yang tak bisa membaca buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.