Select your language

UNTUK JIWA YANG TENANG

Penulis
KOH DENNIS LIM

Terbitan
BATU CAVES, SELANGOR: PTS PUBLISHING HOUSE SENDIRIAN BERHAD, 2024. 136 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Rita Asing, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau

Buku bertajuk Untuk Jiwa Yang Tenang ditulis oleh Koh Dennis Lim merupakan sebuah naskhah reflektif yang memberi ruang kepada pembaca untuk berhenti sejenak daripada kesibukan dunia, dan kembali menelusuri kedamaian dalam diri sendiri. Dengan gaya penulisan yang lembut, menyentuh dan jujur, buku ini membawa mesej penting tentang erti ketenangan jiwa dalam dunia yang serba pantas, penuh tekanan dan kekeliruan.

Buku ini mengandungi pelbagai catatan kehidupan dan renungan yang ditulis berdasarkan pengalaman peribadi penulis serta pemerhatiannya terhadap masyarakat. Koh Dennis Lim bijak membina naratif yang ringkas tetapi mendalam, menyentuh topik seperti penerimaan diri, melepaskan beban emosi, ketulusan dalam berhubung dengan orang lain, dan nilai-nilai kecil yang sering kita abaikan dalam kehidupan seharian. Antara motivasi utama yang ditekankan oleh penulis ialah bahawa ketenangan jiwa tidak datang daripada luar, tetapi lahir daripada penerimaan dan kesedaran dalaman.

Penulis mengajak pembaca untuk belajar melepaskan perkara yang tidak dapat dikawal, menerima keadaan yang sudah berlaku, dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat dan sembuh. Ini adalah mesej yang sangat berharga, terutama dalam masyarakat hari ini yang sering terperangkap dalam perlumbaan pencapaian dan tekanan sosial. Penulis turut memberikan peringatan bahawa tidak mengapa untuk merasa lelah, kecewa atau sedih, kerana itu semua adalah sebahagian daripada pengalaman dan fitrah makhluk bernama manusia. Namun, dengan kesedaran, kejujuran dan rasa syukur yang dipupuk dalam diri, seseorang boleh kembali bangkit dengan lebih tenang dan matang. penulis mengajar kita bahawa ketenangan bukan bererti tiada masalah, tetapi kemampuan untuk berdepan dengan masalah tanpa kehilangan arah dan nilai diri.

Ringkasnya, buku Untuk Jiwa Yang Tenang  ini adalah sebuah buku yang sederhana tetapi mempunyai kesan yang besar kepada pembaca. Ia bukan sekadar tulisan, tetapi buku ini mengajak kita untuk tidak hanya hidup dalam kesibukan dunia semata-mata tetapi juga menyuburkan kedamaian dalam diri. Ia sangat sesuai dijadikan bahan bacaan santai, renungan malam, atau peneman saat hati gelisah. Dengan membaca buku ini, kita akan belajar bahawa dalam dunia yang kacau, jiwa yang tenang adalah anugerah yang sangat berharga dan kita semua mampu mencapainya, sedikit demi sedikit.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, boleh dapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-321623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidur itu nyenyak… Dan buku itu lebih baik."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.