MENGELAK TERJERAT PERANGKAP MUFLIS
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Carrielyn Chong, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan
Kebebasan kewangan merupakan impian setiap individu. Oleh itu, pengurusan kewangan yang baik amat penting untuk membina kehidupan yang sejahtera. Literasi kewangan merujuk kepada pengetahuan dan pemahaman seseorang tentang pelbagai aspek kewangan, termasuk pengurusan wang, kewangan peribadi, hutang dan pelaburan. Apabila mendengar perkataan muflis atau bankrap, ramai yang berasa bimbang. Kebankrapan boleh berlaku atas pelbagai faktor, antaranya kegagalan membayar hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan. Ada kalanya, seseorang bukan sengaja mengabaikan pembayaran hutang, tetapi menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak mampu melunaskannya.
Kebankrapan merupakan keadaan yang dibimbangi oleh ramai penghutang. Namun begitu, tidak semua orang memahami proses yang terlibat apabila seseorang diisytiharkan muflis. Sekiranya menghadapi kesukaran untuk membayar hutang, seseorang boleh mempertimbangkan pilihan penyelesaian hutang yang bersesuaian. Status muflis bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan kebebasan seseorang dalam menguruskan kewangan. Aset tertentu juga mungkin dijual bagi menyelesaikan hutang, manakala individu yang diisytiharkan muflis tertakluk pada pentadbiran Ketua Pengarah Insolvensi serta sekatan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Pelepasan daripada status kebankrapan tertakluk pada peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa. Antaranya termasuk pelepasan melalui mahkamah atau sijil pelepasan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Insolvensi. Tempoh dan syarat pelepasan bergantung pada kaedah yang digunakan serta keadaan kes individu berkenaan. Oleh itu, pemahaman tentang proses kebankrapan dan syarat pelepasan amat penting bagi membantu individu mengetahui hak serta tanggungjawab mereka.
Dalam kehidupan, setiap orang pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Pengalaman tersebut boleh menjadi pengajaran dalam menguruskan kehidupan dengan lebih baik. Disiplin merupakan asas penting dalam membina tabiat menyimpan wang. Amalan menyimpan secara konsisten dapat membantu seseorang mencapai matlamat kewangan. Selain itu, mengetahui kedudukan kewangan semasa amat penting bagi mengelakkan kegagalan membayar pinjaman dan menanggung hutang yang melebihi kemampuan.
Pengurusan kewangan yang bijak juga membantu seseorang membezakan antara keperluan dengan kehendak sebelum membuat perbelanjaan. Perancangan kewangan perlu merangkumi persediaan menghadapi kecemasan, simpanan persaraan, pendidikan, perlindungan kewangan dan pembelian hartanah. Dengan perancangan yang teratur serta disiplin dalam berbelanja, seseorang dapat mengurangkan risiko masalah kewangan dan berusaha mencapai kestabilan kewangan dalam jangka panjang.
Secara keseluruhannya, buku Mengelak Terjerat Perangkap Muflis memberikan pendedahan tentang kepentingan literasi kewangan, pengurusan hutang dan amalan menyimpan wang. Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan kepada masyarakat yang ingin meningkatkan pengetahuan tentang pengurusan kewangan serta mengambil langkah awal untuk mengelakkan masalah hutang yang serius.
Buku ini terdapat dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tambunan. Sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, orang ramai boleh berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau atau perpustakaan yang terdekat. Layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
English
Malay
