RAHSIA SIHAT MELALUI PUASA
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti A'yeshah Binti Yahya, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kinabatangan
Buku ini mengupas naskhah sains yang sangat menarik tentang amalan berpuasa dan konsep pengehadan kalori (calorie restriction atau CR). Melalui sudut pandang kajian saintifik, penulis berjaya menghuraikan bagaimana pengurangan pengambilan kalori secara sistematik mampu memberi impak luar biasa kepada kesihatan fizikal manusia.
Walaupun amalan pengehadan kalori (CR) diakui meluas oleh penyelidik antarabangsa sebagai kaedah kesihatan yang berkesan, ia mempunyai kekangan tersendiri. CR didapati sukar untuk dijadikan rutin jangka panjang kerana ia bukan sebahagian daripada budaya harian masyarakat. Bagi mengatasi isu konsistensi ini, para penyelidik tempatan telah mengolah semula konsep CR ke dalam bentuk yang lebih praktikal iaitu dengan mengadaptasi kaedah puasa berkala dua kali seminggu.
Secara alternatifnya, puasa sememangnya sebahagian daripada warisan dan amalan masyarakat terdahulu demi kesejahteraan fizikal, mental, dan tradisi. Kaedah ini kini turut diterima baik oleh masyarakat Barat sebagai satu bentuk intervensi gaya hidup yang berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup.
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan puasa berkala, amalan ini boleh dimulakan dengan menetapkan hari-hari tertentu dalam seminggu. Buku ini turut berkongsi tip kritikal untuk menangani rasa lapar, iaitu dengan mengambil hidangan awal pagi sebelum bermulanya waktu berpuasa.
Sains membuktikan bahawa hidangan awal pagi bertindak sebagai pembekal glukosa segera untuk ditukar kepada tenaga harian. Tanpa hidangan ini paras glukosa badan akan merosot dengan cepat, isyarat lapar akan dihantar ke otak dan menyebabkan badan berasa tidak bermaya serta tubuh terpaksa menggunakan simpanan glikogen (stok gula kecemasan) terlalu awal. Oleh itu, mengambil hidangan awal pagi adalah kunci utama agar badan kekal bertenaga untuk menyempurnakan tempoh puasa.
Satu perkara penting yang ditegaskan oleh penulis ialah pengehadan kalori tidak sama dengan malnutrisi (kurang zat makanan). Pengehadan kalori terbahagi kepada dua iaitu yang pertama pengehadan seketika adalah penyekatan kalori jangka pendek yang berlaku sekali-sekala. Kedua ialah pengehadan kalori berpanjangan didapati memberi impak yang paling positif. Buku ini memetik kajian klinikal pada tahun 1989 ke atas subjek haiwan (tikus), di mana kumpulan yang dihadkan kuantiti makanannya (calorie restriction) didapati mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, proses penuaan yang lebih lambat, serta risiko kanser yang lebih rendah berbanding kumpulan yang makan tanpa sekatan (ad libitum). Ini membuktikan bahawa puasa yang terancang mampu melindungi tubuh daripada penyakit kronik sekali gus membantu mengekalkan keremajaan (awet muda).
Buku ini sangat disyorkan dan relevan untuk sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti untuk mengecilkan saiz pinggang secara sihat. Ia juga merupakan panduan yang sangat memberi inspirasi bagi para pembaca yang berhasrat untuk mengubah gaya hidup konvensional kepada rutin yang jauh lebih sihat dan sejahtera.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kinabatangan atau perpustakaan yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 218726 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
English
Malay
