Select your language

PENGKOMPOSAN: PRINSIP, TEKNIK DAN AMALAN

Penulis
ABU ZAHRIM YASER DAN MOHD ARMI ABU SAMAH 

Terbitan
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH. 319 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Siti Sahara Binti Hamid, PPT Library@UTC

Pengkomposan merupakan kaedah semula jadi yang efektif bagi mengurus dan mengawal sisa buangan terutamanya makanan dan hasil pertanian di Malaysia.  Kaedah ini telah dipraktikkan dengan berkesan di bandar mahupun luar bandar oleh isi rumah secara individu ataupun kawasan setempat. Di Sabah misalnya, kaedah pengkomposan telah diperkenalkan ke daerah-daerah melalui kempen kebersihan dengan kerjasama daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kempen ini dilihat mampu memberi input kesedaran dan ilmu berkaitan pengkomposan yang mapan serta dapat menghasilkan baja yang berkualiti. 

Pengkomposan kebiasaannya boleh dilakukan dengan menggunakan mikroorganisma tertentu seperti cacing ataupun larva black soldier fly (BSF) untuk tujuan proses penguraian biologi bahan organik kepada bahan yang tinggi nutrien (baja).  Untuk menghasilkan baja yang stabil dan matang serta mampu memberikan kualiti terhadap tumbesaran tumbuhan, faktor-faktor penting yang mempengaruhi serta kaedah pengkomposan dalam penguraian substrat (sisa) perlu dititikberatkan.

Dalam pengkomposan, terdapat beberapa faktor penting yang menjadi kayu ukur dalam menghasilkan baja yang berkualiti. Oleh sebab pengkomposan melibatkan proses mikrob, maka kadar pengkomposan dipengaruhi oleh aktiviti mikrob yang mana pengaruh saiz bahan, nisbah C/N, kandungan kelembapan, suhu dan pengudaraan merupakan antara faktor yang perlu dikawal.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menjalankan pengkomposan menggunakan mikroorganisma. Pengkomposan mudah yang boleh dilakukan menggunakan bahan buangan rumah adalah melalui pengkomposan tong gelen. Untuk pengkomposan yang lebih banyak dan teratur, pengkomposan secara timbunan boleh dilakukan yang mana melalui kaedah timbunan statik.

Pengkomposan berasaskan cacing (vermicomposting) merupakan suatu proses bioteknologi mudah untuk menukarkan bahan organik kepada bahan seperti humus (vermikompos) yang menggunakan cacing tanah tertentu untuk membantu dalam proses penstabilan sisi organik. Ia merupakan proses mesofilik dimana interaksi simbiotik mikrob dan cacing tanah berlaku pada suhu 10C-32C.  Cacing tanah bertindak menyediakan substrat dengan mengubah aktiviti biologi substrat melalui pencernaan sebelum proses penguraian biokimia bahan organik diambil alih oleh mikroorganisma.

Kandungan lembapan yang sesuai juga diperlukan untuk cacing tanah.  Hal ini demikian, kandungan tong digunakan untuk mengkompos harus berada dalam keadaan lembap dan tidak berair.  Untuk mengelakkan tong daripada kering, jerami boleh diletakkan sebagai pelindung ketika cuaca yang panas. Cacing tanah akan berada pada tanah yang mengandungi kelembapan antara 12%-30%. Jika kandungan kelembapan adalah rendah, cacing tanah akan kehilangan kandungan air dalam badan yang akhirnya boleh menyebabkan cacing mati.

Suhu yang sesuai untuk mendapatkan hasil yang optimum adalah dalam 20C-30C.  Cacing tanah boleh hidup dalam suhu yang rendah dan suhu sehingga 48C. Apabila suhu mencecah 10C, jumlah makanan yang dimakan oleh cacing tanah akan menurun. Cacing akan menjadi kurang aktif dan akan bergerak ke lapisan bawah pembatasan.  Walaupun cacing tanah merah boleh hidup dalam suhu sekitar 40C-8C, tetapi suhu optimum untuk membiak dan memproses sisa makanan adalah dalam lingkungan 20C. Oleh itu, suhu yang sesuai untuk proses perosotan adalah 18-25C.

Cacing tanah juga memerlukan udara untuk bernafas melalui oksigen yang tersedia dan menukarkannya kepada karbon dioksida atau gas-gas buangan yang lain. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan haba meningkat.  Pengudaraan perlu dikawal supaya cacing tanah dapat membesar dan membiak dengan baik. Buku ini menghimpunkan pakar pengkomposan daripada pelbagai universiti, sekolah dan industri. Teknik dan inovasi pengkomposan terkini dipaparkan dalam buku ini diharapkan boleh menjadi panduan berguna kepada individu dan komuniti yang berminat dalam mengoperasikan proses pengkomposan sama ada dalam skala kecil atau besar.

Buku ini adalah koleksi MAN (Malay Adult Non-Fiction) di PPT Library@UTC. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, sila hubungi kami di Perpustakaan PPT Library@UTC di talian 088-235761/2 atau mana-mana perpustakaan yang berdekatan untuk proses peminjaman. Layari laman sesawang kami di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tidak banyak membaca pasti tidak banyak tahu. Orang yang tidak banyak tahu sangat dekat dengan kebodohan. Dan kebodohan akan sangat dekat dengan kemiskinan." (Helmy Yahya).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.