Tanaman Unik, Koleksi 3
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Jessica Amran, Pelatih Industri, UiTM Puncak Perdana, Cawangan Selangor
Tumbuh-tumbuhan merupakan sebahagian daripada keseimbangan ekosistem bumi yang memainkan peranan sebagai sumber oksigen dan keseimbangan rantaian makanan bagi haiwan dan manusia. Tumbuhan flora yang unik telah mencetuskan idea penanaman sekaligus meransang minat dan hobi dalam bidang penanaman tumbuhan unik.
Trend baharu di kalangan pengemar tanaman yang kian popular iaitu penanaman tumbuhan unik menjadi pilihan untuk menjadi hiasan laman sebagai salah satu tanaman alternatif. Buku yang bertajuk “Tanaman Unik, Koleksi 3” yang di tulis oleh Wilson H.P. Chua merupakan buku yang menjelaskan keunikan 10 spesis tanaman unik dan juga memberi panduan kepada penggemar tumbuhan-tumbuhan unik dari segi penjagaan dan pembiakannya.
Menurut penulis, beliau mempercayai setiap tumbuhan-tumbuhan flora mempunyai keunikannya yang berbeza dan ia memerlukan cara penjagaannya yang tersendiri. Buku ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai satu panduan penjagaan dan pembiakan penanaman tanaman unik di Malaysia kerana sumber maklumat mengenai spesis tanaman unik ini mengambil kira iklim di negara kita sendiri iaitu panas dan lembab sepanjang tahun.
Secara keseluruhannya, penulis membahagikan buku ini kepada sepuluh bab di mana setiap bab mengulas mengenai habitat atau spesis tumbuhan yang berlainan. Sepuluh spesis tanaman unik mewakili sepuluh bab dalam buku ini. Antara spesis tanaman yang terdapat dalam buku ini adalah Castanospermum, Cephalotus, Dischidia, Dodder, Euforbia, Klover, Lingzhi, Orkid Hantu, Rudraksha dan Sanseviera. Setiap bab menjelaskan perincian mengenai asal usul tumbuhan, keunikan, kaedah pengendalian tumbuhan unik dan keperluan tanaman itu sendiri.
Sebagai kesimpulan, buku ini dapat menjadi panduan dan rujukan kepada pembaca yang mempunyai minat dalam bidang penanaman. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk di hantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.