Select your language

Sukses Mengurus Industri Ternak Belut

Penulis
Drs. Ruslan Roy dan Bagus Harianto

Terbitan
SynergyMedia Dengan Kerjasama PT AgroMedia Pustaka. 134 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Clare Lieanna Jupili, Latihan Industri, UiTM Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Belut sangat dikenali sebagai seekor haiwan bertubuh licin, serupa ular namun tidak bersisik. Meskipun haiwan ini dilihat jijik bagi sesetengah individu namun harga pasaran dunia dan permintaan belut sama ada dalam bentuk hidup, beku atau olahan adalah sangat tinggi. Negara eksport komoditi belut dunia yang utama ialah Hong Kong, China, Jepun, Taiwan, Singapura dan Indonesia. Pengeksport belut yang terbesar ialah dari negara Jepun, kerana salah satu makanan hasil olahan belut iaitu unagi merupakan salah satu makanan berprestij dan sangat mahal di Jepun. Di Malaysia sendiri, permintaan dalam negeri juga adalah sangat tinggi. Walau bagaimanapun, penghasilan ternakan belut sedia ada di Malaysia masih belum mampu menampung permintaan tempatan dan eksport. Hal ini adalah kerana masyarakat masih kurang didedahkan mengenai keuntungan yang boleh diraih dengan mengusahakan ternakan belut di Malaysia.

Buku bertajuk “Sukses Mengurus Industri Ternak Belut” ini telah ditulis oleh seorang penternak belut yang sangat berpengalaman dan sering dijemput untuk mengadakan bual bicara mengenai agrobisnes penternakan, di Jakarta. Buku ini merangkumi 9 bab, yang bertujuan untuk mendedahkan kepada pembaca mengenai selok-belok penternakan belut yang betul bermula dari persiapan menternak, mengendalikan penternakan ketika berlangsung, sehinggalah teknik penghasilan dan pemasaran belut.

Pada awal bab, pembaca dibawa untuk memahami beberapa persiapan yang perlu diketahui bagi seorang penternak pemula, sebelum mula berjinak-jinak dalam bidang ini. Hal ini amat penting bagi meminimumkan risiko kegagalan akibat daripada sikap terburu-buru dalam melabur wang ringgit tanpa berbekalkan ilmu pengetahuan yang memadai. Sebelum berkecimpung dalam industri penternakan belut, seorang penternak seharusnya sudah bersiap sedia dari segi fizikal dan mental serta mencari sebanyak mana maklumat mengenai ternakan ini. Segala tip bagi pemula telah dibincangkan dalam bab ini. Sementelahan itu, beberapa khasiat belut yang diketahui termasuklah dapat menghilangkan kutil atau mata ikan, mencegah kemandulan, menghalang Hepatitis I, II, dan III, mengatasi demam denggi, dan melambatkan menopaus. Pengetahuan mengenai khasiat-khasiat yang dimiliki belut perlu diselidik oleh para usahawan agar kebaikan yang ada pada belut dapat dieksploitasi untuk kebaikan bersama melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Seterusnya, penulis turut menegaskan akan pentingnya pemilihan jenis kolam yang bersesuaian bagi membantu pertumbuhan belut yang optimum. Beberapa jenis kolam yang boleh digunakan untuk penternakan belut termasuklah kolam bertembok, kolam kanvas atau plastik, kolam jaring atau menggunakan tong. Ukuran dan kedalaman kolam mengikut keluasan tanah manakala skala ternakan dibincangkan dengan menggunakan gambar rajah bagi memudahkan kefahaman pembaca. Kesalahan membuat kolam dapat menyulitkan teknik pemeliharaan dan penghasilan, sehingga mengganggu pertumbuhan belut, bahkan membahayakan hidup belut. Beberapa tip pembuatan kolam seperti pemilihan lokasi yang sesuai juga turut diberikan bagi mengelakkan kerugian kepada penternak pemula di kemudian hari.

Kemudian, faktor lain yang dititikberatkan dalam penternakan belut ialah komposisi dan teknik penyediaan medium. Terdapat dua jenis medium utama penternakan belut iaitu medium Vivarium Segera seperti campuran jerami padi, cincangan batang pisang, baja kandang, dedak, fermentator, molase dan air telaga dan Medium Tanah iaitu. Medium merupakan salah satu penyumbang kepada pemangkin kegagalan atau kejayaan seseorang penternak. Oleh itu, proses penyediaan medium yang betul telah diterangkan langkah demi langkah agar mudah difahami. Soalan lazim mengenai masalah kegagalan dalam pembuatan medium telah dijawab dengan terperinci oleh penulis.

Dalam bab 4, penulis menekankan kepentingan pemilihan benih berkualiti yang akan mempengaruhi kejayaan ternakan belut. Penulis menyatakan bahawa benih daripada hasil ternakan adalah lebih baik berbanding dengan benih hasil tangkapan semula jadi. Berdasarkan pengalaman dan kajian penulis, benih perlu dikuarantin selama beberapa hari bagi memulihkan keadaan benih yang umumnya menurun setelah melewati perjalanan dari tempat penjual benih, selain berguna untuk menghilangkan kotoran atau benih penyakit yang terbawa bersama benih belut. Penyebaran penyakit kepada belut akan berlaku sekiranya pemilihan benih belut salah. Namun, penyelesaian kepada permasalahan ini telah diterangkan dengan teliti dalam bab ini.

Secara amnya, kos makanan bagi penternakan belut adalah rendah iaitu makanan semula jadi yang relatif dan mudah dihasilkan sendiri. Antara makanan semula jadi bagi penternakan belut termasuklah ikan kecil, cacing, siput, siput gondang, katak dan berudu, berenga, kerang-kerangan, sisa-sisa ikan dan darah haiwan. Penternak belut perlu memastikan jumlah penternakan makanan belut perlu sesuai dengan jumlah dan ukuran kolam dan pemberian makanan kepada ternakan perlulah diberikan pada hari ke-4 setelah benih ditebar. Kuantiti makanan pada awal pemeliharaan belut perlulah 5% daripada jumlah benih yang ditebar, dan jumlah makanan tersebut akan meningkat setelah empat bulan penternakan. Penulis menyarankan bahawa sekiranya penternak mampu mengusahakan makanan sendiri, maka keuntungan yang bakal diraih melalui ternakan belut ini boleh menjadi lebih besar.

Selanjutnya, walaupun belut antara haiwan yang susah diserang penyakit, namun masih ada ancaman yang membawa maut kepada belut. Sebagai contoh, hama dan penyakit. Dalam bab 7 buku ini juga, turut dicadangkan mengenai cara pencegahan hama seperti kucing, ayam dan itik yang berisiko mengancam penternakan belut yang dijalankan di sekitar rumah atau kawasan tempat tinggal. Beberapa tip mengenai cara pecegahan penyakit merebak turut diberikan oleh penulis. Sebagai contoh, rosaknya organ dalaman belut, serangan kulat akibat luka dan bintik putih pada belut. 

Dalam bab 8, penulis memberi panduan dan bimbingan mengenai cara pungutan, pasca-pungutan dan pemasaran eksport belut. Beberapa teknik pungutan belut yang merangkumi dua tahap turut didedahkan. Penulis turut menjelaskan secara terperinci mengenai waktu pungutan belut dan peralatan yang digunakan untuk tujuan itu. Selanjutnya, proses-proses pasca-pungutan juga dibincangkan secara terperinci dengan gambar. Sekiranya penternak berjaya menternak belut dengan hasil yang maksimum, usahawan digalakkan untuk mengeksport belut ke negara luar bagi mengembangkan perniagaan.

Perbincangan diakhiri dengan analisis usaha penternakan belut mengikut jenis kolam seperti kolam tong, kolam tembok atau kolam kanvas. Bab ini secara tidak langsung memberi panduan kepada penternak untuk menguruskan kewangan dan pelaburan dengan bijak agar penternakan belut yang diusahakan bakal menempah kejayaan.

Kesimpulannya, kelebihan buku ini ialah sarat dengan maklumat yang khusus dan penting sebagai bacaan ilmiah kepada masyarakat yang berminat untuk berkecimpung dalam industri penternakan belut. Buku ini juga sesuai sebagai sumber rujukan dan kajian bagi Institusi Pengajian Tinggi. Hal ini adalah kerana kaedah penulisan yang digunakan lebih bersifat akademik dan menggunakan bahasa yang formal. Ilustrasi yang ada pada buku ini dan tip penting yang diberikan sedikit sebanyak membantu memberikan gambaran kepada penternak pemula untuk melakukan persiapan ternakan.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kaedah pengurusan industri ternak belut anda boleh mendapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku dan pintu adalah hal yang sama. Kamu membukanya dan kamu pergi ke dunia lain."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.