Select your language

Sosiologi Untuk Kerja Sosial

Penulis
Abdul Rahman Abdul Aziz

Terbitan
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2007.  171 Muka Surat.

Ulasan oleh Jubin bin Kamudi, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan

Di Malaysia, kerja sosial adalah disiplin yang relatif baru dan diperkenalkan secara giat di universiti-universiti awam. Kesedaran untuk memperkenalkan disiplin kerja sosial di peringkat pengajian tinggi berpunca daripada keinsafan terhadap nasib golongan yang tersisih, terlantar dan tidak berupaya dalam arus kemajuan pesat negara. Mereka ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan terlibat dengan gejala sosial seperti aktiviti melepak, mengemis, penderaan kanak-kanak dan wanita, orang kurang upaya, orang tua yang terlantar dan ketagihan dadah.

Pengalaman negara-negara maju memperlihatkan bahawa semakin maju sesebuah masyarakat semakin meningkat bilangan golongan tersisih, terlantar dan kurang upaya. Lantaran itu, kemajuan yang sedang dan bakal dikecapi oleh negara ini memerlukan bantuan kerja sosial untuk membantu anggota-anggota masyarakat yang tidak dapat menjalankan fungsi sosialnya dengan sempurna.

Kerja sosial tergolong sebagai ilmu pengetahuan yang berasaskan sains sosial. Secara umum, sains sosial terbentuk daripada pelbagai disiplin ilmu pengetahuan seperti antropologi, sosiologi, ekonomi, politik, psikologi, komunikasi dan lain-lain. Disiplin-disiplin sains sosial menyumbang ilmu pengetahuan kepada kerja sosial.

Secara ringkasnya, kerja sosial memberikan keutamaan kepada masalah kehidupan manusia dalam tiga bentuk iaitu individu, kelompok, organisasi dan komuniti. Dalam melaksanakan tugasan untuk memahami masalah manusia, kerja sosial telah mendapatkan sumbangan yang berharga dari bidang psikologi terutamanya psikoanalisis. Setelah itu, dapat dilihat bidang sosiologi  memberikan idea-idea kaedah pemulihan, meneropong ke dalam diri dan profesion mereka, berkaitan personaliti klien dan situasi yang melingkungi kehidupan klien.

Sadari juga bahawa secara biologinya manusia adalah sama dan membezakan mereka adalah pemboleh ubah yang disumbangkan oleh sosiologi sehingga terbentuk psikologi yang mengalami gangguan. Perbezaan kehidupan manusia ditandai oleh pemboleh ubah sosiologi seperti etnik, budaya, agama, kelas sosial, lokasi penempatan, jantina, pendedahan, tahap dan corak pendidikan. Semua ini melahirkan perbezaan kepada kehidupan manusia. Lantaran itulah, ilmu pengetahuan sosiologi amat penting diketahui oleh setiap pekerja sosial kerana melaluinya pekerja sosial akan memahami manusia secara lebih mendalam dan meluas.

Buku ini sangat menarik kerana ditulis khusus tentang sumbangan sosiologi dalam membentuk kerja sosial. Dengan wujudnya ilmu pengetahuan sosiologi, bidang kerja sosial memperolehi idea-idea tentang gejala sosial, kaedah pemulihan, meneropong ke dalam diri dan professionalisme pengamal kerja sosial, personaliti klien dan situasi yang melingkupi kehidupan klien.

Buku ini mesti dibaca oleh pekerja sosial dan pelajar yang mengkhusus dalam kerja sosial kerana ia amat berguna untuk mengukuhkan kefahaman serta membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien dan masyarakat secara keseluruhannya. Buku ini ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, ringkas tetapi jelas.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 218726 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.