A- A A+

Penternakan Udang Galah Secara Insentif

Penulis
Abdul Latif

Terbitan
Kuala Lumpur: Synergy Media. 83 Muka Surat. 

Ulasan oleh Elner Vorni Bius, Pelatih Industri, UiTM Puncak Perdana, Cawangan Selangor

Peningkatan harga dan permintaan yang melonjak tinggi terhadap udang galah di pasaran telah merangsang ramai penternak ikan air tawar menukar kepada penternakan udang galah. Terdapat juga program pembangunan pertanian kawasan yang telah menjadikan udang galah sebagai spesies tumpuan untuk dimajukan.

Menyedari tingginya permintaan udang galah di pasaran, buku bertajuk “Penternakan Udang Galah Secara Insentif” diterbitkan untuk menghuraikan segala aspek penternakan udang galah termasuklah teknik penghasilan benih, penebaran, pemeliharaan dan penuaian melalui pelbagai medium penternakan serta analisis kewangan bagi satu kitaran pengeluaran udang galah untuk keperluan pengguna.  Buku ini sangat membantu penternak udang galah dalam mengembang perusahaan yang mendatangkan keuntungan yang lumayan ini.

Secara ringkas dan spesifikasinya, penulis menerangkan di bab satu tentang prospek penternakan udang galah.  Bab ini bermula daripada muka surat pertama sehingga ketujuh. Apa yang menarik dalam bab ini ialah penternak boleh meningkatkan pengeluarannya dengan meliputi beberapa lokasi penternakannya. Selain memenuhi permintaan untuk dieksport, pengeluaran udang galah turut mempunyai prospek yang tinggi dalam mempengaruhi prospek pasaran tempatan dengan bernilai yang agak tinggi. Dalam bab kedua pula menerangkan tentang pengenalan kepada udang galah khususnya jenis-jenis, ciri fizikal, kitaran hidup, makanan, syarat kehidupan, pembiakan dan juga penggantian kulit udang galah. Hal ini amatlah bagus untuk pengetahuan pada usahawan yang baru sahaja memulai perniagaan sebagai penternak atau ingin meluaskan perniagaannya terutamanya dalam bab ketiga ini kerana penulis menekankan langkah-langkah untuk menternak udang galah dengan berjaya dalam bab ini. Penternak juga perlu mengetahui maklumat tentang pasaran udang galah untuk menentukan masa penebaran benih dan penuaian. Ini juga berkait rapat dengan penentuan harga jualan bagi setiap pengeluaran udang galah.

Selain itu, dalam bab keempat ini penulis menerangkan tentang tempat pemeliharaan yang sesuai untuk penternakan udang galah seperti kolam, sawah, tambak dan juga sawah tambak. Bukan itu sahaja, penternak juga perlu mengetahui sumber air yang berkualiti juga mempengaruhi pemeliharaan udang ini.  Penulis juga menerangkan tentang teknik penternakan udang galah secara insentif dalam bab kelima. Terdapat tiga teknik yang diterangkan dalam buku ini iaitu teknik pembenihan, penebaran, dan pembesaran. Terdapat dua jenis teknik pembenihan udang galah. Teknik tersebut akan disesuaikan dengan keadaan atau keperluan air.

Seterusnya, dalam bab keenam adalah tentang makanan yang sesuai untuk udang galah. Menurut penulis, terdapat dua jenis makanan udang galah iaitu makanan semula jadi dan makanan buatan. Makanan semulajadi adalah makanan yang diperoleh dari sumber alam atau diternak di dalam kolam, tambak, sawah atau sawah tambak, manakala makanan buatan ialah palet yang digunakan untuk pembesaran udang di kolam, tambak atau sawah. Makanan yang diberikan kepada udang galah perlu disesuaikan dengan ukuran atau saiz udang iaitu saiz bukaan mulut udang. Ini untuk memudahkan udang memakan makanan yang diberikan.

Buku ini juga menceritakan tentang serangan serangga dan penyakit dalam bab ketujuh. Penulis menyatakan bahawa serangan serangga dan ancaman penyakit semasa proses pemeliharaan dan pembesaran boleh mengundang pelbagai masalah kepada penternak dan akan menyebabkan kegagalan kepada usaha penternakan udang galah. Oleh itu, langkah pencegahan merupakan bahagian terpenting yang diperlukan sejak mula malah mampu mengatasi masalah tersebut sehingga ke akar umbi.

Dalam bab kelapan, buku ini menerangkan mengenai penuaian dan pengendalian hasil selepas penuaian.  Beberapa hari sebelum dituai, penternak perlu menghubungi pengedar atau pembeli. Pengedar atau pembeli akan membuat pilihan berdasarkan sampel udang galah yang ada. Ini memudahkan pernternak memenuhi permintaan atau spesifikasi yang diinginkan oleh pengedar atau pembeli. Dalam bab kesembilan, penulis membuat analisa usaha yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu analisa aktiviti pembenihan udang galah dan aktiviti pembesaran udang galah. Hal ini dapat mengembangkan lagi pernternakan udang galah dalam perniagaan memandangkan permintaan terhadap udang galah sangat tinggi terutamanya hotel, restoran dan lain-lain.    

Usaha penternakan udang galah ini menarik perhatian bukan sahaja kepada para penternak malah para pelabur kerana ia mudah diternak dengan baik di dalam air tawar. Malah semakin ramai penternak yang berjaya menghasilkan produk udang yang bermutu di kawasan sawah biasa atau sawah tambak dengan menggunakan teknik monokultur dan polikultur.  Ini bermakna, para pelabur tidak perlu mengeluarkan modal yang tinggi untuk meneroka hutan paya bakau sehingga boleh merosakkan persekitarannya, seperti yang dilakukan di dalam penternakan udang harimau. Jika usaha ini dilaksanakan secara serius, ia berpeluang memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Buku ini cuba menerapkan segala aspek penternakan udang galah, baik udang galah tempatan mahupun udang galah super. Antaranya peluang pasaran, kunci kejayaan penternakan, pengenalan kepada komoditi dan teknik pemeliharaan udang galah secara monokultur dan polikultur di dalam pelbagai media penternakan.

Kesimpulannya, buku ini amat sesuai dijadikan bahan rujukan kepada para pembaca, penternak, pengkaji udang galah, ataupun di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengambil jurusan veterinar. Buku ini juga dapat memberi inspirasi kepada golongan usahawan yang ingin mengembangkan lagi perniagaan penternakan di peringkat antarabangsa. Buku ini sangat baik untuk dibaca kerana isinya padat dan ringkas membolehkan pembaca terus faham dan mengaplikasinya dalam kehidupan harian.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.