Select your language

Penternakan Belut di Halaman Rumah

Penulis
Redaksi Agromedia

Terbitan
Kuala Lumpur: SynergyMedia. 72 Muka Surat.

Ulasan oleh Nursyahida binti Khairul Anuar, Pelatih Industri, UiTM Puncak Perdana, Cawangan Selangor

Dalam dunia ekonomi, penternakan ikan sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat setempat namun tidak bagi penternakan belut. Penternakan belut sebenarnya merupakan peluang perniagaan yang tinggi dan mampu membuahkan hasil yang lumayan. Hal ini kerana, secara intensif khususnya belut sawah masih belum berkembang di negara ini. Namun demikian, masih ramai yang ragu dan ada juga yang gagal dalam mengusahakan perternakan belut kerana tidak mengetahui teknik dan kaedah yang tepat dalam menternak belut.

Buku bertajuk ‘Penternakan Belut di Halaman Rumah’ ini merupakan sebuah buku mengenai penternakan belut di kawasan rumah sebagai permulaan dalam perniagaan perikanan belut. Buku ini juga adalah panduan bagi para pemula yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dahulu serta membantu dalam membuat pilihan berkenaan jenis-jenis kolam yang bersesuaian mengikut keluasan dan ketersediaan sumber daya. Antara jenis kolam tersebut seperti kolam bambu, ‘knockdown’, terpal, dan lain-lain untuk kegunaan kawasan rumah. Selain itu, pemilihan medium yang berkualiti dan sesuai dengan penterkanan belut di rumah turut diterangkan dalam buku ini. Antara medium yang dinyatakan adalah medium yang dikeringkan di luar kolam dan medium 80% tanah sawah dengan dukungan makanan dan pengaturan air yang teratur bagi meningkatkan kadar keberhasilan sehingga 600%.

Penulis buku ini telah menjalankan kajian berkenaan penternakan belut dengan bantuan daripada beberapa individu seperti Bapak Ahmad Sarkan, Bapak Agus Hidayat, Bapak Bambang Setiawan serta Bapak Kismanto dan Efendi. Antaranya adalah merupakan pengusaha penternakan belut sendiri yang mahir dalam bidang tersebut. Bapak Ahmad Sarkan pernah terlibat dalam program Pelatihan Budidaya Belut Tanpa Lumpur di Indonesia di mana beliau berperanan memberikan tunjuk ajar secara praktikal kepada peserta dalam menternak belut dengan lebih tepat dan terperinci.

Secara keseluruhannya, buku ini terbahagi kepada tujuh bab mengikut pecahan tajuk kecil yang memudahkan pembaca memahami isi kandungannya. Penggunaan gaya bahasa dan penulisan mampu menarik minat pembaca untuk terus membaca dan memahami isi kandungan buku ini. Kaedah penyampaian juga mudah difahami dan sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat.

Tuntasnya, buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan khususnya bagi yang baru memulakan atau sedang mengusahakan perniagaan perikanan belut. Buku ini telah menyampaikan ilmu berkenaan selok belok penternakan belut daripada pengetahuan asas sehingga kaedah yang terperinci dan tepat dalam menternak belut di rumah. Oleh itu, adalah digalakkan untuk membaca bagi meningkatkan kualiti ilmu berkenaan penternakan belut.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan buku serta isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.