Select your language

Penjagaan Kesihatan Mulut:  Ibu Hamil Dan Bayi

Penulis
Rahimah Abdul Kadir

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015. 118 Muka Surat.

Ulasan oleh Mohamad Rahim Bin Abdullah, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan

Dalam zaman teknologi ini, pelbagai penemuan dan penghasilan teknik canggih yang telah direka cipta untuk mengatasi permasalahan yang masyarakat hadapi, namun masih ramai menyuarakan rasa takut untuk berjumpa doktor gigi. Malah, ketakutan tersebut ditambah dengan kesanggupan untuk merawat sendiri sebarang kesakitan yang dialami secara tradisional atau mengikuti cara ‘lama’ dengan menggunakan ubat-ubatan sapu yang terdapat di farmasi dan kedai ubat tradisional. Kenapa hal sedemikian masih lagi berlaku? Apakah mungkin masyarakat kurang pengetahuan dan maklumat mengenai perkara ini atau sikap sambil lewa dalam penjagaan mulut dan gigi? Jika inilah sebabnya, pastinya akan merugikan diri sendiri dan individu lain.

Mulut dan gigi adalah sebahagian daripada tubuh badan dan organ pertama yang menerima sebarang jisim sebelum sampai ke organ lain dalam tubuh badan manusia. Dengannya, manusia dapat memakan makanan berkhasiat bagi memastikan tubuh sentiasa sihat dan bertenaga. Pentingnya mulut sebagai wadah penampung tulang rahang dan gigi tidak ada tolok tandingnya. Bahkan, senyuman yang terukir pada wajah tidak lain dan tidak bukan disebabkan adanya mulut dan gigi. Sewajarnya pemberian Tuhan yang sempurna ini diberi perhatian dan dijaga sebaiknya dalam menjalani kehidupan seharian.

Skop kesihatan pergigian sebenarnya cukup luas seperti bidang kesihatan yang lain, namun buku Penjagaan Kesihatan Mulut Ibu Hamil Dan Bayi dikhususkan kepada masalah pergigian ibu hamil dan anak sehingga berusia lima tahun. Menurut buku ini, mulut yang tidak bersih akan mengundang pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit gigi dan mulut, serta menimbulkan infeksi jika keadaannya amat teruk. Infeksi ini pula boleh menjalar melalui plasenta atau uri untuk menjangkiti bayi di dalam rahim. Tabiat pengambilan makanan manis dan masam juga haruslah dikawal bagi menjaga kesihatan mulut ibu yang sedang hamil. Tidak kurang juga implikasi negatif yang akan menjejaskan ibu hamil dan bayi akibat daripada tabiat merokok, ketagihan dadah dan alkohol.

Kita terlalu biasa menerima sesuatu tanpa banyak memikirkan keperluan dan fungsinya sehingga menyebabkan kita tidak menghargai mulut, anugerah yang diberikan oleh Maha Pencipta kepada kita. Dalam buku ini, pelbagai masalah mulut dan gigi ibu hamil yang diketengahkan dan antara faktornya sikap endah tak endah masyarakat mengenai perkara ini. Gaya hidup yang tidak sihat dan kecuaian menjaga kesihatan mulut turut mengundang bakteria yang mengakibatkan penyakit gusi dan periodontium. Namun keadaan tersebut dapat dielakkan dengan mendapatkan rawatan doktor gigi pada fasa kehamilan kedua, iaitu pada kehamilan empat sehingga enam bulan untuk memastikan keadaan kesihatan gigi berada dalam keadaan terkawal.

Menurut penulis, kesihatan pergigian anak-anak haruslah diberikan perhatian yang sewajarnya bagi menjamin keselesaan diri mereka. Meskipun dianugerahkan dengan 20 batang gigi yang kecil dan comel, fungsinya tetap sama bagi si anak.  Semasa fasa pertumbuhan rahang dan gigi, pelbagai masalah atau kelainan yang boleh terjadi. Antaranya adalah gangguan oklusi pergigian, fluorosis, bentuk gigi yang tidak normal, bibir rekah dan rahang rekah. Bukan itu sahaja, anak-anak juga tidak lari dari mendapat pelbagai penyakit mulut dan kegigian jika mengabaikan penjagaan gigi dan kebersihan mulut. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini dan digalakkan untuk berjumpa doktor pergigian jika melihat sebarang kelainan yang terlihat pada si anak.

Secara ringkasnya, mulut ialah organ pertama terpenting bagi manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Pastinya tidak sempurna diri seseorang jika tidak mempunyai mulut dan gigi. Oleh itu, buku ini mengkhususkan mengenai penjagaan kesihatan mulut ibu hamil, kesan terhadap bayi dalam kandungan dan penjagaan kesihatan mulut bayi sehingga berusia lima tahun. Selain itu, buku ini turut membincangkan mengenai ragam anak kecil semasa pertumbuhan gigi dan penjagaan kebersihan gigi dan mulut bayi. Diharapkan maklumat di dalam buku ini dapat disebarkan untuk manfaat bersama dan meningkatkan kesedaran dalam penjagaan kesihatan mulut dan gigi.

Buku ini harus dibaca oleh semua golongan masyarakat kerana banyak tip yang telah dikongsi khususnya cara penjagaan gigi ibu hamil dan anak dibawah usia 5 tahun.  Cara penulisan dan penggunaan bahasa yang mudah difahami agar para pembaca dapat memahami apa yang disampaikan oleh penulis. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang berdekatan dengan anda atau lawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.