Select your language

PELBAGAI WARNA, SATU BANGSA

Penulis
ANAS ZUBEDY

Terbitan
KUALA LUMPUR: ZUBEDY IDEAHOUSE SDN. BHD., 2015. 131 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Rohani Tahir, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu

Kepelbagaian kaum, budaya dan agama antara lambang perpaduan, keharmonian dan kekuatan yang boleh dijadikan model terbaik masyarakat berbilang etnik yang ingin menikmati kemakmuran hidup bersama, malah menjadi kekuatan kepada rakyat untuk melahirkan semangat tolak ansur dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Kepelbagaian ini merupakan keunikan yang menjadi kebanggaan kepada rakyat kita. Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa.

Perbezaan setiap etnik dari segi adat resam, cara hidup, makanan, perayaan dan lain-lain lagi membuatkan budaya sesuatu etnik itu lebih istimewa dan unik. Sebagai contoh, andai kaum Cina rajin bekerja keras, kaum Melayu pula ramah dan mesra. Contoh ini bukan bermakna yang kaum lain tidak bekerja keras dan ramah, namun satu corak budaya yang sesetengah kriteria adalah lebih jelas dalam kalangan sesuatu kaum.

Buku 'Pelbagai warna satu bangsa' ini memuatkan 10 perkara baik yang boleh dikongsikan kepada anak-anak mengenai kaum lain. Di samping itu, buku ini sengaja disusun mengikut abjad oleh penulis yakni dari kaum Cina hingga kaum Serani, bagi menekankan tiada satu kaum yang lebih tinggi darjatnya berbanding kaum lain. Apa yang jelas, apabila kita membesar bersama kaum lain, kita dapat mempelajari tentang budaya sesuatu kaum.

Sebagai ibu bapa dan orang dewasa, apa yang kita lakukan dan perkatakan akan ditiru oleh anak-anak. Apa yang dibualkan bersama mereka akan memberi impak. Kadangkala walaupun kita tidak berniat buruk, sesetengah perkara yang kita perkatakan tentang kaum lain mungkin membawa kesan negatif kepada pemikiran anak-anak. Sebagai orang yang lebih dewasa, berilah pendedahan kepada anak-anak tentang kebaikan kaum lain agar kita dapat mendidik mereka untuk sentiasa mempunyai pandangan positif. Tanamlah dalam jiwa anak-anak bahawa pentingnya memastikan perpaduan dan kehidupan yang harmoni.

Sebagai negara yang unik dan mempunyai kepelbagaian etnik, kita perlu sentiasa memberi komitmen, saling bekerjasama dan terus berusaha untuk menjadikan Malaysia terus kukuh. Kita juga hendaklah memiliki sifat toleransi yang tinggi, saling memahami nilai serta budaya sesama bangsa. Segala anasir negatif yang boleh menggugat perpaduan sesama kita perlu ditepis dan hendaklah sentiasa berfikiran terbuka. Oleh itu, buku ini sangat bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat agar dapat menyemai nilai-nilai murni di dalam diri dan menjadi model terbaik kepada generasi muda pada masa hadapan.

Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No. kelas : MAN 305.8 ANA. Lokasi : Rak Buku Bukan Fiksyen (Bahasa Melayu), Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan kakitangan yang bertugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Sila berkunjung ke perpustakaan yang terdekat untuk tempahan pinjaman atau sila layari laman web Perpustakaan Negeri Sabah www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.