Select your language

Panduan Bercerita Untuk Prasekolah

Penulis
Rohizani Yaakub dan Hazri Jamil

Terbitan
Kuala Lumpur: PTS Professional Publications Sdn, Bhd., 2008.  178 Muka Surat.

Ulasan oleh Maslianah Binti hj Musa, Pd Kg Lubok Weston,Beaufort

Sejak dulu lagi cerita mampu memberi sumbangan kearah kejayaan akademik dan kesejahteraan emosi kepada kanak-kanak. Contohnya, cerita-cerita rakyat sesuai dijadikan bahan untuk bercerita dan juga sebagai alat pembelajaran.  Malahan, dengan bercerita juga boleh menjadi  alat bagi menggalakkan pelajar menerokai keunikan diri mereka sendiri dan dapat meningkatkan tahap kebolehan berkomunikasi melalui pemikiran dan perasaan serta meluahkannya dalam bentuk oral yang teratur.

Dalam dunia serba maju dan canggih ini, aktiviti bercerita dapat dijadikan alat bagi memupuk dan menyuburkan sifat-sifat peka kanak-kanak untuk menguasai bahasa dengan baik. Selain itu juga dengan mendengar cerita yang disampaikan dapat menyedarkan mereka tentang kemahiran mendengar yang baik serta mampu mewujudkan komunikasi yang berkesan antara individu.

Menurut penulis, bercerita membolehkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan perasaan secara lisan. Perkara ini berlaku apabila kanak-kanak diberi peluang bercerita semula. Guru boleh bertanya kepada kanak-kanak apakah yang mereka fikir bakal terjadi selepas sesuatu kejadian berlaku dalam cerita. Dengan cara ini, kanak-kanak dengan daya imaginasi mereka dapat dilatih memberikan pendapat dan pandangan.  Guru-guru pula perlu menerima cadangan kanak-kanak itu tanpa prejudis. Dari situ guru dapat membantu kanak-kanak mengembara ke dalam dunia imaginasi dengan mendengar dan berkongsi cerita itu dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Bercerita juga boleh melatih kemahiran mendengar dan bertutur yang menyeronokan. Ini kerana sewaktu bercerita, kanak-kanak ataupun guru juga tidak terikat dengan nada intonasi perbualan yang biasa.  Setiap patah perkataan perlu diucapkan perlu bersesuaian dengan jalan cerita serta dapat memperkenalkan kosa kata baharu kepada kanak-kanak.

Buku bertajuk 'Panduan bercerita untuk prasekolah' ini dibahagikan kepada dua bahagian utama dengan bahagian pertama membincangkan topik-topik yang berkait rapat dan saling mempengaruhi pembelajaran pelajar. Bahagian ini mengandungi empat bab yang memberi maklumat asas kepada guru atau ibu bapa berkenaan perkembangan kanak-kanak, khususnya di peringkat prasekolah ataupun di peringkat sekolah rendah. Pemahaman berkenaan berkonsepkan pembelajaran ini boleh membantu proses pembesaran kanak-kanak.

Bahagian dua buku ini pula mengandungi modul-modul pengajaran bercerita. Dimana setiap modul disediakan dengan cadangan aktiviti yang mengambil kira semua elemen yang dibincangkan dalam bahagian satu. Modul-modul tersebut dapat digunakan oleh guru-guru bagi mengajar bercerita dalam kelas. Terdapat 18 modul yang lengkap dengan aktiviti dan ilustrasi telah disediakan untuk dijadikan panduan ataupun digunakan di bilik darjah.

Penulis berharap buku ini dapat memberi panduan kepada para pendidik dan ibu bapa dalam menarik minat kanak-kanak untuk mendengar cerita. Buku ini sangat menarik kerana banyak panduan, informasi  dan tip bercerita telah dikongsi.  Gaya penulisan serta bahasa yang digunakan jelas dan mudah difahami. 

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.