Select your language

Memahami Diabetes:  Panduan Mengurus Diabetes, Tip dan Kehidupan Yang Lebih Sihat

Penulis
Wan Hassan Wan Ismail

Terbitan
Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd., 2015.  171 Muka Surat.

Ulasan oleh Mohamad Rahim Bin Abdullah, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan

Diabetes tidak asing lagi dalam masyarakat Malaysia dan sering dikaitkan dengan amputasi. Penyakit ini bukan hanya menyerang golongan yang berumur 30 tahun ke atas, malah ramai kanak-kanak dan remaja yang turut menghidap penyakit ini. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa penyakit ini berisiko untuk dihidapi oleh semua lapisan masyarakat. Bagi mengelakkan hal tersebut, formulanya adalah dengan mengawal pemakanan, sentiasa bersenam serta mengurangkan berat badan.

Buku yang bertajuk Memahami Diabetes: Panduan Mengurus Diabetes, Tip dan Kehidupan Yang Lebih Sihat ini boleh membantu masyarakat untuk memahami penyakit ini dalam konteks yang lebih luas. Persoalan paling penting yang diterangkan secara terperinci dalam buku ini ialah bagaimana menjalani hidup berkualiti sebagai penghidap diabetes?  Dalam buku ini juga turut menjelaskan mengenai ciri-ciri yang terdapat pada seseorang yang berkemungkinan untuk menghidapi diabetes .

Menurut penulis, jika paras glukosa dalam darah seseorang itu sangat tinggi daripada paras normal, orang itu boleh dikatakan menghidap diabetes. Penyebab paras glukosa berada pada tahap normal adalah disebabkan kehadiran sejenis hormon yang bernama insulin yang dikeluarkan oleh pankreas. Insulin diperlukan oleh badan manusia supaya organ-organ badan dapat menggunakan glukosa untuk tenaga. Secara ringkasnya, diabetes ialah satu keadaan yang terdapat paras glukosa yang tinggi dalam darah akibat ketiadaan insulin atau tidak cukup insulin dalam badan bagi membawa glukosa yang diperlukan untuk memasuki sel-sel badan.

Diabetes terdiri daripada tiga jenis iaitu type 1 diabetes mellitus, type 2 diabetes mellitus dan gestational diabetes mellitus. Menurut penulis, dua terminologi yang sering digunakan apabila menggambarkan pesakit atau pradiabetes dan keluarga mereka adalah hiperglisemia dan hipoglisemia. Situasi ini dikelaskan sebagai komplikasi akut.  Kedua-dua terma tersebut haruslah difahami dan ditangani secara berkesan bagi mengelakkan seseorang pesakit mendapat diabetic coma. Hal ini kerana, jika penyakit ini tidak dirawat akan mengakibatkan komplikasi kepada anggota badan yang lain, yang boleh menyebabkan pesakit menderita dan seterusnya maut.

Diabetes tidak mengenal belas kasihan dan akan terus memusnahkan saraf. Kawalan penting dalam memerangi penyakit ini ialah kawalan glukosa darah, kolesterol dan tekanan darah. Ramai doktor, pakar nutrisi dan ahli diet berpendapat bahawa makanan merupakan rawatan yang penting dalam pengurusan penyakit tersebut. Bukan itu sahaja, senaman juga merupakan aktiviti yang mesti dilakukan. Menurut penulis lagi, dua panduan tersebut tidak cukup dalam memerangi penyakit ini jika tidak disertakan dengan pengambilan ubat-ubatan dan suplemen. Ketiga-tiga perkara tersebut merupakan ‘senjata’ dalam mengawal dan mencegah penyakit diabetes. Oleh itu, bertindaklah terhadap sebab yang mencetuskannya.

Kesimpulannya, diabetes adalah penyakit yang datang secara senyap dan dalam diam telah bertapak dalam diri seseorang. Masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan simptom-simpton yang memungkinkan mereka menghidap penyakit ini. Sikap berlengah akan memakan diri. Justeru, buku ini memberi panduan yang baik dan menyeluruh dalam memahami diabetes serta cara pemantauan, lengkap dengan aspek pemakanan, kepentingan senaman, ubat-ubatan serta tip pemantauan pesakit. Diharapkan buku ini dapat menjawab segala persoalan berkaitan diabetes dan cara mengurusnya dengan lebih baik.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku dan pintu adalah hal yang sama. Kamu membukanya dan kamu pergi ke dunia lain."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.