Select your language

Landskap Buluh

Penulis
Azmy Hj. Mohamed

Terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015.  140 Muka Surat

 

Ulasan oleh Dr. Harifah Mohd Noor, Universiti Malaysia Sabah

Melentur buluh biarlah waktu rebung.  Peribahasa ini sangat sinonim dengan pendidikan anak-anak dan sering kali dikaitkan dengan buluh.  Namun kerap kali timbul pertanyaan, apakah perbezaan antara rebung dan buluh?  Persoalan demikian telah terjawab semasa proses pembelajaran, namun untuk mengetahui dan memahami dengan lebih jelas keunikan rebung dan buluh,  boleh diperoleh menerusi buku yang bertajuk ‘Landskap Buluh’.  Buku yang mengandungi 10 bab ini berjaya menjawab persoalan yang berkaitan dengan buluh khususnya yang berminat menjadikan buluh sebagai tanaman landskap.

Penulis memulakan bab satu dengan memperkenalkan ciri-ciri dan kegunaan buluh.  Buluh membesar daripada rebung, iaitu terdiri dari ruas yang keluar dari rumpun buluh, dan membentuk batang buluh yang lain.  Struktur buluh terdiri daripada kelopak batang, dahan, dedaun dan rizom.  Bab ini juga menerangkan kegunaan buluh yang pelbagai.  Contohnya, rebung boleh di masak sebagai makanan, sementara batang buluh boleh dibuat rakit, jambatan, dinding atau hamparan, malahan digunakan juga sebagai ‘sarung’ kepada makanan tradisi yang sangat istimewa di hari lebaran iaitu lemang.  Sementara rumpun buluh dijadikan sebagai penghalang angin, tempat teduhan, kawalan pencemaran dan sebagai pagar atau sempadan.

Bab kedua memperkenalkan jenis dan rupa bentuk buluh yang menarik sebagai tanaman landskap. Kebanyakan buluh jenis tropika boleh dibentuk atau dipotong mengikut pelbagai bentuk. Kelebihan buluh yang mempunyai daun kecil atau halus, telah menghasilkan rumpun yang mudah dibentuk. Terdapat 11 bentuk buluh yang dinyatakan dalam bab ini, iaitu bentuk dua bulatan, bentuk kolum, bentuk mendatar, bentuk lonjong, bentuk kon terbalik, bentuk ovoid terbalik, bentuk tiga segi terbalik, bentuk silara satu bulatan, bentuk gasing berdiri, bentuk berpusing, dan bentuk topiari ayam belanda.  Setiap kaedah pemotongan bentuk- bentuk buluh ini dijelaskan secara terperinci.

Bab seterusnya menjurus kepada spesies dan pemilihan jenis buluh yang sesuai untuk hiasan dan landskap.  Pemilihan buluh bergantung kepada jenis, ketinggian, ukuran garis pusat, sifat batang buluh, kesesuaian kawasan atau tempat serta fungsinya sebagai tanaman.  Sejumlah 12 jenis buluh yang diperkenalkan oleh penulis.  Setiap jenis buluh diperkenalkan dengan perincian nama tempatan buluh,  ketinggiannya, ukuran garis pusat, sifat daun buluh berkenaan, dan kesesuaian kawasan penanaman dan fungsi buluh tersebut.

Bab empat  menerangkan perkara yang perlu diambil kira untuk penanaman buluh bagi tujuan landskap. Perkara paling utama ialah meninjau keluasan kawasan landskap, termasuk mengambil kira komposisi tanaman dan saiz spesies buluh yang bakal digunakan.  Penanaman buluh perlu juga mengambil kira fungsi-fungsi penanaman umpamanya sebagai pagar, tanaman teduhan, atau penanda jalan bagi laluan pejalan kaki.

Kaedah penanaman buluh bermula pada bab lima. Penulis menghuraikan kaedah pembiakan buluh secara terperinci bermula dari biji benih, sehingga bersedia untuk tanam di atas tanah. Bab seterusnya berkaitan dengan penanaman  buluh yang telah membesar. Penulis menerangkan dengan terperinci kaedah penanaman buluh yang bermula dengan penyediaan lubang penanaman, campuran tanah, penyiraman, dan penanaman dengan bahan tanaman besar.

Buluh memerlukan penjagaan rapi terutama dalam proses pembesaran. Menerusi bab tujuh,  penulis menjelaskan penjagaan dan pengurusan tanaman buluh termasuklah penyiraman, dan pembajaan.  Tanaman buluh yang telah membesar perlu dipangkas.  Pemangkasan buluh adalah penting untuk memastikan buluh sentiasa dalam keadaan subur dan terjaga. Fungsi pemangkasan dinyatakan secara terperinci dalam bab lapan.

Bab sembilan menerangkan kaedah sungkupan iaitu aktiviti yang dilakukan dengan menabur atau membubuh bahan-bahan tanaman organik di sekeliling pangkal pokok. Tujuannya untuk mempertahankan akar-akar pokok yang ada daripada kehilangan air dengan mudah.  Bab ini juga menerangkan kebaikan aktiviti sungkupan ini.

Bab terakhir ialah berkaitan dengan serangga perosak dan penyakit buluh. Penulis memperincikan jenis serangga perosak dan penyakit yang sering dihadapi oleh tanaman buluh. Serangan dan penyakit buluh sering berlaku semasa peringkat awal penanaman buluh atau pada peringkat awal kematangan batang buluh.  Cuaca  turut memainkan peranan terhadap kerosakan daun buluh yang disebabkan oleh serangan serangga ini. Bab akhir ini menerangkan cara mengatasi serangan perosak dan penjagaan dari penyakit-penyakit buluh. 

Penulis telah berjaya memperkenalkan serta menghuraikan buluh sebagai tanaman landskap dengan bahasa yang mudah, disertai foto-foto dan ilustrasi   yang menarik.  Buku ini amat berguna khusus bagi peminat buluh yang sedang bercadang untuk menyediakan tanaman buluh sebagai landskap sama ada di kawasan keliling rumah atau di kawasan-kawasan yang bersesuaian.

Oleh yang demikian,  untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623/214828/256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.