Select your language

KETAGIHAN TERHADAP MEDIA SOSIAL

Penulis
FARHANA YUSUF

Terbitan
KULAI, JOHOR: PUSTAKA NENAS, 2021. 48 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Zakky Afandi Bin Rasimin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau

Media sosial merupakan medium komunikasi utama dalam kalangan masyarakat pada masa ini dan telah berkembang dengan pesat. Trend ini menjadikannya suatu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat. Namun kepantasan maklumat yang disampaikan tidak menjamin kesahihannya. Kewujudan gajet dan aplikasi yang canggih telah menjadi pencetus kepada penyampaian maklumat tersebut. Namun demikian, para pengguna haruslah bijak untuk menilai kesahihan maklumat yang disebarkan.

Media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara dalam talian. Media sosial membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi dan mencari kenalan. Antara aplikasi media sosial yang sangat popular pada masa ini adalah aplikasi Facebook dan merupakan media sosial yang terbesar di dunia. Seramai 2.41 bilion pengunjung Facebook aktif telah dicatatkan pada 30 Jun 2019 dan lebih daripada 65 juta perniagaan yang menggunakan Facebook page.     Selain itu, aplikasi Youtube juga adalah platform perkongsian video di mana pengguna boleh menonton sehingga berbillion jam video sehari. Pengguna juga boleh membuat saluran Youtube sendiri untuk menjenamakan produk. Di samping itu, mereka juga boleh memuat naik video untuk tontonan pelanggan. Orang yang menonton video yang dimuat naik tersebut boleh memberikan like jika mereka menyukai video tersebut dan menekan dislike jika sebaliknya. Mereka juga boleh meninggalkan komen dan kongsi kepada kawan-kawan yang lain. Antara kelebihan pengguna Youtube yang aktif adalah boleh menghasilkan pendapatan melalui video-video yang dimuatnaik.

Penggunaan aplikasi whatsapp juga sangat popular. Whatsapp adalah aplikasi untuk chatting yang digunakan lebih daripada 180 negara. Pada mulanya, Whatsapp hanya digunakan oleh orang awam untuk berkomunikasi dengan keluarga dan teman-teman. Namun, secara berperingkat orang ramai mula berkomunikasi dengan ahli perniagaan melalui Whatsapp. Whatsapp sudah mula mewujudkan platform bisnes. Platform ini memberi peluang kepada ahli perniagaan untuk mendapatkan sokongan bisnes yang lebih baik. Terdapat juga penggunaan aplikasi Tiktok dan Instagram yang sangat popular yang mana fungsi dan kegunaanya sama seperti Facebook, Whatsapp dan Youtube.

Kekerapan penggunaan media sosial boleh menyebabkan ketagihan kepada pengguna. Menurut sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sejumlah 50.4 peratus kanak-kanak berusia umur 12 tahun di negara ini memiliki telefon pintar. Manakala, 78.8 peratus pengguna internet terutama kanak-kanak di Malaysia juga mengalami ketagihan internet dan keadaan ini amat membimbangkan walaupun negara bergerak menuju ke arah digital. Antara faktor ketagihan media sosial adalah kebergantungan kepada telefon pintar, tidak beretika dengan melanggar peraturan bagi pelajar dan penjawat awam serta tidak berminat melakukan aktiviti senaman ataupun bersukan. Selain itu, ia boleh memudaratkan kesihatan para pengguna media sosial.

Punca ketagihan terhadap laman sesawang sosial juga adalah disebabkan kurangnya didikan agama dan moral, pengaruh rakan sebaya dan faktor diri remaja itu sendiri. Mereka berpendapat bahawa kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan semata-mata yang menyebabkan mereka hanyut serta gagal dalam hidup. Seterusnya, sikap ibu bapa juga yang sering sibuk dengan pekerjaan boleh menyebabkan remaja terjerumus ke dalam gejala sosial sehingga terlepas pandang tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Ketagihan bermain dengan mesin perjudian melalui aplikasi telefon pintar juga sangat terkenal dan mudah mempengaruhi masyarakat.  

Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memantau anak-anak mereka terutamanya golongan remaja agar mereka menggunakan media sosial sebagai platform untuk menimba ilmu dan mencari maklumat yang berfaedah demi kesejahteraan hidup mereka pada masa depan. Penggunaan media sosial pada masa ini mempunyai kebaikan dan kerburukan tersendiri. Justeru, semua golongan masyarakat wajib untuk berfikir secara bijak untuk menentukan penggunaan sosial media agar tidak berlebihan.

Buku ini adalah koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Ranau. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Ranau atau Kota kinabalu. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya bisa berpikir sama seperti semua orang." - Haruki Murakami

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.