A- A A+

Kawal Emosi Elak Stres

Penulis
Mohamed Iskandar R. Sukor & Mariam Mohamed Nor

Terbitan
Seri Kembangan, Selangor: Workplace-English Enterprise, 2015.  198 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Mohamad Rahim Bin Abdullah, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan

Setiap individu pasti akan melalui fasa kekecewaan, kehilangan dan perubahan. Perbezaannya ialah individu yang mempunyai kesihatan emosi yang baik mempunyai keupayaan untuk pulih dari sakit, trauma dan stres. Keupayaan ini yang dinamakan sebagai daya tahan. Dalam hal ini, individu yang memiliki daya tahan yang baik berupaya untuk mengimbangi stres dan emosi bagi mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kemurungan dan kebimbangan atau lain-lain situasi emosi yang negatif. Dalam masa yang sama, peranan ahli keluarga dan individu yang dipercayai penting dalam memberi galakan dan sokongan, seterusnya akan meningkatkan daya tahan untuk berhadapan dengan masa yang sukar.

Individu yang mempunyai tahap emosi dan mental yang sihat mempunyai ketahanan untuk menghadapi situasi yang sukar dan mengekalkan pandangan hidup yang positif. Kesihatan mental berkait rapat dengan pemikiran, perasaan terhadap orang sekeliling dan keadaan kesejahteraan individu. Ia bermaksud individu yang memiliki kesihatan mental berkemampuan untuk menyedari kebolehan diri dalam menangani tekanan hidup, boleh bekerja secara produktif dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Untuk penjelasan lanjut, buku bertajuk Kawal Emosi Elak Stres dihasilkan sebagai panduan bagi membantu masyarakat yang sedang mengalami stres akibat tekanan hidup yang semakin mencabar masa kini.

Menurut penulis, kesihatan mental yang lemah boleh menjejaskan kesihatan fizikal seseorang dalam pelbagai cara. Perkara ini menunjukkan bahawa terdapat kesan sama ada secara negatif atau positif yang mampu mempengaruhi kesihatan fizikal. Sekiranya kerap marah dengan orang lain atau sesuatu situasi, akibatnya jantung akan menjadi lemah dan memudahkan untuk dijangkiti penyakit. Pada kebiasaannya, penyakit mental terdiri daripada kemurungan, kebimbangan dan penyalahgunaan dadah. Bagi penyakit yang berkaitan dengan stres pula adalah anoreksia. Kebanyakan penyakit manusia moden adalah psikosomatik yang merujuk kepada keadaan kebimbangan dan ketakutan mental yang memberi kesan kepada kesihatan fizikal seperti penyakit ulser gastrik. Keadaan ini menunjukkan bahawa terdapat perkaitan yang kuat antara fisiologi dan psikologi, yang secara dasarkan berpunca daripada ketegangan dan tekanan kehidupan.

Menurut buku ini, setiap masalah dan konflik yang dihadapi dapat diuruskan dengan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi dari persekitaran. Keberhasilan individu dalam hal ini dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu melalui proses sosiolisasi, motivasi diri, bimbingan dan bantuan yang diperolehi. Unsur-unsur penyesuaian diri termasuk kemampuan untuk mengatasi stres bagi keperluan peribadi, kemampuan untuk mengatasi kekecewaan dan kemampuan untuk mengembangkan mekanisme psikologis yang sesuai. Tambah penulis, masalah emosi dan stres mampu untuk dicegah dengan adanya bantuan daripada individu yang lebih berkelayakan, berpengetahuan, profesional dan prihatin yang dapat memotivasikan diri untuk melakukan perkara yang lebih bermanfaat. Selain masyarakat, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mencegah masalah tersebut melalui komunikasi, pengawasan yang tegas dan didikan agama.

Oleh itu, buku ini sangat sesuai dijadikan panduan diperingkat awal untuk pembaca mengenali diri dan stres yang mereka alami. Sekiranya lemah dalam menangani dugaan kehidupan, maka mudahlah untuk mengalami stres dan masalah emosi. Dengan membaca buku ini, diharapkan pembaca dapat memahami mengenai kesihatan emosi dan mental mereka. Seterusnya, pembaca akan lebih peka dengan keadaan diri mereka dan mengambil langkah-langkah yang bijak untuk menanganinya. Penggunaan bahasa dan penyampaian maklumat yang mudah difahami, malah turut disertakan dengan pelbagai ilustrasi yang menarik. Semoga maklumat dalam buku ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dalam mengawal emosi dan menangani masalah stres bagi menjamin kehidupan yang sejahtera dan harmoni.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang berdekatan dengan anda dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.