Select your language

Kaedah Meraih Kejayaan

Penulis
Smahadzir & Jaafar Man

Terbitan
Selangor: Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd, 2007. 197 Muka Surat.

Ulasan oleh Elizabeth Zaitol, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Setiap individu menginginkan kejayaan dalam hidup mereka. Tentu sekali tidak ada individu di dunia yang mahu menolak kejayaan. Namun begitu, setiap kejayaan individu tidak sama kerana tahap kejayaan diukur oleh kehendak individu itu masing-masing.  Kamus oxford mendefinisikan kejayaan sebagai pencapaian akhir yang diingini atau kemasyuran, kekayaan atau mempunyai kedudukan sosial. Setiap individu menganggap diri mereka telah beroleh kejayaan apabila mereka telah mendapatkan sesuatu yang diimpikan sejak sekian lama atau berjaya mengatasi proses kehidupan yang mencabar.

‘Dengan pelbagai perancangan, kaedah, ilmu, perbelanjaan, latihan yang sistematik dan sebagainya, semua orang boleh berjaya.’ Ungkapan menarik oleh penulis buku ‘Kaedah Meraih Kejayaan’ ini sangat menarik untuk dijadikan sebagai suatu kata-kata motivasi. Buku ‘Kaedah Meraih Kejayaan’ ini merupakan buku daripada siri kaunseling kecemerlangan yang ditulis oleh dua penulis terkemuka iaitu Smahadzir dan Jaafar Man. Tujuan penulisan buku ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat pembaca tentang kaedah untuk mencapai kejayaan yang diingini dalam hidup.

Secara keseluruhannya, buku ini mempunyai enam bab dengan topik-topik yang menarik. Dalam bab satu, topik yang dibincangkan adalah mengenai motivasi yang diperlukan oleh setiap individu dalam menjalani kehidupan seharian. Penulis menjelaskan bahawa individu seharusnya mempunyai halatuju, tujuan, matlamat dan motif dalam melakukan sesuatu perkara seperti bekerja untuk mencapai kejayaan. Di samping itu, penulis turut memberi beberapa perumpamaan yang menarik untuk memotivasikan para pembaca. Antara perumpamaan yang diberikan ialah ‘Jadilah seekor labah-labah yang tabah menjalinkan sarangnya. Biar ribuan kali jatuh ke tanah tetapi tetap mampu naik semula untuk terus berusaha.’

Bab seterusnya iaitu bab dua membincangkan tentang keperluan manusia terhadap diri sendiri. Dalam bab ini, penulis telah menghuraikan 12 kunci prinsip rahsia motivasi McGinis yang perlu difahami oleh para pembaca. Tambahan pula, beberapa bentuk motivasi turut disenaraikan dengan huraian dan contoh yang bernas agar pembaca mudah memahami bab ini. Bab tiga merupakan kesinambungan daripada bab sebelumnya, dimana buku ini menceritakan tentang keperibadian individu yang boleh mendorong kepada kejayaan. Bab ini sangat menarik kerana penulis telah memasukkan sebuah cerita tentang peristiwa yang pernah dialami oleh penulis itu sendiri. Cerpen yang ditulis itu mempunyai format dialog antara dirinya dan orang yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Peristiwa yang ditulis boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pembaca.

Manakala, bab empat membincangkan mengenai topik nilai kecemerlangan. Bab ini mempunyai pengisian yang ringkas dimana penulis menguraikan ciri-ciri yang wajar ada dalam diri setiap individu bagi meraih kejayaan. Bab lima dan bab enam pula mempunyai format penulisan yang hampir sama iaitu terdapat sub-topik yang dihuraikan di bawah topik bab tersebut. Sebagai contoh, topik bab lima ialah dorongan semula jadi. Sub-topiknya pula ialah kemampuan minda. Manakala topik bab enam ialah keazaman, dan sub-topiknya ialah azam dan iltizam.

Secara amnya, buku ini sangat digalakkan khususnya kepada anak muda yang masih mencari kejayaan dalam hidup mereka. Melalui pembacaan buku ini, pembaca mampu membina sifat-sifat yang harus ada dalam diri individu yang ingin mencapai kejayaan seperti tabah, cekal dan sabar. Dengan adanya sifat ini, individu mampu untuk menempuhi cabaran dan dugaan demi mencapai tujuan yang diimpikan.

Oleh yang demikian, pembaca boleh lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-213623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini dan isi kandungannya.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya bisa berpikir sama seperti semua orang." - Haruki Murakami

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.