JANGAN MARAH
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Aminah Arjani, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu
Anda sering marah-marah? Apakah penyebab kemarahan dan apa kesan marah terhadap diri dan kesihatan kita? Marah adalah emosi semulajadi yang biasanya bersifat negatif dan boleh bermula dari sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal. Perasaan marah adalah suatu emosi yang normal serta reaksi tindak balas semulajadi terhadap sebarang ancaman dan ketidakselesaan. Perasaan marah tercetus apabila berlaku gangguan yang berpunca daripada seseorang, sesuatu peristiwa atau keresahan dalam hidup. Saat marah yang tidak terkawal, jiwa akan bergelodak kerana hati mendidih dan nafsu amarah membara.
Marah boleh membahayakan diri sendiri jika salah dikendalikan. Marah akan mendorong seseorang bertindak secara ganas, menghamburkan perkataan yang kesat dan mengikut kehendak hati. Semakin kuat api amarah semakin sukarlah untuk dipadamkan kerana dendam kesumat. Kajian mendapati, seorang pemarah berisiko tinggi mendapat penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi, penyakit jantung, strok dan kematian mengejut. Malah lebih parah, perasaan marah yang tidak terkawal menjadi faktor pencetus pelbagai kejadian seperti pembunuhan dan penderaan mental dan fizikal kepada orang di persekitaran atau orang tersayang. Gangguan psikologikal boleh berlaku akibat perasaan marah yang terlalu kerap dan teruk. Para doktor sering menasihatkan pesakit mereka agar mengelakkan diri daripada mengalami stres dan marah.
Buku Jangan Marah menyediakan panduan dan teknik yang boleh digunakan untuk mengawal dan menangani marah kepada sesiapa sahaja yang seringkali berhadapan dengan konflik marah. Penulis menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami dan sesuai dibaca oleh semua peringkat usia. Panduan dan teknik yang dipaparkan dalam buku ini dapat membantu pembaca mempraktikkannya dalam kehidupan seharian dan sekaligus mampu mencipta kehidupan keluarga yang bahagia, sentiasa ceria, tenang dan harmoni.
Buku ini ada dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No. kelas : MAN 152.47 NOO. Lokasi : Sudut Ulasan Buku, Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berjumpa dengan kakitangan yang bertugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNS Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Sila lawati juga laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.