HENTIKAN PEMBULI JALAN RAYA
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Mohammad Jamil Hj Alibasha, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Semua rakyat Malaysia termasuk pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya. Kewujudan pembuli jalan raya menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Sedangkan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu terkenal dengan sikap berbudi bahasa. Namun begitu pada masa ini, kita sering melihat pengguna jalan raya yang bersikap biadap. Isu ini agak membimbangkan disebabkan terdapat pemandu yang tidak menghormati peraturan jalan raya malah membahayakan pemandu lain. Kemalangan jalan raya merupakan isu yang tidak akan pernah surut kerana tragedi ini boleh berlaku pada setiap hari di seluruh tempat malah jumlahnya semakin meningkat. Kadar kemalangan maut di jalan raya Malaysia dianggap sangat tinggi kerana ia hampir menyamai kadar purata negara berpendapatan rendah.
Kemalangan fatal berlaku kerana ia bukan melibatkan seorang pemandu sahaja tetapi melibatkan penumpang lain. Oleh itu, pelbagai kempen diperkenalkan dan dilancarkan di samping peraturan global, namun kemalangan masih tinggi. Fakta menunjukkan faktor kecuaian manusia sememangnya menjadi faktor utama. Selain itu, kenderaan terlalu banyak di negara ini juga menjadi trend yang perlu dikaji semula. Data menunjukkan 93 peratus isi rumah memiliki kereta, bermakna hanya tujuh peratus isi rumah yang tidak memiliki kereta. Kebanyakan kemalangan melibatkan pemandu dan pembonceng motosikal iaitu 62.7 peratus daripada keseluruhan kemalangan.
Seterusnya, masih ramai pengguna jalan raya yang tidak berfikir waras ketika memandu. Mereka lebih mementingkan keegoan daripada memikirkan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain. Antara kesalahan jalan raya termasuklah memecut laju pada saat-saat akhir lampu isyarat bertukar merah, memandu di lorong kecemasan yang mana lorong ini dibina khas untuk ambulans dan bomba tetapi sering diguna pakai pemandu kereta, bas dan juga lori ketika berlaku kesesakan jalan raya. Penggunaan telefon bimbit semasa memandu juga merupakan sikap buruk yang selalu kita lihat di jalan raya. Pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu sangat tidak bertanggungjawab.
Selain itu, terdapat pemandu yang suka memotong barisan kenderaan di hadapan sesuka hati. Kes sebegini kerap berlaku di plaza tol atau di lampu isyarat. Segelintir pemandu yang biadap memotong barisan tanpa mengambil kira perasaan pemandu yang lain. Gengsterisme di jalan raya boleh dirujuk sebagai aktiviti yang bersifat jenayah atau sosial yang dilakukan oleh individu atau sekumpulan individu. Mereka ini sanggup melakukan sesuatu tindakan yang salah di sisi undang-undang demi mencapai kepuasan dan matlamat diri. Kemunculan gengsterisme adalah kegiatan buli yang berlaku di jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya dan kemalangan.
Kes membuli di jalan raya semakin menjadi-jadi sehingga mengundang pergaduhan dan kematian. Golongan tidak bertanggungjawab ini sering menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain. Sudah banyak tular di media sosial mengenai video yang dipercayai berlaku angkara pembuli jalan raya. Kes membuli di jalan raya adalah masalah yang harus dipandang lebih serius.
Sikap gagal mengawal perasaan marah juga antara penyebab kepada kejadian membuli di jalan raya berlaku. Bagaimanapun, belum ada kajian secara terperinci punca masalah ini kerap dilaporkan di negara kita. Walau bagaimanapun, kadar kes membabitkan pembuli jalan raya sememangnya merisaukan biarpun pelbagai langkah penguatkuasaan dan kaedah telah digunakan oleh Polis Diraja Malaysia ( PDRM ). Oleh itu, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ( MCPF ) mencadangkan sesi kaunseling dan khidmat masyarakat diwajibkan bagi individu yang ditahan kerana kesalahan memandu secara berbahaya dan membuli di jalan raya. Tindakan berkenaan wajar dipertimbangkan memandangkan ia telah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat. Selain menimbulkan keinsafan, program sebegini membolehkan mereka bertemu dengan pesalah jalan raya lain yang boleh membantu memberi kesedaran.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Semoga buku ini memberi manfaat kepada pembaca dan memberi kesedaran kepada kita semua sebagai pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang jalan raya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini sila hubungi kakitangan perpustakaan yang bertugas. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.