Select your language

Formula Usahawan Berjaya

Penulis
Ahmad Zaki Ismail

Terbitan
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Disributors, 2011.  281 Muka Surat.

Ulasan oleh Neldra Vijay S. Panikar, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tuaran

Buku berjudul ‘Formula Usahawan Berjaya’ ini memaparkan pelbagai ciri penting yang perlu dikenal pasti oleh setiap individu yang berhasrat untuk menceburi bidang keusahawanan.  Semua orang boleh menjadi usahawan, namun, tidak ramai usahawan yang dapat mengekalkan komitmen dalam sesuatu industri yang diusahakan. Menurut penulis, terdapat empat persoalan utama yang merangkumi keseluruhan perbincangan yang diketengahkan dalam buku ini iaitu kenapa perlu berniaga, apakah perbezaan dan persamaan antara usahawan dan peniaga, apakah ciri-ciri kejayaan usahawan dan mengapakah usahawan perlu beretika.

Dari kupasan perbincangan, buku ini dapat membimbing bakal-bakal usahawan dari permulaan berniaga hingga ke peringkat keusahawanan berjaya yang berlandaskan etika dan jati diri.  Dalam buku ini juga menyoroti ketokohan 14 individu tempatan yang telah berjaya mencipta nama dalam bidang keusahawanan yang diterokai. Menerusi bab 11 “Usahawan Yang Diteladani”, banyak iktibar boleh diperolehi dan patut dicontohi.  Kerana, untuk mencapai suatu kejayaan, perlu diiringi pengorbanan dan kesulitan.  Namun berkat usaha gigih yang berterusan, maka kejayaan telah dapat dikecapi oleh tokoh-tokoh usahawan tersebut. Dalam buku ini, tokoh-tokoh usahawan tersebut telah berkongsi pengalaman pahit maung yang mereka tempuhi sebelum mencipta kejayaan. 

Penulis juga turut menyediakan lampiran mengenai proses dan panduan yang dapat membantu bakal-bakal usahawan dalam memulakan perniagaan dan untuk mendapatkan bantuan pembiayaan, jenis-jenis permit, lesen dan kelulusan dari pihak berkenaan  sebelum menjalankan perniagaan di Malaysia.   Senarai dan skim pembiayaan bantuan kewangan mengikut kumpulan sasar, agensi dan senarai dana untuk keusahawanan mengikut agensi dan jumlah peruntukan. 

Buku ini diterbitkan sebagai rujukan kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan atau usahawan yang ingin mencapai kejayaan menerusi amalan perniagaan yang beretika bagi mengelak risiko negatif akibat kekurangan maklumat.  

Buku ini merupakan garapan pengalaman penulis yang telah berkecimpung lebih daripada 15 tahun dalam bidang keusahawanan. Beliau telah mengkongsikan tips dan panduan yang berguna khususnya kepada yang menghadapi kemusykilan tentang selok belok dunia keusahawanan. Penulisan buku ini dibuat menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas bagi memudahkan pembaca memahami.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.