Select your language

DUNIA DI SEBALIK TEMBOK

Penulis
MKHARA

Terbitan
SMARTWORK SOLUTION PUBLISHING AND TRAINING. 495 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Persatuan Alumni Radio Sabah (RASA), Kota Kinbalu

Buku yang bertajuk Dunia di Sebalik Tembok ditulis secara santai oleh

MKara melalui pengalamannya semasa dalam tahanan di penjara. Penulis menyingkap kehidupan banduan di sebalik tembok. Penulisan buku ini bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah-pesalah jenayah agar taubat dan insaf. Bagi orang awam jangan cuba menjadi penghuni penjara. Buku ini mempunyai 28 bab yang menarik di antaranya menyentuh mengenai kehidupan di penjara, keadaan fizikal penjara, seksanya disebat, catatan bilik gantung, puasa dan raya di penjara, nasihat supaya jangan jadi banduan dan banyak lagi kisah yang menarik.

Bab pertama buku ini bertajuk Aku ke Penjara tentang bagaimana penulis mengimbas saat-saat penulis dimasukkan ke penjara. Pada tahun 2011, beliau didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan jenayah ‘kolar putih’. Beliau kemudiannya dihantar ke penjara Kepayan, Kota Kinabalu untuk menjalani hukuman selama 5 tahun.  Semasa dalam penjara, beliau sekali lagi didakwa melakukan jenayah komersial. Setelah dibicarakan selama tempoh 2 bulan sebanyak 6 kali dengan 11 pecahan tuduhan, beliau di dapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara terkumpul selama 14 tahun 2 bulan serta 11 sebatan.

Sebenarnya, penulis  merupakan pelajar cemerlang dan pernah ditaja oleh Yayasan Sabah menuntut ke Semenanjung Malaysia. Setelah tamat pengajian beliau menjadi guru sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan dan mempunyai ramai kawan di kalangan ahli perniagaan dan juga ahli politik.  Beliau mengakui bahawa sepatutnya boleh mencapai kejayaan dan hidup bahagia, namun lantaran hala tuju yang kurang tepat, beliau telah melakukan banyak kesilapan.

Malam pertama di penjara mencatat kenangan pahit apabila beliau dipukul beramai-ramai oleh ’orang lama’ kerana cuba mempertahankan seorang banduan lanjut usia daripada dibuli. Mereka yang terlibat kemudiannya telah diambil tindakan oleh pegawai penjara. Namun, dalam suasana orang lain lena dibuai mimpi, penulis tersandar di dinding penjara dan menangis semahu-mahunya. Bukan akibat kesakitan dipukul, sebaliknya tangisan kerinduan, kesesalan dan terimbau orang-orang yang tersayang.

Penulis kemudian memberi gambaran keadaan fizikal Penjara Pusat Kepayan yang berkeluasan sekitar 16 ekar. Kebanyakan bangunannya dibina sejak zaman British  yang terdiri daripada blok-blok penempatan pelbagai saiz.  Ada yang hanya berukuran 7’x10’ dan ada yang berkeluasan 30’x20’ persegi.  Kawasan penjara dibahagi kepada 8 zon iaitu zon Aman, Bakti, Cemerlang, Damai, Ehsan, Fitrah, Gemilang dan Harapan. Zon Fitrah menempatkan pesalah-pesalah yang bakal dikenakan hukuman mati.

Apa yang tersedia di dalam blok penempatan penghuni, hanyalah perkara-perkara asas seperti lantai simen untuk tidur, 1 atau 2 tandas dan ruang mandi yang boleh memuatkan 2 hingga 5 orang pada satu-satu masa. Pada masa kesesakan, ruang mandi dan tandas terpaksa dikongsi sehingga 100 orang. Kemudahan yang lain  ialah 2 pasang baju (baju khas banduan), selimut, koleh, sudu dan berus gigi.

Dalam penjara terhimpun pelbagai jenis manusia yang telah melakukan kesalahan dari segi undang-undang. Jenayah-jenayah yang dilakukan seperti membunuh, merogol, merompak, mencuri dan terlibat dengan dadah. Pada ketika itu, terdapat juga tahanan SOSSMA, suspek pengganas di Tonduo, Lahad Datu. Mereka yang baru kali pertama masuk ke penjara akan dihantar ke blok kuarantin. Setelah beberapa minggu di blok kuarantin kemudian akan dipindahkan ke blok PPI (Program Pembangunan Insan). Di dalam blok PPI ini, setiap banduan wajib mengikuti  program fasa 1 selama dua bulan seperti kawad dan ceramah. Fasa seterusnya disebut ‘Halaqah’ yang ditempatkan di blok  TC (Therapic Community) yang memberi tumpuan program kerohanian dan agama.

Penulis ditempatkan kembali kali ke 2 ke PPI apabila pada tahun 2013 beliau didapati bersalah kerana berkerjasama dengan penghuni lain atas kesalahan memiliki artikel larangan. Beliau kemudiannya dikenakan tindakan penurunan dari fasa 3 kembali ke fasa 1 selama 4 bulan. Tempoh ini beliau gunakan  untuk membersihkan nama dan  reputasinya di samping menulis puisi dan buku. Setelah menunjukkan prestasi serta kelakuan baik beliau layak ditempatkan di bengkel penjara. Kemahiran yang diajar di sini ialah  seperti bengkel jahit, besi, kraftangan, kayu, jala, simen ferro, elektrik, batik dan kerja-kerja pembaikan kecil di kawasan penjara.

Seterusnya penulis menyentuh mengenai hukuman sebat yang dikenakan ke atas penjenayah-penjenyah seksual, culik, senjata api, dadah, rompak dan jenayah komersial. Jumlah sebatan yang dikenakan antara 1 sehingga 24 sebatan menggunakan rotan sepanjang 3 kaki 1/2 inci, berukur lilit 1/2 inci. Proses hukuman sebatan disaksikan oleh hakim atau pegawai tinggi Jabatan Penjara dalam satu ruang khas seluas 15 kaki persegi.

Penulis sendiri, setelah hampir 9 tahun, pada tahun 2020 telah menerima hukuman sebat. Sebaik saja diarahkan untuk memijak ‘tripod’ (satu peralatan khas) tangan dan kakinya diikat oleh dua orang petugas supaya tidak terlalu banyak bergerak. Sebatan pertama tidak terasa sehinggalah sebatan ke lima baru mula terasa sakit dan berpinar. Walaupun menerima sebatan lebih ringan dari banduan lain namun, bahagian yang disebat membengkak, lebam dan sakit selama seminggu.

Penulis juga menceritakan perihal sahabat baiknya Izhar (bukan nama sebenar) yang dimasukkan ke penjara dan dikenakan hukuman mati. Penulis dan Izhar sama-sama dihantar melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh di Semenanjung Malaysia. Tahun 1987 merupakan tahun terakhir mereka bersama di Semenanjung Malaysia. Sepuluh tahun kemudian apabila mereka berjumpa di satu seminar perniagaan, Izhar sudah berjaya dalam bisnesnya dan mempunyai banyak aset, tanah, rumah kereta dan sebagainya. Penulis kemudian mendapat tahu Izhar terlibat dengan pengedaran dadah secara besar-besaran yang sudah lama dilakukannya.

Dalam Bab 13 Mencari Tuhan, penulis merakamkan karenah banduan di dalam penjara ketika mendekatkan diri kepada Tuhan. Ungkapan ‘di penjara baru ada Tuhan’ cukup popular di kalangan pegawai-pegawai penjara dan banduan yang sudah lama dipenjara. Ini merujuk kepada situasi dan gelagat sebilangan banduan yang hanya mula melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan setelah dipenjara. Bagi penulis, beliau  bersyukur kerana di penjaralah beliau diberikan petunjuk dan hidayah mendekatkan diri kepada Allah yang sudah lama diabaikan.

Tahun 2015 merupakan tahun ke 5 penulis berpuasa di penjara.   Makanan yang diperolehi sama seperti hari-hari biasa.  Tiada makanan yang istimewa semasa waktu berbuka atau makan sahur. Untuk sahur, makanan akan dihantar awal sekitar jam 9.00 malam sehingga jam 10.00 malam atas faktor keselamatan. Satu Syawal atau Aidilfitri yang tiba langsung tidak berbeza dengan hari-hari biasa.  Apa yang jelas ialah tahap kesedihan yang ketara pada semua penghuni Islam di antara laungan takbir yang hanya bergema dan melantun pada dinding-dinding batu di dalam blok-blok tahanan mereka.

Penulis juga memberi gambaran apa yang berlaku sebelum sesuatu  hukuman gantung dijalankan yang dikutip dari cerita orang-orang lama dalam penjara. Pada sebelah petang, sehari sebelum hukuman dijalankan (biasanya  jam 6.05 pagi, selepas subuh), lebih kurang jam 2.00 pagi, pesalah akan dibenarkan keluar dari selnya selama 30 minit pergi ke blok penempatan lain  untuk bersalaman dan bermaaf-maafan buat kali terakhir. Pada sebelah petangnya, pesalah akan dipertemukan dengan ahli keluarga terdekat secara bersemuka. Dalam  pertemuan itu, ahli keluarga dibenarkan membawa makanan yang disukai oleh pesalah.

Selepas pertemuan itu, pesalah akan dihantar semula ke sel. Bagi pesalah beragama Islam sepanjang malam tidak akan tidur dan hanya duduk di atas sejadah. Mereka bersembahyang dan berdoa sehinggalah saat-saat terakhir dipanggil untuk digantung.  Begitu juga yang beragama lain, masing-masing sibuk berdoa kepada Tuhan mereka.  Namun apa yang lebih menyayat hati ada di antara pesalah langsung tidak mahu bergerak dari sejadah sehingga terpaksa diangkat ke tempat penggantungan agar hukuman dapat dilaksanakan.

Akhir sekali, penulis mengingatkan supaya jangan sesekali menjadi banduan kerana amat sukar menjalani kehidupan di penjara dalam situasi yang cukup memeritkan dan terhad dalam segala aspek. Dunia penjara begitu hambar, bosan dan kaku. Untuk menghindarkan diri daripada menjadi penghuni penjara caranya hanya satu iaitu jauhi jenayah. Seterusnya penulis memohon maaf kepada ibunya, anak-anak dan bekas isterinya di atas apa yang telah berlaku. Di bahagian akhir buku ini disertakan beberapa warkah cetusan rasa banduan yang ditujukan kepada ahli keluarga mereka.

Buku ini sangat bermanfaat kepada mereka yang ingin mengetahui kehidupan manusia di sebalik tembok penjara dan pelajaran yang diperolehi dari pendedahan  pengalaman sendiri penulis sebagai seorang banduan. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah teman yang berharga. Namun, sulit untuk menjelaskan hal itu kepada yang tak suka membaca."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.