Select your language

COVID-19 KESEJAHTERAAN HIDUP SEMASA NORMA BAHARU: ISU DAN SOLUSI

Penulis
ABDUL RASHID ABDUL AZIZ, SITI NUBAILAH MOHD YUSOF DAN ANITA ABDUL RANI

Terbitan
UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG, KUANTAN, 2022. 272 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Dr. Mahat Jamal, Thinker Vault Media, Kota Kinabalu

Buku berjudul COVID-19, Kesejahteraan Hidup Semasa Norma Baharu : Isu dan Solusi tulisan ahli-ahli akademik Institut Pengajian Tinggi disunting oleh Abd Rashid Abdul Aziz, Siti Nubailah Mohd Yusof dan Anita Abdul Rani. Ia merupakan kompilasi artikel yang mengupas isu-isu semasa yang wujud akibat COVID-19 untuk memberi kefahaman implikasi wabak berkenaan dan penyelesaian masalah yang timbul. Buku ini mempunyai lima bahagian dimana Bahagian I membincangkan tentang pengurusan diri dan keluarga, Bahagian II, norma baharu dalam pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, Bahagian III, pengawalan, penularan dan informasi, Bahagian IV, pemerkasaan dan kesejahteraan kendiri dan bahagian terakhir sektor pekerjaan dan kepimpinan.

Pandemik COVID-19 yang berlaku di negara kita menyebabkan ramai individu mengalami tekanan dan masalah kesihatan mental termasuklah cemas, risau, tertekan, bimbang dan takut. Sehubungan itu, pengurusan diri dan keluarga merupakan salah satu aspek sangat penting dalam menghadapi musibah seperti yang dikupas dalam Bahagian I buku ini.

Sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19, corak dan gaya hidup masyarakat mengalami perubahan besar. Rata-rata individu meluangkan masa bersama keluarga di rumah dengan membuat aktiviti yang memberikan manafaat kepada keluarga. Penyesuaian kehidupan dalam norma baharu ini dapat membantu menguatkan semula hubungan ahli keluarga dengan perkongsian nilai-nilai kekeluargaan yang lebih bermakna. Selain pengurusan diri dan keluarga, pemerkasaan dan kesejahteraan kendiri juga diberi perhatian seperti yang disentuh dalam Bahagian IV buku ini. Ia memberi tumpuan kepada aspek pemerkasaan khususnya dalam kalangan wanita agar dapat meneruskan kehidupan harian dengan sikap yang lebih positif. Dengan itu diperkenalkan pendekatan Tele-Pertolongan Cemas Psikologi (Tele-PFA) sebagai medium menghubungi pihak berwajib bagi mendapat khidmat bantuan dan sokongan berkaitan masalah-masalah yang dihadapi.

Fenomena pandemik COVID-19 memaksa amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan dalam norma baharu, menggunakan kaedah atas talian (online). Ini dibincangkan dalam Bahagian II, dimana pihak kerajaan menggalakkan kesinambungan pendidikan secara jarak jauh yang berpusat di rumah (home-centered schooling). Perubahan mendadak ini memberi cabaran baharu kepada seluruh warga pendidikan, pelajar, penjaga, pihak sekolah dan juga kementerian.

Dapat dilihat kaedah pelaksanaan PdP secara maya telah memberi kesan yang tersendiri terhadap pelajar mahupun guru atau pensyarah. Pensyarah, misalnya sukar mengetahui tahap kefahaman pelajar. Pelajar pula ada yang menghadapi kekangan mendapatkan akses internet bagi mengikuti kelas yang dijadualkan. Pelajar yang kurang motivasi diri, didapati sukar menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara maya. Masalah lain yang timbul ialah persekitaran rumah pelajar yang tidak kondusif di samping tahap kesihatan emosi dan fizikal pelajar semasa menjalani proses pembelajaran dari rumah.

Justeru, setiap pelayar media sosial dituntut mengamalkan sikap tabayyun (selidik) sebelum menularkan sesuatu berita atau perkhabaran kepada orang lain bagi memastikan kehidupan rakyat harmoni. Amalan tabayyun ketika pandemik COVID-19 melanda, dapat membantu pengguna media sosial membuat saringan dengan bijak dan dapat membezakan maklumat yang berbentuk fakta dan yang palsu. Wujudnya suasana norma baharu telah ‘memaksa’ masyarakat mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan  untuk membendung dan mengawal penyebaran pandemik yang melanda.  Antara amalan yang wajib dilaksanakan ialah mengelak 3C, iaitu kawasan yang sesak (crowded place),  kawasan yang sempit (confined space) dan mengelak bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Bahagian akhir buku ini mengupas isu sektor pekerjaan dan kepimpinan.  Tidak dinafikan, implikasi pandemik COVID-19 mewujudkan kaedah baharu amalan bekerja dari rumah (BDR). Fenomena baharu ini menuntut individu agar bijak membahagikan masa di antara tuntuan kerja dan keluarga. Di Malaysia, tidak semua organisasi bersikap fleksibel dalam tatacara bekerja berbanding negara luar. Bagi kebanyakan negara luar bekerja secara fleksibel adalah sesuatu yang normal, dimana seseorang pekerja boleh memilih untuk bekerja seperti biasa di pejabat ataupun dari rumah.

 Buku ini sangat bermanfaat bagi mereka yang ingin mengetahui lebih mendalam permasalahan isu pandemik COVID-19 dan penyelesaiannya bagi mencapai kesejahteraan hidup masyarakat secara menyeluruh. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Cuma perlu satu buku untuk jatuh cinta pada membaca. Cari buku itu."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.