BUKAN GENERASI REMOTE CONTROL
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Suraida Hj Mahansah, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Terkenang sebuah petikan pantun tradisi Melayu yang berbunyi ‘buai tinggi-tinggi, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab’. Pantun ini barangkali asalnya mahu membayangkan maksud lain, tetapi ia sesuai menjadi kritikan buat masyarakat zaman kini yang tak sabar-sabar mahukan anak serba pandai. Apakah yang terlalu kita kejarkan? Masyarakat kini semuanya hendak cepat dan segera. Sedangkan pendidikan adalah suatu proses yang mengambil masa. Menurut Howard Gardner, manusia mempunyai kecerdasan yang berbeza. Ada yang suka menaakul dan mengira, ada yang indah berkata-kata, melukis dengan lukisan yang cantik, mempunyai emosi yang sensitif, lantang bersuara dan ada yang lambat dan ada yang cepat. Begitulah sebahagian kecil daripada perbezaan anak-anak. Tetapi, setiap umur ada perkembangaan yang boleh dikenalpasti dan dikemudi serta tahap-tahapnya. Oleh itu, pentingnya bagi kita memahami pendidikan awal kanak-kanak.
Namun begitu di negara kita, bidang pendidikan awal kanak-kanak masih dilihat sebahagian besar sebagai satu kerjaya sampingan, sembilan, atau bukan suatu yang tinggi. Sedangkan sebagai suatu kemponen masyarakat, semua kerjaya ada fungsinya dan tidak boleh dinafikan sumbangannya. Malah, pendidikan awal yang perlu ditekankan lebih dahulu daripada pendidikan rendah atau menengah, kerana ia akan memberi impak kepada peringkat seterusnya.
Bayangkan kita sedang belajar perkara baharu yang kita langsung tidak tahu mengenainya. Seseorang tidak boleh menjadi pandai dalam suatu perkara dengan sekelip mata. Sebagai contoh, belajar memandu kereta memerlukan kita mengetahui komponen di dalam kereta dan bagaimana cara mengendalikannya, sambil mengikut nasihat jurulatih pemanduan. Semakin hari, kita mengetahui cara memegang stereng supaya tidak terlepas ketika membelok, bagaimana menekan brek, bila masa yang sesuai menekan klac, seterusnya mencuri pandang cermin sisi dan belakang. Apabila sudah tahu asasnya, barulah kita sedia melangkah ke jalan raya yang lebih mencabar. Di samping itu, perlu tahu peraturan jalan raya. Tidak boleh berhenti atau brek sesuka hati, perlu pandai mengekori pace kereta dihadapan, dan perlu pertimbangkan pengguna jalan raya lain seperti motosikal dan pejalan kaki. Kemudian, setiap kereta pula berbeza spesifikasi, cara mengendali, cara menyelenggara dan ketahanannya. Setelah memahami asas, kita boleh menyesuaikan pengendalian kenderaan lain. Jika salah asas awalnya, kesannya boleh dilihat pada pemanduan kita.
Demikian pula, pendidikan awal adalah perkara yang lebih asas perlu difahami sebelum ke peringkat yang seterusnya. Contohnya, sebelum menulis ABC, perlu difahami perkembangan fizikal pada otot lengan dan tangan untuk memastikan pensel dipegang dengan baik terlebih dahulu. Terdapat tiga bahagian utama, iaitu perkembangan kanak-kanak, keibubapaan, dan seputar institusi (guru, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa ). Walaupun buku ini memfokuskan bidang pendidikan awal, tetapi mereka yang berlatarbelakang bidang pendidikan yang lebih tinggi juga perlu membacanya.
Kanak-kanak bukanlah kereta mainan yang kita boleh kawal dengan remote control. Sebagai ibu bapa, kebolehan, keperluan dan kehendak kanak-kanak itu perlu disokong agar mereka lebih berdedikasi dan berkeyakinan untuk menempuh cabaran hidup. Pada masa depan, merekalah yang akan memandu 'kereta' mereka sendiri ke 'dunia trafik' yang penuh liku. Semoga buku ini menjadi pengenalan kepada dunia pendidikan awal yang lebih luas, serta menjadi panduan awal buat kita dalam membentuk generasi yang lebih baik.
Buku ini boleh diperolehi di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Perpustakaan Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk pinjmanan dan mengetahui ketersediaan buku ini.