Select your language

Apa Khabar Depresi?

Penulis
Dr. Sakinah Salleh

Terbitan
Kuala Lumpur: Publishing House S/B. 216 muka surat.

Ulasan oleh Rohani Tahir, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu

Setiap kali munculnya berita di dada akhbar tentang isu bunuh diri, pastinya kita tertanya-tanya mengapa mereka memilih cara sedemikian. Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan membuktikan 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri. Statistik berkenaan membuktikan isu kesihatan mental di Malaysia.

Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang merasa sedih berpanjangan, keletihan dan kehilangan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Keadaan ini boleh berlarutan dalam masa dua minggu sehingga berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun. Penyakit ini dikategorikan sebagai penyakit mental yang banyak berlaku. Malangnya ramai yang tidak mengetahui implikasi penyakit ini kerana kurangnya pendedahan dan tidak didiagnosis dari awal.

Setiap perkara yang berlaku dalam hidup pasti ada sebab dan asbabnya. Perlu diingatkan bahawa tiada siapa yang tidak berdepan dengan masalah di dunia ini. Bezanya kita perlu tahu kaedah menangani dan cuba mengelakkannya. Menurut kajian pakar luar negara, lazimnya gangguan kemurungan yang dialami dalam kalangan wanita dan lelaki berlaku kerana faktor biologi. Memupuk konsep pemikiran positif adalah sangat penting untuk menghadapi cabaran dan masalah. Dalam aspek yang lebih luas, aspek rohani adalah salah satu penyelesaian utama dalam menghadapi cabaran dan keperluan. Ia adalah fitrah setiap insan yang mengakui kewujudan Tuhan yang membentuk tingkah laku seseorang dalam menerima nasib yang diberikan.

Sebagai ibu bapa, amatlah wajar dalam memberi kata-kata dorongan dan semangat walaupun keupayaan anak-anak tidak seperti yang diungkap. Namun dengan dorongan akan mengangkat ‘self-esteem’ serta membantu dalam memperolehi keyakinan diri dan mengelakkan rasa rendah diri yang keterlaluan. Tanpa dorongan, manusia tiada kemahuan dan semangat demi mencapai sesuatu dalam kehidupan. Dorongan itu juga dikenali sebagai motivasi dan setiap individu memerlukan motivasi. Bagi yang sentiasa bermotivasi dalam apa sahaja pastinya kerana mereka tahu bagaimana menjadikan diri sentiasa bermotivasi dan bersemangat.

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Sekiranya positif, jadilah positif dan begitulah sebaliknya. Bagi melakukan transformasi, kita perlu berhijrah minda dengan mencari ilmu sebanyak mungkin sebagai panduan hidup. Ilmu membantu kita mengenal banyak perkara. Membudayakan ilmu perlu berlaku dalam setiap lapisan masyarakat.  

Selain itu, mengurus emosi menuntut kepada pembersihan hati. Individu perlu fokus pada masa sekarang, bukan perkara lampau yang tidak dapat diubah serta berlapang dada dan berfikiran positif. Buku ini ditulis bertujuan bagi mengatasi masalah kemurungan dan merupakan pendekatan berdasarkan kefahaman bahawa agama menyediakan panduan untuk memahami nilai pegangan kehidupan seseorang. Dengan kata lain, pendekatan Terapi Spiritual yang diketengahkan dalam buku ini adalah pendekatan yang memfokuskan kepada perkaitan antara spiritual, perasaan, tingkah laku dan pemikiran.

Oleh itu, penulis telah sedaya upaya menonjolkan isu kesihatan mental dan membantu pembaca memahami dengan mudah penulisan tersebut. Buku ini juga sesuai dibaca oleh remaja dan dewasa sebagai panduan dan motivasi diri mereka.

Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No. kelas : MAN 616.8527 SAK. Lokasi : Rak Buku Bukan Fiksyen (Bahasa Melayu), Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berjumpa dengan kakitangan yang bertugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNS Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar cawangan Lahad Datu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.