Select your language

Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Di Malaysia

Penulis
Nik Mustapha Nik Mohd. Salleh

Terbitan
Kuala Lumpur: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), 1995.  159 halaman.

Ulasan oleh Nor Janna Hasnani binti Joseph, Pelatih Industri, Pererpustakaan Negeri Sabah

Buku yang berjudul ‘Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Di Malaysia ini merupakan kesinambungan kepada langkah JKKN dalam merakamkan akar peribadi bangsa dalam bentuk penulisan. Oleh itu, JKKN akan terus mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam mengangkat penghayatan terhadap pentingnya ilmu berkaitan kebudayaan disebarkan meluas kepada masyarakat keseluruhannya.

Buku ini terbahagi kepada enam bab utama selain daripada selembar bicara, glossary dan bibliografi. Secara umum, bab satu merupakan pengenalan terhadap alat-alat muzik tradisional dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Manakala, bab berikutnya menjelaskan tinjauan ringkas alat-alat muzik tradisional dunia tamadun purba dan Islam dan bab ketiga akan membahaskan tentang perkembangan alat-alat muzik tradisional masyarakat Melayu melalui dua perspektif. Seterusnya, dalam bab empat akan mengklasifikasikan alat-alat muzik tradisional dalam masyarakat Melayu di Malaysia, bab lima menerangkan tentang alat-alat muzik utama bagi suku kaum di Borneo dan  bab enam pula membahaskan alat-alat muzik Sinkretik dalam Melayu Bandaran.

Perbincangan serta penulisan yang dihasilkan oleh penulis ini, bentuknya padat di sertakan dengan penerangan dan contoh-contoh serta mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Boleh dikatakan hasil buku ini ditulis khas kepada golongan-golongan muda agar kesenian dan kebudayaan di negara kita tidak ditelan zaman. Hal ini dikatakan demikian kerana, dengan terhasilnya buku ini dapat membantu bukan sahaja golongan-golongan pengkaji kesenian dan kebudayaan malahan golongan belia yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkaitan dengan alat-alat muzik tradisional yang terdapat di Malaysia. Justeru, penerbitan buku ini adalah sangat memberansangkan agar pengetahuan dalam kesenian dan kebudayaan ini terutamanya dalam alat-alat muzik tradisional tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Bab pertama buku ini bertajuk Pengenalan dan Sistem Klasifikasi Alat-Alat Muzik Tradisional dalam Masyarakat Melayu di Malaysia. Dalam bab ini, penulis menjelaskan tentang tujuan kajian ini dilakukan. Menurut penulis,  kajian mengenai alat-alat serta bentuk-bentuk muzik yang berkembang dalam sesebuah masyarakat, merupakan suatu usaha dalam membuat perbandingan antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Bagi tujuan perbandingan dan kebenaran estetikanya adalah dicadangkan secara asas dari beberapa sudut seperti organografikal iaitu deskripsi bagi peralatan muzik. Justeru, kajian ini sangat unggul sifatnya untuk dikongsi kepada generasi akan datang.

Selanjutnya, bab kedua dibawah tajuk Tinjauan Ringkas Alat-Alat Muzik Dunia Tamadun Purba dan Islam sebagai ‘Ancestor’ Masa Kini  membahaskan beberapa alat-alat muzik pada zaman pra-sejarah. Sebagai contoh, salah satu alat muzik yang tertua yang diakui wujud adalah merupakan sejenis alat ‘tiup’ atau lebih di kenali sebagai seruling pada masa kini. Hal ini dipercayai mula dicipta oleh masyarakat primitif daripada golongan Homo Sapiens yang telah lahir 200,000 tahun dahulu dan dikatakan diperbuat menggunakan tulang-tulang binatang. Oleh itu, secara amnya asal usul alat muzik adalah bermula daripada masyarakat primitif.

Bab ketiga pula bertajuk Perkembangan Alat-Alat Muzik Tradisional Masyarakat Melayu dari Perspektif ‘Adaptational’ dan ‘Indiosyncratic’. Pola adaptational ataupun ‘penyesuaian’ merupakan alat-alat muzik sama ada dari jenis yang digesek, dipalu, diketuk ataupun ditiup yang merupakan suatu artifak seni yang berorganik. Tetapi perubahan dan penyesuaiannya sangat dipengaruhi oleh tuntutan budaya setempat, khususnya dari segi suara, mode muzik, pembuatan serta hiasannya. Manakala, istilah indiosyncratic sering mengambil kira persoalan mengenai kestabilan unsur dan bentuk asal yang masih dikekalkan pada jenis-jenis alat tertentu. Contohnya, sejenis alat tali iatu Gambus yang berasal dari Timur Tengah, namun kini alat tersebut telah sebati dalam budaya muzik sinkretik Melayu tradisi khususnya Ghazal.

Pada bab empat yang bertajuk Klasifikasi Alat-Alat Muzik Tradisional dalam Masyarakat Melayu di Malaysia,  penulis mengklasifikasikan setiap alat-alat muzik dalam empat kumpulan. Empat kumpulan asas ini dikenali sebagai Indiofon, Membranofon, Kordofon, dan Erofon. Pengkelasan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza, iaitu Indiofon merupakan jenis-jenis alat yang mana suaranya dapat dihasilkan secara spontan melalui kaedah laga, goyang dan ketukan seperti gong, simbal dan lonceng. Membranofon pula adalah jenis-jenis alat yang bersifat sumber bunyinya terhasil daripada bahan kulit yang diregangkan seperti gendang.  Manakala, kordofon adalah alat yang bersifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan tali yang diregangkan seperti Harps, Lyre dan Lutes. Akhir sekali, Erofon adalah jenis-jenis alat yang mana sifat dan sumber bunyinya terhasil melalui peniupan ataupun hembusan angina seperti Flutes, Clarinet, dan Trumpets.

Pada bab lima bertajuk Alat-Alat Muzik Utama Masyarakat Suku Kaum Bumiputera di Sarawak dan Sabah. Dalam bab ini ianya berkait rapat dengan pengkelasan alat-alat muzik mengikut kumpulan seperti yang diterangkan pada bab sebelumnya. Tetapi, dalam bab ini hanya memfokuskan alat-alat muzik utama daripada suku kaum di Borneo. Jenis alat muzik erofon yang terdapat di Sarawak ialah Engkerurai, manakala di Sabah pula ialah Sompoton. Seterusnya, jenis alat muzik kordofon yang terdapat di Sarawak ialah Sape atau Sapeh, manakala di Sabah pula ialah Sundatang. Di samping itu, jenis alat muzik idiofon yang terdapat di Sarawak ialah Engkeromong, manakala di Sabah pula adalah Kulintangan. Akhir sekali, jenis alat muzik membranofon yang ada di Sarawak ialah Gendang Wanita atau Bermukum, manakala di Sabah pula adalah Rebana.

Bab keenam iaitu bab terakhir bertajuk Peralatan Muzik Sinkretik yang Berkembang dalam Masyarakat Melayu Bandaran di Malaysia di mana seperti yang kita ketahui dengan kata sifat seperti ‘Asli’, ‘Keroncong’, ‘Ghazal’, ‘Dondang Sayang’ dan sebagainya. Alat-alat seperti Violin, Flute, Gambus, Cello, Gitar Akustik, Double Bass dan lain-lain sering digunakan untuk memainkan muzik-muzik sinkretik tanah air seperti Zapin, Joget, Ghazal, Inang serta Keroncong dan telah menjadi sebahagian yang penting dalam konteks budaya popular masyarakat Melayu bandaran. Sebagai contoh, double bass digunakan dalam muzik sinkretik Keroncong, Flute digunakan dalam muzik sinkretik Keroncong dan Asli dan Maracas digunakan dalam muzik sinkretik Ghazal.

Pada dasarnya, buku ini telah memberikan sumbangan yang besar kepada kelangsungan kesenian dan kebudayaan masyarakat Melayu di Malaysia khususnya dalam mengenali alat-alat muzik tradisional. Hal ini kerana, penerbitan buku ini mengemukakan dan menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan alat-alat muzik tradisional dalam masyarakat Melayu di Malaysia dengan begitu terperinci dan mudah difahami. Tambahan pula, penulis turut menerapkan unsur-unsur grafik dalam menarik minat pembaca terutamanya daripada golongan muda untuk membaca buku ini. Justeru, dapat dirumuskan yang penulis telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang sangat bernilai untuk generasi muda pada masa hadapan.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila dapatkan buku tersebut di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca dan menulis itu bukanlah sekedar hobi, tapi kebutuhan."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.