Select your language

SEJARAH MIGRASI DUSUN DI SABAH

Penulis
DR. SAIMIN GINSARI

Terbitan
TUARAN, SABAH: INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS KENT, 2022.

 Ulasan oleh Pailis Atin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau

Kaum Dusun merupakan kaum yang majoritinya mendiami kawasan pedalaman di Sabah seperti Kiulu, Tamparuli, Ranau, Telupid, Keningau, Tambunan, Kota Belud, Kudat dan Kota Merudu pada hari ini sebenarnya telah melakukan beberapa migrasi sebelum menetap di kawasan-kawasan yang disebutkan. Dipercayai penempatan terawal komuniti ini adalah di Gua Niah sebelum bermigrasi ke kawasan pesisir pantai di sekitar Miri, Baram,  Belait dan Tutong, Borneo. Selepas itu komuniti ini kemudiannya bermigrasi di sepanjang pantai.

Sejarah migrasi Dusun di Pulau Borneo melalui beberapa fasa. Fasa pertama dipercayai bermula sebelum masihi ( s.m ). Pada masa itu, berlaku migrasi daripada penduduk ras mongolid di serata tempat dan membuat penempatan  di  Benua  Sunda  termasuk  kawasan Borneo. Dipercayai salah satu kumpulan manusia yang bermigrasi ini adalah luluhur kominiti Dusun.

Selepas tahun masihi, komuniti ini berpindah daripada penempatan seperti di gua ke kawasan pesisir pantai di sepanjang pantai Borneo. Walaupun  majoritinya bermigrasi ke kawasan pantai, tetapi dipercayai juga sebilangan kecil bermigrasi ke kawasan lain termasuk pedalaman Kalimantan, Sarawak dan Brunei.

Setelah mendirikan  penempatan  di pesisir  pantai, sekali lagi komuniti ini bermigrasi ke utara Borneo. Sebilangan kecil bermigrasi sehingga ke kepulauan Filipina. Migrasi kedua ini disebabkan kekacauan dan ketidakharmonian di penempatan mereka di pesisir pantai. Migrasi kedua ini juga mewujudkan  beberapa  penempatan  baharu  di Borneo  Utara, Sabah. Tetapi penempatan  terbesar  komuniti  Dusun  adalah di Nunuk Ragang, satu penempatan berhampiran sempadan Ranau dan Telupid pada hari ini. Bagaimanapun,  penempatan  ini  tidak  kekal  lama  dan  runtuh pada pertengahan awal abad ke-18. Dipercayai faktor utama keruntuhan adalah kepadatan  penduduk  sehingga  menimbulkan pelbagai masalah lain.

Selain sejarah migrasi komuniti Dusun, perkara penting yang harus diambil  kira  untuk  melihat perkembangan migrasi adalah pengaruh kuasa besar luar ke atas komuniti Dusun. Selain pengaruh empayar Brunei, kebudayaan  China   yang   dibawah   oleh   pedagang - pedagang   China   juga    banyak mempengaruhi komuniti Dusun. Ini khususnya peranan yang    dimainkan oleh pedagang-pedagang yang menjelajah sehingga ke kawasan pedalaman Sabah untuk mencari sumber seperti hasil hutan untuk dibawa       dan didagangkan di Tanah Besar China.

Sejarah migrasi Dusun di Sabah sedikit sebanyak menjelaskan          bentuk budaya dan pemikiran komuniti Dusun di Sabah. Dalam erti kata       yang lain, budaya yang dapat dilihat dalam komuniti ini adalah keinginan  mereka  untuk  hidup  harmoni  tanpa peperangan. Punca utama migrasi fasa pertama, fasa kedua dan fasa ketiga adalah keluar daripada ketidakharmonian di penempatan yang diduduki dan mencari penempatan baharu yang lebih aman. Bagaimanapun, migrasi fasa ketiga telah menyebabkan komuniti Dusun hidup dalam budaya berpuak-puak. Kehidupan berpuak-puak telah memberi mereka gambaran yang tidak baik apabila amalan pemburuan kepala menjadi keutamaan dalam hubungan antara satu puak dengan yang lain.

Kedatangan British dan  pentadbiran  Syarikat  Berpiagam  Borneo  Utara  ( SBBU ) telah menyatukan semula puak-puak Dusun dalam satu kaum  dibawah  nama  “ Dusun ”. Bagaimanapun  sifat berpuak-puak ini masih dibawa  sehingga  hari  ini  apabila  beberapa komuniti dalam kumpulan ini tidak mahu dinamakan  dalam  rumpun Dusunik  sehingga mewujudkan istilah baharu untuk menggantikan Dusun. Namun begitu, sentimen tersebut tidak  menggambarkan  keseluruhan komuniti itu pada  hari  ini. Sebahagian besarnya sudah  mengambil  pengajaran daripada sejarah lampau dan kembali menjadi komuniti yang cintakan keharmonian.

Buku ini adalah koleksi buku rujukan yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat  lanjut  mengenai Sejarah Migrasi Dusun Di Sabah, sila lawati  laman  sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi di talian  088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah gerbang dunia dan membaca adalah kuncinya."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.