Select your language

Ungu Karmila

Terbitan: 2008.

Penerbit: Alaf 21 Sendirian Berhad, 480 Muka surat.

Penulis: Ramlee Awang Murshid.

 

Ulasan oleh Siti Debitha Dawinda, SK Togop Darat Ranau.

Novel ini merupakan satu lagi karya Awang Ahmad Ramlee yang menjadi pilihan pembaca dan peminat bagi genre mistik dan misteri. Novel ini dimulakan dengan tetapan lokasi yang menunjukkan sebuah villa, Villa Sunyi seindah Tajmahal yang didirikan oleh Arif buat isteri tercintanya, Karmilla. Hasil pemberian daripada Arafat, abang Arif, maka terbinalah mahligai indah buat pasangan suami isteri ini di Puncak Rimba Cameron Highlands walaupun bagi penduduk setempat, tanah yang mereka diami itu adalah berpuaka. Mahligai ini menjadi syurga buat mereka di awal usia perkahwinan mereka. Karmilla benar-benar tidak salah memilih Arif sebagai suaminya lantaran Arif merupakan seorang yang penyanyang. Arif juga beranggapan bahawa dia sudah mendapat durian runtuh apabila dapat menjadikan Karmilla sebagai isteri kerana bagi Arif, Karmilla merupakan sosok  yang tiada tolok bandingnya walupun pada hakikatnya, wanita kesayangannya itu tidak mampu memberikan dia zuriat sebagai penyambung keturunannya.

Hari demi hari yang dilalui sentiasa indah bagi pasangan ini namun semuanya bakal berubah apabila Arif, semasa lawatannya ke kawasan larangan di perkampungan itu bertemu dengan satu spesies bunga yang belum pernah lagi dia temui sebelum ini sepanjang dia bekerja sebagai ahli biologi. Meskipun ditegah berkali-kali oleh Tok Batin untuk membiarkan bunga itu tidak terusik, Arif berdegil untuk memilikinya kerana bagi Arif, perkara tahyul adalah bertentangan dengan norma kerjanya yang berkait rapat dengan kerja-kerja saintifik. Sayang sekali, tindakan Arif membawa bala kepada keluarganya sendiri. Dengan bunga ditangannya, Arif menghasilkan bunga ros baharu, kacukan daripada bunga liar yang ditemuinya dan bunga ros. Bunga indah berwarna ungu itu kemudiannya dinamakan sebagai Ungu Karmilla, kerana dia begitu cintakan Karmilla. Lama- kelamaan, Karmilla mulai berasa takut dengan perubahan sikap Arif yang semakin pelik dan menakutkan.

Beberapa ketika selepas itu, Tok Batin yang bertindak untuk mengunjungi Arif sebagai tanda perdamaian atas perkelahian mereka tempoh hari mengenai tindakan Arif mengambil bunga liar tersebut dikejutkan dengan penemuan mayat pasangan Arif dan Karmilla serta Jainab (pembantu rumah) dalam keadaan yang mengerikan dan menyayat hati. Semenjak detik itu, penduduk setempat semakin mempercayai bahawa villa itu berhantu dan bertindak untuk menjauhi villa itu kerana takut akan membangunkan semangat yang menghantui rumah tersebut. 6 tahun kemudia, berlaku lagi satu kematian di villa itu. Jikun, seorang pemuda dari suku kaum orang asli menceroboh villa tersebut atas dorongan sifat ingin tahunya dan akhirnya berakhir dengan kematian. Hal ini mendorong Ema, adiknya yang merupakan seorang doktor dalam bidang bioteknologi untuk merungkai misteri kematian abangnya dengan villa tersebut.

Arafat, abang arwah Arif juga berusaha untuk membuktikan bahawa adiknya, Arif bukanlah seorang pembunuh dan percaya bahawa terdapat sesuatu yang misteri mengenai villa tersebut. Dia mengupah Dino, bekas banduan yang tidak gentar kepada cabaran untuk bekerja sama dengan sekumpulan pengkaji paranormal untuk merungkai misteri villa tersebut. Akhirnya, segala misteri dapat dirungkai walaupun dengan berakhirnya riwayat beberapa watak-watak dalam novel ini. Segalanya berpunca daripada bunga Ungu Karmilla yang tanpa pengetahuan Arif, dari proses pendebungaannya menghasilkan sfora yang menyebabkan halusinasi kepada mereka yang menghidunya dengan sengaja atau tanpa sengaja. Hal ini menjelaskan bahawa seseorang individu akan berhalusinasi dan beranggapan bahawa apa yang difikirkannya menjadi hal yang benar. Oleh kerana terpengaruh dengan cerita-cerita mistik mengenai villa tersebut berpuaka, maka mereka yang terhidu sfora yang memenuhi ruang udara villa tersebut akan terpengaruh dengan kehadiran entiti hantu dan sebagainya sedangkan sebenarnya mereka berada dibawah pengaruh sfora tersebut.

Apa yang boleh dikatakan mengenai novel ini adalah, penulis telah mengolah jalan ceritanya dengan sangat menarik. Beliau menggabungkan unsur mistik dan saintifik dalam penulisannya menyebabkan pembaca dapat merasai sensasi yang berbeza dengan karya-karyanya sebelum ini. Apa yang menarik, kita boleh lihat sendiri pendirian penulis melalui karyanya yang ini. Beliau tampak percaya pada kehadiran makhluk halus pada awalnya namun sentiasa memberikan penjelasan kepada unsur tersebut dengan kajian dan penemuan sains. Penulis juga berjaya mengembangkan watak sampingan melalui penulisan plot yang sentiasa menunjukkan kesinambungan. Apa-apa pun, novel ini sangat menarik begi mereka yang gemarkan genre horror, thriller, mistik, saintifik dan suspen.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Banyak orang, di antaranya saya, merasa lebih baik hanya dengan melihat sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.