Select your language

PENYAKIT ANGIN AHMAR, PNEUMONIA DAN ASMA

Penulis
MOHD SHARAJI ZULKEPLY

Terbitan
KUALA LUMPUR: PENA INTELEK ENTERPRISE, 2024. 64 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Siti Maryani Binti Johari, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kunak.

Buku Penyakit Angin Ahmar, Pneumonia dan Asma hasil tulisan Mohd Sharaji Zulkepli merupakan sebuah sumber rujukan kesihatan yang informatif dan komprehensif. Ia membincangkan secara terperinci tiga penyakit utama yang kerap menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia. Penulis menggunakan bahasa yang mudah difahami serta pendekatan mesra pembaca, menjadikan buku ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat, termasuk pelajar, penjaga pesakit dan petugas kesihatan.

Bahagian pertama memberi tumpuan kepada penyakit angin ahmar (strok), iaitu antara penyebab utama kematian dan kecacatan di negara ini. Penulis menerangkan jenis-jenis strok, simptom awal yang perlu dikenalpasti, serta faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol dan diabetes. Beliau turut menekankan kepentingan langkah pencegahan seperti pemantauan kesihatan secara berkala, pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.

Bahagian kedua membincangkan penyakit pneumonia, iaitu jangkitan paru-paru yang serius dan boleh membawa maut, terutama dalam kalangan bayi, warga emas, serta individu yang mempunyai sistem imun yang lemah. Penulis menjelaskan tentang punca jangkitan, tanda-tanda awal, dan rawatan yang diperlukan. Kepentingan pengesanan awal, vaksinasi serta penjagaan kesihatan yang menyeluruh turut ditekankan bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Dalam bahagian ketiga, penulis menyentuh tentang penyakit asma, iaitu satu keadaan pernafasan kronik yang sering dianggap ringan tetapi boleh membahayakan nyawa jika tidak dikawal dengan baik. Penjelasan yang jelas diberikan mengenai mekanisme serangan asma, pencetus seperti habuk, asap dan alergen, serta peranan penting alat sedut (inhaler) dalam pengurusan penyakit ini. Penulis turut memberi panduan praktikal kepada pesakit dan penjaga dalam mengurus simptom dan mencegah serangan.

Secara keseluruhannya, buku ini padat dengan maklumat berguna dan ditulis dengan penuh keprihatinan terhadap isu kesihatan awam. Ia bukan sahaja memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang penyakit angin ahmar, pneumonia dan asma, malah turut menyediakan panduan pencegahan dan pengurusan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Buku ini sangat sesuai dijadikan rujukan asas dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit-penyakit kronik yang sering berlaku di Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kunak di talian 089-851248 atau 089-852995, ataupun Perpustakaan Negeri Sabah terdekat anda. Selain itu, anda juga boleh lawati laman sesawang kami di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 bagi mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya bisa berpikir sama seperti semua orang." - Haruki Murakami

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.