Select your language

BULI: APA ANDA PERLU TAHU

Penulis
MOHD. SHAH A’SHAARI DAN AZMAN IBRAHIM

Terbitan
JOHOR BAHRU: ABS TINTA, 2006. 59 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Bettlieynna Wakilin, Perpustakaan Desa, Kampung Perancangan, Ranau

Buli boleh didefinisikan sebagai perbuatan tingkah laku agresif yang terjadi secara berulang-ulang yang bertujuan untuk menyakiti mangsa secara fizikal atau psikologi. Buli juga ditafsirkan sebagai perbuatan jenayah ataupun perbuatan jahat yang dilakukan oleh seorang atau secara berkumpulan. Selain itu, buli boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk tingkah laku yang berbeza seperti serangan fizikal, bahasa iaitu melaui penggilan nama dan ejekan, melakukan peras ugut dan sebagainya.

Budaya membuli wujud apabila manusia saling berinteraksi seperti di sekolah, keluarga, tempat kerja dan kawasan kejiranan. Dewasa ini, kes buli dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin mendapat liputan dengan banyak kes buli yang dilaporkan berlaku terutamanya yang membabitkan pelajar sekolah. Malah, kebanyakannya berlaku sekitar kawasan sekolah yang merupakan tempat untuk menimba ilmu.

Isu buli ini tidak boleh dianggap ringan tetapi haruslah dipandang serius. Semua pihak seperti ibubapa, pihak sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa haruslah berkerjasama untuk menangani masalah ini dari terus menular dan membelenggu masyarakat terutamanya para pelajar sekolah. Oleh yang demikian, buku yang bertajuk “Buli: Apa Yang Perlu Anda Tahu” hasil tulisan Mohd Shah A’shaari dan Azman Ibrahim ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan untuk semua lapisan masyarakat bagi mengetahui tentang buli.

Buku ini dibahagikan kepada sepuluh bahagian yang menerangkan tentang apa itu buli, jenis buli, siapa pembuli dan mangsa, faktor berlakunya buli, bila berlakunya buli, mengapa si pembuli membuli mangsanya, kesan-kesan buli serta bagaimana mengatasi buli. Di samping itu juga, penulis turut memaparkan beberapa kes buli yang berlaku di Malaysia untuk dijadikan contoh bahawa kes buli ini sememangnya membawa kesan yang negatif dan perlu diambil perhatian.

Suatu perkara itu akan menjadi besar dan serius apabila mengakibatkan kecederaan yang serius apatah lagi membawa kematian. Memandangkan generasi masa kini adalah tunggak masa depan negara, maka dengan itu masalah buli ini perlu ditangani dan dibanteras bermula di peringkat sekolah agar tidak berleluasa dan merosakkan keharmonian masyarakat kelak. Masyarakat yang sejahtera bermula dengan individu yang berakhlak mulia, bahagia serta berketrampilan agar dapat melahirkan modal insan yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.

Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Perancangan, Ranau. Jika anda berminat untuk mengetahui buku ini dengan lebih lanjut sila hubungi kakitangan yang bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku adalah gerbang dunia dan membaca adalah kuncinya."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.