Select your language

Tumbuhan Herba Untuk Mengatasi Influenza

Penulis
Herti Maryani dan Lusi Kristiana

Adaptasi
Syahaneem Sharbani

Terbitan
Kuala Lumpur: Synergy Media Books. 63 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Jokiah Gandili, PNS

Influenza merupakan penyakit berjangkit di saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus yang tersebar di udara dengan bebas, terutama dari cairan bersin atau batuk yang dikeluarkan oleh pesakit influenza. Penyakit ini sangat mudah merebak dan paling mudah dialami oleh sesiapa sahaja tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak. Influenza boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius dan boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti. Oleh itu, kita perlu bijak mengambil langkah-langkah untuk berwaspada terhadap gejala penyakit influenza ini.

Gejala yang sering berlaku akibat serangan virus influenza terbahagi kepada dua iaitu jangkitan saluran pernafasan seperti bersin, hidung berair, hidung tersumbat, sakit telinga dan sesak nafas. Gejala kedua pula adalah reaksi sistem badan seperti sakit badan, sukar bernafas, demam panas, sakit kepala, lelah yang luar biasa, batuk yang tidak produktif, sakit kerongkong, selsema, kadang-kadang gatal mata dan berair serta cirit-birit, sakit perut, mual dan muntah yang terjadi umumnya, pada kanak-kanak. Kebiasaannya, masyarakat keliru antara influenza dan selsema biasa kerana gejala kedua-duanya adalah sama. Tetapi, influenza lebih bahaya dan menjejaskan seluruh badan. Influenza merupakan self limited disease yang bermaksud penyakit yang akan sembuh sendiri seiring dengan ketahanan tubuh secara semulajadi kecuali terjadi komplikasi. Influenza dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu lain melalui titisan salur pernafasan apabila bercakap, batuk dan bersin. Titisan ini juga boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut. Bersentuhan dengan orang yang terinfeksi secara tidak langsung juga boleh menyebabkan seseorang itu mendapat virus influenza.

Menurut penulis, rawatan ke atas pesakit yang tidak mengalami komplikasi adalah berehat dengan secukupnya untuk mengembalikan semula tenaga dan juga boleh mengurangkan lelah dan sesak nafas, banyak minum air juga membantu menghilangkan cairan atau lelehan dari hidung serta menghindari kekurangan air dalam badan dan juga perlu makan makanan yang berkhasiat. Pesakit juga disarankan mandi menggunakan air suam atau mandi wap untuk mengurangkan rasa sengal pada otot dan merangsang pengeluaran peluh supaya demam cepat sembuh. Virus influenza mudah merebak di udara ketika batuk atau bersin. Oleh itu, pesakit dinasihatkan memakai pelitup muka agar tidak menjangkiti orang lain, mendapatkan vaksin, kerap mencuci tangan, orang yang tidak dijangkiti perlu menjauhi tempat dan individu yang dijangkiti virus influenza, mengamalkan cara batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung setika batuk atau bersin dengan menggunakan tisu dan membuang tisu tersebut ke dalam tong sampah dan banyakkan bersenam atau melakukan aktiviti riadah serta mengambil pemakanan secara diet yang seimbang.

Perubatan tradisional telah lama dipraktikkan dikalangan masyarakat dan buku ini, Tumbuhan Herba Untuk Mengatasi Influenza membincangkan herba-herba yang boleh digunakan untuk mengubati influenza. Terdapat 30 jenis herba yang dibincangkan dalam buku ini. Antara herba yang terdapat dalam buku ini, yang boleh mengatasi influenza adalah cengkih, bawang merah, bawang putih, belimbing buluh, asam jawa, halia, limau nipis, kunyit, kayu manis,jintan, dukung anak, sirih dan banyak lagi. Penggunaan herba untuk mengubati influenza perlu dilakukan setiap hari sehingga sembuh tetapi pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi, diabetes, hipertiroid dan jantung, penggunaan herba perlu dilakukan secara berhati-hati dan mengikut sukatan yang betul untuk mengelakkan kesan sampingan. Semasa proses penyediaan juga perlu sentiasa mengamalkan kebersihan.

Buku ini menyediakan cara-cara untuk menyediakan ramuan untuk mengurangkan gejala influenza dan juga untuk beberapa penyakit lain.  Bahan-bahan yang diperlukan untuk ramuan tersebut, cara penyediaan dan cara penggunaan juga dinyatakan untuk memudahkan pembaca mengikut sukatan yang betul. Ramuan untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak adalah berlainan kerana dos yang diperlukan oleh kanak-kanak hanya setengah daripada dos yang diperlukan oleh orang dewasa. Dalam buku ini juga terdapat pengalaman-pengalaman mereka yang pernah menggunakan ramuan tradisional untuk menyembuhkan penyakit mereka dan pengalaman mereka ini boleh dijadikan panduan bagi kita.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan anda dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.