Select your language

STRUKTUR ADAT KEMATIAN MENYINGKAP PANDANGAN ALAM DAN KOSMOLOGI MASYARAKAT BAJAU

Penulis
HALINA SENDERA MOHD. YAKIN

Terbitan
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH. 168 MUKA SURAT.

Ulasan oleh Radzata Binti Abd. Razak, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang

Kematian merupakan suatu realiti kehidupan yang pasti ditempuhi oleh setiap manusia di muka bumi ini, menandakan berakhirnya hayat dan tugasan manusia dan putusnya hubungan antara si mati dengan dunia nyata. Kematian melambangkan kesedihan kerana melibatkan pemisahan secara fizikal dan kekal antara mereka yang telah meninggalkan kehidupan dunia dan juga mereka yang masih berupaya meneruskan perjalanan hidup di muka bumi ini. Umumnya, manusia mempercayai memasuki sebuah alam lain yang yakni alam yang berada di luar alam nyata seperti alam roh, alam barzakh dan sebagainya. Secara simboliknya, ritual-ritual akan dilaksanakan dalam menunaikan adat kematian yang dipercayai dapat memberikan satu laluan masuk untuk menerobosi ke alam seterusnya bertunjangkan sistem kepercayaan dan nilai yang didukung oleh masyarakat pengamalnya.

Di Sabah terdapat kerencaman budaya dalam kalangan etnik yang bervariasi di dalam pengendalian kematian. Perbezaan dalam pengurusan kematian tersebut bersangkut paut dengan amalan budaya yang diamalkan dan sebarang artifak budaya yang diaplikasikan oleh masyarakat tertentu pastinya menerbitkan makna tertentu oleh masyarakat yang mendukung budaya berkenaan. Salah satu kaum yang memaparkan keunikan dalam adat kematiannya ialah masyarakat Bajau, yang juga dikenali sebagai masyarakat Sama. Bajau merupakan etnik peribumi kedua terbesar di Sabah, mereka boleh ditemui hampir di segenap pelosok negeri Sabah seperti di bandar, pedalaman, persisiran pantai hinggalah ke pulau-pulau. Walaupun demikian, majoriti masyarakat Bajau di Sabah terdapat banyak di dua daerah utama iaitu Kudat dan Semporna. Berpandukan kepada kedudukan geografi dan lokasi kependudukan, masyarakat ini boleh diklasifikasikan kepada dua golongan utama iaitu orang Bajau Pantai Barat dan orang Bajau Pantai Timur. Majoriti masyarakat Bajau di Sabah menganut agama Islam kecuali beberapa suku etnik Bajau di Semporna khususnya 'Palau' yang masih pagan.

Buku 'Struktur Adat Kematian Menyingkap Pandangan Alam dan Kosmologi Masyarakat Bajau', bermatlamat untuk mengetengahkan struktur kematian masyarakat Bajau daerah Kota Belud yang terletak di sebelah pantai barat dan membincangkan aspek-aspek perubahan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada perubahan adat tersebut. Di samping itu, penulis turut membincangkan peredaran ritual dalam adat berkenaan dengan berpandukan kepada skema ‘tripartite Van Gennep’ yang merangkumi tiga peringkat utama iaitu pemisahan, peralihan dan juga penggabungan semula. Di mana penulis akan memfokuskan kepada proses, amalan dan ritual berhubung dengan kematian dan juga perubahan struktur yang berlaku dalam adat tersebut. Oleh hal yang demikian, penulis akan memaparkan amalan-amalan yang dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi kematian dan mendeskripsikan proses atau rangkaian secara kronologi ritual atau upacara-upacara yang dijalankan setelah berlakunya kematian, yakni sebelum, semasa dan selepas pengebumian jenazah.

Oleh itu, buku ini sangat bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang struktur adat kematian khususnya dalam kalangan masyarakat Bajau. Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Cawangan Sipitang dan anda boleh berhubung dengan kakitangan bertugas untuk pinjaman atau tempahan pinjaman. Sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 087-821003 (Perpustakaan Cawangan Sipitang), 088-231623 (Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah), 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.