Select your language

Rooftop Rant

Terbitan: Febuari 2009.

Penerbit: Jemari Seni Publishing, 538 mukasurat.

Penulis: Hlovate.

 

Ulasan oleh Siti Debitha Dawinda, SK Togop Darat Ranau.

Buku ini ini berkisar mengenai dua watak utama novel ini yang menemui erti sebuah kehidupan melalui perkenalan antara sesama sendiri. Novel ini diterajui oleh Zaid dan Batrisya yang lebih dikenali sebagai Jade dan Trisy. Dua personaliti yang berbeza namun ternyata menjalani kisah hidup yang hampir sama. Batrisya atau Trisy merupakan seorang gadis berusia 16 tahun. Dia dilahirkan dalam keadaan yang mewah dan dari keluarga yang berada. Namun begitu, kehidupannya kosong dan sunyi lantaran kesibukan ibu dan ayahnya yang tiada penghujung. Ditambah pula dengan keadaan ibu bapanya yang sering bergaduh, Trisy terumbang-ambing dalam menentukan jalan hidupnya. Pernah beberapa kali percubaan untuk menamatkan riwayatnya dilakukan dengan menelan pil-pil tidur namun gagal. Abang dan kakak Trisy juga bertindak untuk meninggalkan rumah yang mereka diami kerana sudah tidak tahan dengan kehidupan yang berantakan. Tinggallah Trisy dan Buk Jah (orang gaji) sahaja di rumah.

Zaidi (Jade) pula merupakan seorang lelaki yang biasa-biasa sahaja. Dia merupakan anak kedua dari 3 orang adik beradik. Ayahnya merupakan seorang pengetua sekolah dan ibunya adalah suri rumah. Tentu sahaja, keluarga Jade menitikberatkan akademik sehingga menyebabkan Jade berasa tersisih apabila sering dibandingkan dengan abang dan adiknya dari segenap aspek. Tidak kira taraf pendidikan dan juga akhlaknya. Jade merupakan penuntut di sebuah kolej swasta sedangkan abang dan adiknya mendapat tempat di sebuah IPTA terkemuka di Malaysia. Minat Jade yang lebih kepada bidang seni juga menjadikan dia seorang yang sering direndahlan oleh ibunya kerana beranggapan bahawa bidang seni tidak akan mampu menjanjikan masa depan yang serah buatnya. Ini membuatkan Jade sering berjauh hati dan membawa diri ke rooftop untuk meladeni perasaannya sendiri.

Pertemuan antara Trisy dan Jade adalah tidak disengajakan apabila Jade menemui Trisy dalam keadaan tidak sedarkan diri di rooftop yang sama. Pada awalnya, Jade beranggapan bahawa Trisy merupakan seorang budak lelaki dari cara pemakaiannya yang agak ‘boyish’. Dari pertemuan mereka pada malam itu, rooftop tersebut menjadi ‘port’ bagi mereka untuk berjumpa. Disanalah mereka berkongsi masalah dan berbagi cerita mengenai kehidupan. Jade, dengan lukisannya dan Trisy dengan bebelannya mengenai keluarganya yang sering membuatkan dirinya pusing. Setelah beberapa bulan, Trisy diarahkan oleh ibu bapanya untuk pulang ke kampung menemani atuk dan neneknya di sana. Maka, terpisahlah hubungan antara Jade dan Trisy. Jade pula cuba melebarkan sayapnya dalam bidak lukisan dengan majalah Hah Ha hasil bantuan Jason, kenalan kepada Trisy.

Di kampung, Trisy dididik dengan keras oleh atuk, nenek dan Pak Su-nya untuk menjadi seorang insan yang lebih berguna. Dia diajar untuk membaca Al-Quran, mengenakan tudung dan membaca buku-buku berilmiah. Dia mulai fokus terhadap akademiknya dan akhirnya berjaya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di Aberdeen. Sepanjang tempoh dia dibesarkan di kampung sehinggalah dia menjadi mahasiswi di sebuah universiti terkemuka di luar negara, dia tidak pernah lupa untuk mengirimkan surat kepada Jade untuk bertanya khabar. Namun begitu, oleh kerana semakin sibuk dalam membina tapak yang kukuh dalam kariernya, Jade sudah semakin jarang membalas surat yang Trisy berikan. Akhirnya, tidak ada langsung surat yang Trisy terima daripada Jade.

Pada akhirnya, apabila Jade sudah tidak lagi dibandingkan dengan adik beradiknya, ibu bapanya sudah tidak memandang rendah pada bidang seni dan dia sudah berjaya menjadi pelukis dan kartunis yang terkemuka, dia sudah mampu tersenyum kerana berhasil memberikan inspirasi kepada semua pembacanya, Jade dipertemukan semula dengan Trisy yang sudah berusi 22 tahun. Tidak ada lagi kekacauan dalam jiwa Trisy kerana keluarganya sudah berubah menjadi lebih baik, sudah tidak kesunyian lagi dan mula menapak membina kariernya sendiri pula. Jade mengutuskan surat kepada Trisy, meminta izin untuk menerbitkan kisah mereka berdua di rooftop dahulu. Kisah bagaiman Trisy merubah dan memberi inspirasi kepada Jade untuk merubah kehidupannya menjadi lebih baik dan bagaimana Trisy bangkit untuk perbaiki jalan cerita hidupnya sendiri. Dan yang pasti, Jade juga meminta izin untuk mereka membina kehiduoan bersama. Akhirnya, mereka berdua disatukan.

Buku ini adalah pembacaan yang sangat ringan. Hlovate lebih fokus kepada pembinaan watak masing-masing sepanjang penulisan novel ini. Apa yang lebih menarik, tidak ada langsung elemen romantik antara hero dan heroinnya sepanjang perkenalan mereka. Penulis memilih untuk menjadikan jalan ceritanya lebih santai menjadikan pembacaan ini sangat ringan dan sesuai untuk pambaca dari segenap usia. Penulis memberi ilham kepada pembaca untuk sentiasa memberi peluang kepada kehidupan walaupun terkadang ada masanya ia pahit, namun di penghujungnya pasti beroleh kemanisan.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tak pernah membaca buku sama buruknya dengan orang yang tak bisa membaca buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.