A- A A+

Rempah-Ratus: Khasiat Makanan & Perubatan

Penulis
Ong Hean Chooi

Terbitan
Kuala Lumpur:  Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2008.  255 Muka Surat.

Ulasan oleh Abdul Halim Miun, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Belud

Berapa ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tahu, bahawa penyakit seperti gastrik, sakit gigi, gout, demam campak, kencing manis, kurap dan rabun dapat dirawat dengan rempah ratus yang sering digunakan dalam masakan seharian seperti kayu manis, bunga cengkih dan ketumbar?

Pada masa kini, ubatan atau suplemen berasaskan herba sudah menjadi amalan ramai orang yang mencuba cara alternatif dalam penjagaan kesihatan tubuh. Rempah-ratus ini yang telah digunakan sejak ribuan tahun silam kini menjadi pilihan masyarakat moden bagi pelbagai tujuan, terutama sekali dalam konteks rawatan kecantikan dan pemulihan penyakit.

Menerusi buku Rempah-ratus: khasiat makanan dan ubatan ini, pembaca didedahkan dengan 76 jenis rempah-ratus atau tumbuhan yang berkhasiat tinggi dan dipercayai sangat mujarab dalam merawat pelbagai  penyakit.  Disamping itu, penulis juga turut  menyertakan maklumat-maklumat seperti nama vernakular, nama botani, sinonim, nama famili, asal dan taburan, morfologi, kandungan, penanaman, penyakit dan perosak, khasiat makanan dan ubatan serta beberapa kegunaan lain pada setiap tumbuhan rempah-ratus tersebut.

Walaupun, buku ini tidak menyediakan formula dan panduan terperinci ataupun cadangan campuran ubat herba serta dos yang sesuai untuk rujukan penggunaan, Namun penulis telah menyelitkan gambar-gambar berwarna serta pelbagai nama panggilan dan juga pemerian atau penerangan bagi memudahkan pengecaman. Ini kerana penulis berpendapat, jika sekiranya pengguna tersalah 'cam' dan herba tersebut digunakan untuk perubatan atau makanan boleh menimbulkan masalah yang serius.

Sehubungan dengan itu, penulis juga turut mengingatkan para pengguna agar berhati-hati serta perlu memahami bahagian atau isi kandungan setiap rempah-ratus yang digunakan bagi tujuan perubatan umpamanya kandungan nutrien dan ubatan, formulasi dan penyediaan ubat herba serta risiko penggunaannya.

Antara lain tujuan penulisan buku ini adalah untuk mengumpul semua data yang diperoleh berkaitan dengan rempah-ratus yang ada di Malaysia atau yang diimport untuk pengetahuan dan maklumat orang ramai. Kesemua fakta yang terdapat pada buku ini adalah hasil rujukan penulis daripada pelbagai sumber termasuklah pengalaman peribadinya yang sudah berpuluh-puluh tahun melakukan kajian dalam bidang etnobotani.

Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan untuk mengisi masa lapang dan  juga boleh dijadikan bahan rujukan oleh golongan pelajar yang terlibat dalam kajian  berkaitan dengan rempah-ratus atau tanaman herba.  Selain daripada sarat dengan fakta yang tepat, penghuraian maklumat yang terdapat pada buku ini ringkas dan mudah difahami.

Dengan pembacaan buku ini, para pengguna akan lebih memahami dan mengetahui akan fungsi dan khasiat setiap rempah ratus yang digunakan dalam masakan sehari-hari.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 218726 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.