Select your language

Rahsia Kecantikan Semulajadi Wanita Jepun

Penulis
Keiko Masami

Alih bahasa
Rafidah Binti Rizal

Terbitan
Batu Caves, Selangor : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd., 2014.  248 Muka Surat.

Ulasan oleh Salina binti Titi, Seksyen Perkhidmatan Pembaca, Perpustakaan Cawangan Sandakan

Kecantikan adalah anugerah, manakala penjagaannya merupakan suatu kewajipan.  Bagi wanita, kecantikan merupakan suatu perkara yang sangat dititik beratkan.  Pelbagai definisi kecantikan sebagaimana banyaknya cara wanita dalam menjaga dan merawat kecantikan.

Apabila disebutkan tentang cantik, ia merupakan sesuatu yang abstrak. Ini kerana setiap orang ada persepsinya yang tersendiri.  Namun apa pun persepsi tentang kecantikan, yang perlu kita fahami adalah kecantikan itu merupakan anugerah dan menjaga kecantikan pula adalah satu kewajipan.  Bukan sahaja itu, kecantikan bukan hanya terletak pada luaran semata-mata tetapi kecantikan yang paling utama adalah sihat tubuh badan serta jiwa dan fikiran.

Menyingkap tentang buku ‘Rahsia Kecantikan Semulajadi Wanita Jepun’ ini memberi kita pelbagai petua dan resipi diet yang menyihatkan bukan sahaja untuk kesihatan luaran malah dalaman. Buku ini memberikan tip-tip kecantikan dan kesihatan yang menggunakan sepenuhnya bahan semulajadi yang juga menjadi makanan harian kita. Bahan-bahan tersebut diadun dan boleh dijadikan sebagai masker, pencuci muka, pelembap dan banyak lagi.

Menurut penulis, kunci kecantikan para wanita Jepun terletak pada kulit dan rambut.  Mereka mempunyai kulit lembut dan tanpa berbintik, terutamanya dibahagian muka mereka.  Hal ini kerana mereka yang gemar mengambil makanan dan minuman yang mengandungi kolagen. Makanan dan minuman yang mengandungi kolagen sangat mudah ditemui di pasaraya, malah sudah banyak restoran yang menyediakan makanan yang mengandungi kolagen.

Para wanita Jepun mengambil kolagen agar kulit mereka tetap halus, kerana kolagen merupakan protein utama yang menyusun 75% kulit serta berfungsi memberikan kekuatan dan kehalusan pada kulit.  Rambut lurus juga dianggap cantik, dan kebanyakan rambut wanita Jepun itu semulajadi lurus. Rambut lurus diibaratkan dengan gadis cantik di Jepun.

Para wanita Jepun merawat kecantikan dengan memanfaatkan kekayaan alam yang sudah banyak tersedia di persekitaran mereka.  Mereka memanfaatkan buah-buahan, sayur-sayuran, sake dan kotoran burung bulbul untuk merawat kulit dan rambut mereka dari luar.  Kecantikan mereka sangat sederhana dan anggun.

Oleh itu, semua rahsia kecantikan wanita Jepun itulah yang dikupas secara terperinci dalam buku ini.  Semoga buku ini bermanfaat bagi kita semua demi meraih kecantikan seperti wanita Jepun. Pelbagai informasi dan tip-tip tentang cara-cara penjagaan kecantikan wanita Jepun telah dikongsi dalam buku ini.

Cara penyampaian serta bahasa yang diguna jelas dan mudah difahami.  Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Kalau kamu hanya membaca buku yang dibaca semua orang, kamu hanya boleh berfikir sama seperti semua orang." (Haruki Murakami).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.