Select your language

Q & A Kecurangan Dalam Perkahwinan

Penulis
Aamin Aziz dan Zu Othman

Terbitan
Shah Alam, Selangor: Familyfirst Consultancy LLP, 2016.  157 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Mohamad Rahim Bin Abdullah, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Sandakan

Setiap manusia pastinya mempunyai keinginannya yang tersendiri dan antaranya adalah membina masjid bersama insan yang dicintai. Namun, kebahagiaan sepanjang berumahtangga tidaklah semudah seperti yang diimpikan kerana langit tidak selalunya cerah. Hal ini demikian kerana, alam perkahwinan tidak terlepas dari mengharungi pelbagai pancaroba dan antaranya ialah isu kecurangan.

Pada masa kini, permasalahan dalam masyarakat dan institusi kekeluargaan sering terpampang di muka-muka akhbar, serta sering kedengaran juga dari mulut masyarakat itu sendiri tentang isu kecurangan yang kian membara dalam institusi perkahwinan dan rumahtangga.  Menurut penulis, isu kecurangan merupakan menjadi salah satu punca berlakunya penceraian di Malaysia.  Keadaan ini sering dikaitkan dengan hubungan rahsia di luar perkahwinan dengan orang ketiga. 

Menurut buku ini, perceraian bukanlah jawapan yang tepat bagi permasalahan yang menimpa sesebuah mahligai cinta yang dibina. Pihak yang terlibat sama ada suami, isteri mahupun pihak ketiga pastinya dihantui dengan pelbagai persoalan tanpa jawapan yang pasti. Kenapa dia curang?  Apa kurangnya aku lebihnya dia?  Siapa yang harus dipersalahkan?  Apa keputusan: Teruskan atau putuskan?  Inilah antara persoalan-persoalan yang pastinya memberi kesan terhadap pasangan dan hubungan, malahan anak-anak mereka juga terkena tempias yang akhirnya akan mempengaruhi perkembangan dan cara hidup mereka kelak.

Buku yang berjudul Q & A Kecurangan Dalam Perkahwinan ini bertujuan membantu mereka yang menderita dalam diam dan buntu dalam mencari titik penyelesaian mengenai isu yang mereka dihadapi, juga bagi membantu masyarakat masa kini untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik agar mental dan emosi anak-anak tidak terganggu. Turut dibincangkan dalam buku ini ialah bagaimana kecanggihan teknologi masa kini dapat memberi impak terhadap gaya hidup dan hubungan sesama manusia.

Setiap penyakit pasti ada ubatnya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Pilihan adalah terletak ditangan pasangan masing-masing dan bukannya dengan menuding jari mencari salah siapa. Keadaan ini boleh diselamatkan sekiranya kedua-dua pasangan bersedia memaafkan kesilapan lalu dan bekerjasama dalam memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri masing-masing. Bolehkah saya mempercayainya semula? Buku ini memberi panduan untuk membetulkan kembali hala tuju rumah tangga.

Segala jawapan, perbincangan, kupasan dan huraian di dalam buku ini adalah melalui pengalaman penulis daripada kes-kes rumah tangga yang dikendalikan, pengalaman pengamal kaunseling dan psikologi serta kajian dan literatur mengenai kecurangan. Cara penulisan santai, bahasa yang digunakan juga ringkas dan mudah difahami.  Buku ini juga turut disertakan hujah dengan dali-dalil naqli Al-Quran dan Hadith sebagai panduan. Penulis berharap, buku ini dapat memberi pemahaman dan pencerahan tentang kecurangan di samping meleraikan kebuntuan dan menjawap persoalan-persoalan yang sering bermain difikiran masyarakat.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.