Select your language

Pumpunan Budaya Etnik Peribumi Di Sabah

Penyunting
Saidatul Nornis Hj. Mahali

Terbitan
Kota Kinabalu, Sabah: Universiti Malaysia Sabah, 2017. 246 Muka Surat.

Ulasan oleh Professor Saidatul Nornis  Hj. Mahali, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah

Buku ini menghimpunkan sebelas makalah yang disatukan di bawah judul ‘Pumpunan Budaya Peribumi di Sabah’. Kesebelasan makalah berkenaan ditulis oleh para penyelidik yang menumpukan perhatian terhadap budaya masyarakat peribumi di Sabah. Makalah pertama ditulis oleh Azlan Shafie Abdullah @ Raymond Majumah & Romzi Ationg dengan tajuk Nilai Teras Masyarakat Rungus; makalah kedua dengan tajuk disumbangkan oleh Rosliah Kiting dengan judul Nilai-Nilai Agama dalam Sudawil Masyarakat Kadazandusun; Makalah berikutnya bertajuk Nyanyian Rakyat Etnik Rungus di Sabah: konsep, jenis kategori dan ciri dihasilkan oleh Raymond Majumah @ Azlan Shafie Abdullah membentuk makalah ketiga dalam buku ini. Makalah keempat pula dikaryakan oleh Humin Jusilin berjudul Warna dalam Upacara Adat Masyarakat Iranun Di Sabah; dengan judul Tajau dan Peranannya dalam Pelestarian Adat Perkahwinan Masyarakat Murut Tahol,  makalah ini membentuk makalah kelima yang disumbangkan oleh Abd Hakim Mohad. Undang-undang Adat dalam Konteks Peribumi Sabah pula merupakan makalah keenam yang disumbang oleh Saidatul Nornis Hj. Mahali; seterusnya makalah ketujuh yang ditulis oleh Esterlina Moo Chin Len Lazarus berjudul Teknik dan Pemakaian Sigal Etnik Rungus di Sabah; diikuti oleh tulisan Halina Sendera Mohd Yakin berjudul Citra Etnik Bajau di Sabah: Pengaruh Sistem Kepercayaan dan Agama dalam Evolusi Adat dan Ritual Kematian yang membentuk makalah kelapan. Makalah berikutnya disumbangkan oleh Norjiettah @ Julita Taisin dengan tajuk Penyakit dan Rawatan dalam Kepercayaan Tradisional Kadazandusun merupakan makalah kesembilan dalam buku ini. Selain itu, makalah kesepuluh berkait dengan perubatan turut disumbang oleh Sanen Marshall dan Veronica Petrus Atin berjudul Wabal Cacar dalam Masyarakat Dusun: Persaingan antara Perubatan Tradisional dan Perubatan Moden di Borneo Utara, dan makalah penutup pula ditulis oleh Milus Alu dengan judul Masyarakat Iranun: satu penelitian sejarah.

Kesemua makalah berkenaan memperlihatkan kerancuan kelompok sosial yang secara tidak langsung menyumbang kepada perilaku budaya berbeza. Konteks ini menyebabkan masyarakat di Sabah heterogen sifatnya dan sifat sedemikian menyumbang kepada keanekaragaman bahasa, adat istiadat, cara hidup, kepercayaan, sistem dan struktur sosial serta amalan budaya yang bermacam-macam. Keragaman tersebut perlu dipelihara dan dilestarikan sebaiknya kerana, ia merupakan kekayaan dan khazanah milik masyarakat setempat. Situasi tersebut juga memberi warna kehidupan yang harmoni dan tenteram kepada seluruh penghuni bumi Sabah yang selama ini hidup dengan cara mengintegrasikan kepelbagaian sedia ada dalam acuan lokal yang bersesuaian. Kesemua makalah dipersembahkan dalam konteks tema pelbagai agar pembaca boleh mengetahui sebanyak sedikit pengetahuan tradisi yang dimiliki setiap kumpulan etnik yang dibicarakan. Perbincangan di dalam setiap makalah tidaklah sukar untuk dihadam kerana ia melibatkan diskusi budaya yang sudah sedia dikenali cuma mungkin belum diselam secara mendalam oleh setiap pendukungnya.

Kelompok-kelompok etnik di Sabah turut tidak dapat menghindar daripada mengalami perubahan dalam kebudayaan masing-masing, malah ia turut dirasai oleh seluruh masyarakat Nusantara serta masyarakat sejagat. Perubahan dalam dimensi budaya tentulah akan mengacu kepada perubahan kebudayaan dalam masyarakat seperti terdapat penemuan baru (discovery) dalam ilmu pengetahuan, pembaharuan hasil teknologi (invention), keterkaitan dengan kebudayaan lain yang menyebabkan terjadinya difusi dan peminjaman kebudayaan. Kesemua itu meningkatkan integrasi unsur-unsur baru ke dalam kebudayaan. Sukar untuk memisahkan perubahan sosial dan perubahan kebudayaan. Namun, secara teori dapatlah dikatakan bahawa perubahan sosial mengacu kepada perubahan dalam struktur sosial dan hubungan sosial, sedangkan perubahan kebudayaan mengacu kepada perubahan pola-pola perilaku, termasuk teknologi dan dimensi daripada segi ilmu, material dan non material. 

Perubahan bukan hanya berlaku dalam konteks sosial dan kebudayaan semata-mata. Proses globalisasi turut memberi pengalaman baru kepada masyarakat di Nusantara amnya dan di Sabah khususnya. Globalisasi melanda seluruh bangsa di dunia dan ia dianggap sebagai suatu cabaran terhadap integrasi sesebuah kebudayaan. Dalam konteks Sabah, globalisasi perlu dilihat bukan sebagai satu ancaman sebaliknya perlu dilihat dari sudut positif, yakni ia menjadi faktor pemangkin kepada keutuhan dan keberhasilan anggota setiap kelompok etnik mempertahankan nilai dan norma yang mencitrakan keperibadian setiap etnik berkenaan. Oleh yang demikian, setiap kelompok etnik di Sabah perlu memanipulasikan sepenuhnya kearifan etnik masing-masing untuk bersatu dan mengintegrasikan diri ke dalam kepesatan proses globalisasi.

Justeru, buku ini membawa sebelas makalah yang sangat pelbagai temanya dan disesuaikan dengan judul, iaitu Pumpunan Budaya Peribumi di Sabah. Pumpunan mempunyai dua pengertian, iaitu 1. tempat berkumpul, tempat untuk dikumpulkan; 2. himpunan, kumpulan, perkumpulan (Kamus Dewan, 1997:1068). Dengan maksud, setiap makalah dalam buku ini merupakan satu himpunan pernyataan dan maklumat berkenaan dengan keunikan dan kehebatan setiap etnik peribumi terpilih. Setiap makalah merangkum pelbagai tema seperti aspek sejarah, budaya yang diamalkan, ekspresi kreatif, undang-undang adat, anutan dan kepercayaan. Kesemua makalah berkenaan disumbangkan oleh penulis-penulis yang berbeza latar disiplin ilmu namun, hal utama yang mahu dikongsikan adalah pengetahuan tradisi lokal yang diutarakan dalam setiap inti makalah berkenaan. Memandangkan keragaman dan perbezaan yang terletak pada kepelbagaian suku, bahasa, adat istiadat, agama, kesenian, budaya, keragaman ciri-ciri fizikal seperti warna kulit, rambut, raut wajah dan aspek-aspek lain di Sabah memperlihatkan bahawa negeri ini turut berhadapan dengan masyarakat pelbagai budaya (multicultural).  Kerencaman yang tinggi itu perlu diselaras dan dijaga dengan baik untuk mengelak sebarang konflik antara suku atau etnik. Kenyataan membuktikan bahawa keanekaragaman budaya dan masyarakat itu tidak sentiasa menjadi pelangi.

Seyogia, terbitnya bahan ini sebagai sebahagian kecil daripada ceritera peribumi di Sabah yang menggambarkan betapa luas dan besar kumpulan-kumpulan etnik di Sabah yang agak sukar untuk disatukan ceriteranya dalam sebuah buku. Dengan diskusi yang merata sifatnya dan pastilah diakui penyunting bahawa masih terlalu banyak lagi ceritera dan pumpunan budaya yang ada di laman budaya etnik-etnik pelbagai yang belum disimpan secara bertulis. Pendukung budaya semakin menua dan tidak ramai dari kalangan generasi muda yang mengetahui apatah lagi menyimpan pengetahuan tradisi yang sepatutnya menjadi warisan yang dipelajari. Oleh yang demikian, usaha berterusan perlu dilakukan agar khazanah pengetahuan tradisi itu dapat dihimpun dalam rupa bahan yang boleh diabadikan sebagai rujukan, dikongsikan sebagai suatu pengetahuan serta kearifan tempatan yang tersembunyi dalam minda dan perilaku ahlinya dapat dikongsi kepada khalayak luas. Semoga buku ini bermanfaat sebagai bahan pengetahuan etnisiti kepada semua pihak.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila kunjungi Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melawati laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." (Joseph Addison).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.